Liverpool belasah Manchester United 7-0

Paparan keputusan perlawanan Liverpool-Manchester United
- Advertisement -

Manchester United malu besar apabila Cody Gakpo, Darwin Nunez dan Mohamed Salah, masing-masing menjaringkan dua gol dalam kemenangan 7-0 Liverpool, sekali gus meningkatkan harapan kelab itu untuk memasuki kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Seminggu selepas merangkul piala pertama mereka sejak 2017 dengan memenangi Piala Liga dan keyakinan untuk mengejar kejuaraan liga, pemain United seperti terpaku melihat penyerang Liverpool satu demi satu menyumbat gol untuk kemenangan terbesar mereka.

- Advertisement -

United yang berada di tangga ketiga kelihatan sedikit lebih baik selama 43 minit, tetapi bertukar menjadi mimpi ngeri di Anfield untuk pasukan Erik ten Hag apabila kelab itu mengalami kekalahan terburuk sejak tewas 7-0 kepada Wolverhampton Wanderers pada 1931.

Penyudah hebat Gakpo melalui percubaan pertama Liverpool mengenai sasaran memberikan tuan rumah pendahuluan pada separuh masa pertama.

Dalam tempoh lima minit kemudian, giliran tandukan Nunez pula untuk menjadikan kedudukan 2-0, diikuti tiga minit kemudian melalui serangan balas kilat diketuai Mohamed Salah berakhir dengan Gakpo penyudah bergaya untuk 3-0.

Dalam keadaan United yang kucar-kacir dan kehilangan arah, Salah bertindak untuk meledak gol keempat Liverpool pada minit ke-66 dan Nunez kemudian sekali lagi menewaskan penjaga gol yang tidak berdaya, David De Gea pada minit ke-75. Namun, serangan masih bertali arus.

Mohamed Salah menjadi inspirasi kemenangan besar Liverpool

Salah seperti menabur garam pada luka United dengan usaha jarak dekat untuk menjaringkan gol ke-129 Liga Perdana untuk kelab Merseyside itu, sekali gus melepasi rekod Robbie Fowler.

Roberto Firmino kemudian bangun dari bangku simpanan untuk membawar pasukan Juergen Klopp ke angka tujuh hasil hantaran pemain Mesir Salah, ketika kebanyakan penyokong United sedang menuju ke pintu keluar.

Ini adalah kali pertama sejak 1999, tiga pemain menjaringkan dua gol untuk kelab yang sama dalam Liga Perdana — kali terakhir apabila Andy Cole, Ole Gunnar Solskjaer dan Dwight Yorke, masing-masing menjaringkan dua gol untuk United menentang Nottingham Forest.

Liverpool membelasah United 4-0 di Anfield April lalu, tetapi memandangkan perubahan nasib untuk kedua-dua kelab sejak itu, dengan United semakin meningkat dan Liverpool merudum, keputusan ini merupakan suatu kejutan besar. – REUTERS

- Advertisement -