Kes jangkitan Covid-19 negara stabil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata trend jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini dalam tempoh bulan pertama tahun ini adalah dalam keadaan yang stabil.

Sejak sebulan lalu, katanya laporan harian kes Covid-19 negara kekal dalam lingkungan 500 kes dan dilihat menunjukkan trend penurunan dengan kes pada 7 Mac lalu hanya sebanyak 226.

- Advertisement -

“Begitu juga, purata bilangan harian kes Covid-19 yang baru dikesan dalam tempoh tujuh hari adalah pada julat 187 hingga 511 kes, sepanjang Januari 2023.

“Seterusnya, nilai Rt kekal di bawah 1.0 sejak Minggu Epidemiologi 46/2022 (13 hingga 19 November 2022) dan pada Minggu Epidemiologi 4/2023 (22 hingga 28 Januari 2023) nilai Rt adalah 0.8,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika sesi pertanyaan jawab lisan, Rosol meminta Kementerian Kesihatan menyatakan trend jumlah kes jangkitan Covid-19 bagi tempoh sebulan pertama tahun 2023.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, sebagai langkah berterusan untuk menggalakkan lebih ramai penduduk negara mengambil dos penggalak, Kementerian Kesihatan telah mengambil beberapa langkah seperti pelanggan boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera dan bebas memilih tarikh, masa, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan jenis vaksin yang dikehendaki.

Selain itu, katanya kerajaan menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara terus tanpa janji temu kepada golongan berisiko tinggi di semua PPV seluruh negara.

“Kerajaan juga melaksanakan pemberian dos penggalak secara oportunistik, iaitu Klinik kesihatan, hospital dan klinik swasta yang telah beroperasi sebagai PPV menawarkan dos penggalak kepada mana-mana pesakit dan pelanggan yang hadir untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit-penyakit lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -