Tangani Islamofobia dalam kalangan anak di sekolah

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta menyatakan apakah langkah-langkah yang dilaksanakan bagi menangani isu Islamofobia dalam kalangan anak-anak di sekolah, khususnya yang melibatkan sekolah vernakular.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan adakah Kerajaan bercadang menaikkan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari RM2.50 ke RM4.50 pada waktu ini.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Kewangan menyatakan:-

(a) pelan Kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini; dan

(b) adakah Kerajaan bersedia menyediakan insentif dan bantuan seperti subsidi upah, geran khas kepada PKS, pengeluaran KWSP dan bantuan-bantuan lain seperti mana yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum ini.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Kerja Raya menyatakan polisi dan tindakan Kerajaan mengenai kekerapan penyelenggaraan dan isu keselamatan pengguna jalan raya termasuk lampu jalan yang tidak berfungsi di jalan laluan utama terutama yang dilalui kenderaan berat seperti di Pelabuhan Klang Utara.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah Kementerian bagi menangani masalah limpahan pelajar OKU di sekolah-sekolah selaras dengan dasar sifar penolakan (Zero Reject Policy) yang telah dilaksanakan.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan  Makanan  menyatakan status penggunaan pukat bubu naga adakah dibenarkan digunakan oleh nelayan.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah modul pembangunan jati diri dan akhlak yang digunakan oleh pihak Kementerian yang terkini memandangkan sikap kepimpinan negara yang ada sekarang sebahagiannya adalah bertentangan dengan apa yang diajar di sekolah seperti nilai integriti seperti tidak mencuri, rasuah dan bercakap benar.

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kerajaan melaksanakan kajian terhadap kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terhadap golongan B40 yang terhimpit oleh kesan kenaikan kadar bayaran pinjaman bulanan yang semakin tinggi.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan pelan jangka sederhana dan panjang Kementerian untuk memelihara khazanah warisan kebudayaan menerusi program kesenian dan kebudayaan mengikut negeri untuk menarik minat pelancong.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Pendidikan menyatakan langkah dan strategi Kementerian bagi mencapai sasaran dasar 60:40 iaitu 60% pelajar aliran sains dan 40% pelajar aliran sastera berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025. Nyatakan juga sebab-sebab mengapa peratus pelajar aliran sains menurun ke tahap 18% pada masa kini berbanding dengan 40% pada tahun 2012.

Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah usaha-usaha yang dilakukan untuk menjadikan Bandaraya Alor Setar sebagai Bandaraya Pelancongan.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah MAFS bagi memastikan bekalan telur cukup di pasaran serta apakah langkah-langkah diambil bagi memastikan harga di pasaran tidak membebankan rakyat.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana Kementerian memantau dan menyelaras beban kerja guru agar tidak disibukkan dengan tugas pengkeranian atau mengemaskini data.

Dato’ Sri Saifuddin Abdullah [Indera Mahkota] minta Menteri Pendidikan menyatakan perancangan Kementerian dalam memperkasa kurikulum bersepadu di sekolah-sekolah di negara ini.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Pendidikan menyatakan keberkesanan pelaksanaan sukatan pendidikan Islam dan pendidikan moral bagi membendung perbuatan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah.

Tuan Kalam bin Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan berapa jumlah kadar pemotongan belian padi yang terkini oleh BERNAS dan bagaimana bentuk pelaksanaan pemutuan padi dibuat setakat ini yang melibatkan pesawah, wakil pertubuhan peladang kawasan dan BERNAS sendiri.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Menteri Pendidikan menyatakan adakah silibus Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate, UEC) menepati Dasar Pendidikan Negara dan apakah pendirian Kerajaan mengenai status pengiktirafan sijil ini.    

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Pendidikan menyatakan usaha-usaha keras Kerajaan dalam menangani masalah kekurangan minat pelajar bangsa Melayu dalam pembelajaran aliran Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM).  

Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya [Pokok Sena] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah Kementerian memerangi kewujudan kartel padi yang membelenggu para pesawah dalam kitaran kemiskinan sejak sekian lama.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan usaha-usaha yang telah dilakukan dalam tempoh 5 tahun bagi mengurangkan kebergantungan terhadap daging import dan apakah cabaran yang dihadapi termasuk menghapuskan kartel.

Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah usaha dan perancangan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan Tasik Pedu di Kedah sebagai destinasi hab pelancongan.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan perancangan Kementerian bagi menangani kesan perubahan iklim dalam memastikan bekalan agromakanan negara tidak terjejas.

Datuk Muslimin bin Yahaya [Sungai Besar] minta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah usaha untuk membantu para pesawah yang terbeban dengan kenaikan kos input pertanian baja dan racun sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Kewangan menyatakan perancangan dan tindakan pihak Kerajaan berkaitan penstrukturan semula subsidi minyak petrol atau penetapan semula harganya kepada RM1.50/liter dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Tuan Zakri bin Hassan [Kangar] minta Menteri Pendidikan menyatakan bagaimana Kementerian Pendidikan akan mengambil langkah-langkah mengatasi masalah kekurangan guru kerana maklumat terkini menunjukkan guru gemar pencen lebih awal akibat bebanan kerja.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah-langkah yang dilaksanakan Kementerian bagi menangani isu Islamofobia dalam kalangan anak-anak di sekolah, khususnya yang melibatkan sekolah vernakular. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -