Projek TAPS di Kelantan samar di era kerajaan PH-BN

- Advertisement -

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) meluluskan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Labok, Machang. Ia bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan. Projek itu membabitkan kos kira-kira RM1.8 bilion. TAPS yang dirancang merangkumi kawasan seluas 404 hektar. Perancangan itu bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan dalam tempoh jangka panjang. Malangnya apa yang dirancangkan kerajaan PN dan Keluarga Malaysia nampaknya seperti terpinggir di bawah kerajaan baharu. Pada Bajet 2023 tidak kelihatan projek itu disenaraikan. Malah Kerajaan PH-BN membeku banyak projek yang sudah diluluskan kerajaan sebelum ini. Oleh itu bagi melihat perkembangannya dan langkah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mengatasi masalah bekalan air ikuti temubual LANJUSOH dan MUHAMMAD ARIF ISMAIL bersama Pengurus Besar AKSB DR NAZMI GHAZALI AZMI ketika ditemui baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Mungkin ada perkembangan baharu cadangan projek Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) di Labok setakat ini?

Dr Nazmi: Kementerian sudah luluskan projek tersebut dan akan dimasuk dalam Rancangan Malaysia. Namun, ia bergantung kepada kerajaan sekarang. Kalau kerajaan memasukkan dalam Rancangan Malaysia kemungkinan projek tersebut akan dilaksanakan. Cuma pandangan pegawai-pegawai di kementerian amat berharap TAPS di Kelantan dapat dilaksanakan memandangkan negeri ini masih belum ada lagi TAPS.

Sekiranya projek TAPS tidak menjadi kenyataan bagaimana AKSB mengatasi masalah bekalan air dalam tempoh jangka panjang?

Rizab margin ialah air lebihan yang boleh disimpan. Sekarang kita zero rizab margin kerana semua air yang dikeluar dihantar kepada pengguna. Jadi dalam Pelan Induk AKSB telah dibuat sasaran sehingga tahun 2027 baru kita ada rizab margin.

AKSB akan ada simpanan air empat tahun lagi. Selepas itu baru bertambah rizab margin. Tahun 2030 barulah kita berada dalam rizab margin yang selesa iaitu 15 peratus. Itu unjuran kita selepas beberapa loji tambahan dalam perancangan dibina. Namun kita tetap positif TAPS akan dilaksanakan di Kelantan.

Berapa kapasiti pengeluaran air di Loji Rawatan Air (LRA) AKSB sekarang?

Lebih 500 juta liter sehari (MLD). Keseluruhan kapasiti ialah 534 MLD. Hak sepatutnya pengeluaran ketika mula-mula migrasi dilaksanakan pada tahun 2016 sebanyak 246 MLD. Dan selepas migrasi dilaksanakan berlaku pertambahan sebanyak 74 sehingga 150 MLD.
Ia sudah mampu membekalkan air kepada seluruh pengguna. Pengeluaran 534 MLD sudah mencukupi untuk keperluan rakyat Kelantan.

Bagaimanapun jumlah air yang sampai kepada pengguna separuh daripada jumlah pengeluaran disebabkan pelbagai faktur termasuk non-revenue water (NRW).
Jadi bagi kawasan yang berdepan dengan masalah tersebut AKSB menghantar bekalan air menggunakan lori-lori air tangki kontrak yang diselaras melalui Pusat Khidmat Dun. Kaedah itu adalah penyelesaian untuk jangka pendek.

Berapa kos yang terpaksa ditanggung kerajaan menggunakan khidmat lori?

Kos penghantaran air menggunakan lori kontrak ditanggung oleh kerajaan negeri dari segi sewaan lori. Air yang dibekal dari LRA yang sudah dirawat. Kos lori tu dibayar secara bulanan di mana sekarang terdapat 26 lori air kontrak dan 4 lagi disediakan AKSB.

Jadi keseluruhan AKSB menggunakan 30 lori. Kos yang ditanggung kerajaan negeri sejak April 2020 sehingga Julai 2022 sebanyak RM11.2 juta.
Dan antara Julai sehingga Disember 2022 pula sebanyak RM2.7 juta. Kita anggarkan tahun ini pula Januari sehingga disember 2023 melibatkan kos sebanyak RM5.7 juta kos untuk khidmat lori air kontrak.

Jumlah RM11.2 juta adakah mencukupi kalau dibina sebuah loji baharu?

Pembinaan loji sudah ada dalam perancangan tetapi untuk jangka pendek terpaksa ambil kos tadi untuk memastikan bekalan air sampai kepada pengguna di lokasi yang bermasalah.
AKSB tidak mengenakan caj penggunaan air sudah dirawat yang dihantar menggunakan lori. Kerajaan negeri membayar sewa lori, manakala AKSB menanggung kos dari segi rawatan air.
Kawasan terlibat dengan penghantaran tersebut meliputi Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah dan Pasir Mas. Di Kuala Krai dan Gua Musang hanya memadai penghantaran menggunakan lori air AKSB.

Lagi pun di Gua Musang banyak kawasan di bawah pengurusan Felda dan Kesedar. LRA dibina agensi terbabit dan selepas projek siap diserah kepada AKSB untuk diuruskan.
Sebelum ini ada masalah pada LRA yang dibina oleh agensi-agensi berkenaan daripada aspek spesifikasi kerana sebelum ini tiada penyelarasan bagi membina LRA. Ini kerana ketika itu belum ada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Sekarang masalah sebegitu hampir tidak berbangkit lagi.

Adakah AKSB mendapat keuntungan daripada pengoperasian?

Kita boleh tengok dalam laporan audit. Pada tahun 2021 yang telah diaudit kita dapat keuntungan lebih RM800,000. Tahun 2022 akaun masih belum selesai diaudit dan kita jangkakan masih ada keuntungan. AKSB antara operator air yang mempunyai ramai kakitangan. Sekarang AKSB mempunyai seramai 780 kakitangan. Jumlah kakitangan ramai diperlukan memandangkan AKSB mempunyai banyak loji rawatan air yang tidak menggunakan sistem automasi sepenuhnya lagi dan sesetengah loji air yang kecil masih menggunakan kaedah manual. Operasi loji memerlukan pemantauan 24 jam.

Mungkin ada perancangan AKSB mahu menaikkan tarif air?

Tarif telah diluluskan kenaikannya tahun 2009 cuma tidak dibenarkan untuk dilaksanakan. Tarif kita masih tarif lama lagi. Tarif air tidak meningkat tetapi kos operasi sentiasa meningkat.
Tarif sekarang bagi domestik 0 hingga 20 meter padu 45 sen, caj minima RM4.50 bagi penggunaan yang kurang daripada RM4.50. Selepas itu ada kenaikan 20 hingga 30 meter padu 97 sen, lebih 30 meter padu 1.42 sen. Ini caj 10 tahun lebih dahulu masih digunakan pakai.
SPAN ada buat standard rate yang sama seluruh Malaysia, cuma ada dibuat satu rate baharu untuk rumah ibadat dan institusi rumah kebajikan.

Sebelum ini kita tidak mengenakan caj untuk rumah ibadat tetapi SPAN memperkenalkan caj 70 sen bagi satu meter padu dengan caj minima RM7. Kita melihat perkara tersebut sebelum ini tidak kena bayar, tiba-tiba kena bayar, jadi kerajaan negeri mengambil langkah untuk memberi subsidi kepada rumah ibadat iaitu masjid, surau dan tokong asalkan masuk dalam definisi rumah ibadat dapat nikmati subsidi 100 peratus daripada kerajaan negeri.
Pada bil kita tulis subsidi kerajaan negeri. Contohnya kalau bil kena RM12, di atas bil ditulis subsidi kerajaan negeri sebanyak RM12, jadi bil akan menjadi RM00. Sama seperti semasa tarif belum dikenakan.

Bil air bagi rumah ibadat dikenakan SPAN mulai Ogos 2022 di seluruh Malaysia. Tetapi kerajaan Kelantan atas dasar keprihatinan dan AKSB sebagai program CSR, kita bagi subsidi.
Sehingga sekarang terdapat 2,507 akaun rumah ibadat. Dalam tempoh setahun kerajaan negeri memberi subsidi sebanyak RM370,000.

Jadi kerajaan negeri menanggung kos tersebut. Dari tempoh Ogos hingga 31 Disember 2022 sebanyak RM161,000 diperuntuk kerajaan negeri bagi membayar subsidi tersebut. Dan anggaran bagi tahun 2023 subsidi berjumlah RM369,000.

Bagaimana pula perkembangan aduan pengguna sekarang?

Aduan pengguna kita mahu pusatkan biar semua aduan melalui talian Pusat Informasi Aduan (PINTAS) di talian 15777. Aduan yang masuk melalui talian itu kita boleh tengok berapa jumlah aduan keseluruhan.

Cuma kadang-kadang ada aduan dibuat tidak melalui PINTAS, di mana ada pengguna report terus kepada pejabat jajahan atau memberitahu terus kepada pihak berkenaan. Kalau tidak direkodkan aduan kita tidak tahu data mengenainya secara tepat. Dan kita memberi jaminan kesemua aduan ditangani 100 peratus, tiada yang tertinggal. Selepas aduan dibuat ada tindakan diambil. Aduan itu ada nombor siri. AKSB memberi jaminan aduan 100 peratus kita tangani. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -