Khidmat Malaysia: Fasa ‘rescue’ dan fasa ‘relief’

- Advertisement -

SEHINGGA pukul 12:00 tengahari ini, seramai 53,141 mangsa banjir telah dipindahkan di seluruh negara dengan Johor masih mencatatkan mangsa yang paling ramai iaitu 49,676 orang yang melibatkan 14,337 keluarga di 270 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) 

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 296 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa yang terjejas yang melibatkan tiga buah negeri iaitu Johor, Pahang dan Melaka ketika ini.

Khidmat Malaysia Pusat melalui Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) yang telah dibuka sejak lima hari yang lalu terus membuat pemantauan semasa keadaan bencana banjir di Johor dan melalui maklumat yang diperolehi dari Bilik Gerakan Bencana Banjir Khidmat (BGBB) Malaysia di Johor, petugas telah pun melaksanakan gerak kerja fasa pertama iaitu fasa menyelamat (rescue) dan kini menumpukan kepada fasa kedua iaitu fasa bantuan (relief).

Operasi Menyelamat ketika ini sedang dilaksanakan di Sri Medan kerana keadaan air yang masih lagi membahayakan penduduk yang perlu dibawa keluar dari kediaman mereka. Beberapa buah bot telah ditempatkan di sana dan dikendalikan oleh Khidmat Malaysia kawasan Parit Sulong dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia (JAM).

Untuk Fasa Bantuan, tumpuan diberikan kepada operasi pembersihan atau Ops Cuci iaitu operasi mencuci rumah dan premis bangunan yang terkesan dengan banjir selain membantu membuang barang-barang yang rosak akibat banjir. Mengikut laporan dari BGBB, Ops Cuci sedang dipergiat di seluruh kawasan yang terlibat dengan banjir iaitu di Kluang, Tenggara, Semberong, Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Sekijang, Labis, Kulai dan Tebrau.

Dapur Rakyat telah dibuka di beberapa tempat untuk mangsa banjir yang mula pulang ke rumah dan untuk para petugas serta sukarelawan dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia (YAM) dan beberapa NGO yang terlibat. Ketika ini, makanan dari Dapur Rakyat di Segamat untuk diagihkan ke Segamat, Sekijang dan Labis, manakala satu lagi Dapur Rakyat dibuka di Sri Medan. Makanan diagihkan kepada mangsa yang masih berada di rumah dan juga di PPS yang telah bersetuju menerima makanan yang disediakan.

Pengagihan bantuan makanan dan barangan keperluan yang telah mula diterima dari semua pihak termasuk pihak swasta, NGO dan orang perseorangan juga sedang dilaksanakan ketika ini dan Khidmat Malaysia masih memerlukan sumbangan daripada semua pihak untuk disampaikan kepada mangsa.

Justeru Khidmat Malaysia menyeru kepada semua pihak untuk turut sama terlibat dalam operasi membantu mangsa banjir di Johor dan sangat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak.

Sebarang maklumat berkaitan bencana banjir boleh disalurkan ke Hotline Khidmat Malaysia di talian 011-14174789.

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866) untuk membantu mangsa bencana banjir dan para petugas serta sukarelawan yang terlibat.

“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan”
“Beramal Kerana Allah”

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
6 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -