Laksanakan model gaji progresif di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyambut baik cadangan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung pelaksanaan sistem model gaji progresif di Malaysia.

Menurut Awang, sistem penggajian minimum dilihat semakin tidak relevan apabila kos sara hidup semakin meningkat tanpa kawalan.

- Advertisement -

Katanya, selain elemen penting seperti upskilling (latihan) dan reskilling (produktiviti), model gaji progresif wajar diangkat sebagai sistem yang boleh diguna pakai di Malaysia, pasca Covid-19.

“Apabila ia melibatkan elemen latihan dan produktiviti, daripada cadangan ini, mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem model gaji progresif ini dipakai di Malaysia?

“Jika tidak dapat laksanakan secara menyeluruh, saya cadangkan agar ia dilaksanakan secara berperingkat, mungkin bagi beberapa sektor dahulu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menyambut baik cadangan itu, namun Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ini memerlukan kajian terperinci selaras dengan situasi ekonomi dan perburuhan semasa di negara ini.

Katanya, pelaksanaan gaji progresif dan gaji minimum mempunyai objektif yang sama iaitu memberi perlindungan kepada pekerja yang menerima gaji terendah. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -