Isu milik tanah dan rumah kritikal untuk diselesaikan

- Advertisement -

PENDUDUK asal negara ini dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera hakikatnya hidup tak ubah umpama ‘Menang sorak, kampung tergadai’. Lebih 65 tahun merdeka dari penjajah dan berpemerintahan sendiri, namun masih ramai hidup seperti pendatang.

Kerana bukan sahaja tidak memiliki tanah, tetapi juga tidak mampu mempunyai rumah kediaman untuk diduduki menjalani kehidupan. Mengikut data yang ada, tidak sampai 8 peratus penduduk Melayu dan Bumiputera memiliki rumah sendiri, selainnya banyak menyewa.

Sedangkan bumi Malaysia yang dahulu namanya adalah Tanah Melayu ini masih terlalu luas biarpun telah dikongsi bersama kaum-kaum lain. Bahkan bangsa asal negara inilah pemugar dan peneroka tanah yang telah menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi.

Malangnya, orang Melayu dan Bumiputera hanya memegang jawatan politik selama ini, tetapi ternyata seperti tidak menjulang kuasa. Pemerintahan politik yang diterajui bukan memberdaya dan memperteguhkan bangsa, sebaliknya sekadar dijadikan alat meraih kepentingan.

Para pemimpin dan parti Melayu sendiri yang selama ini mengkhianati bangsanya hingga mengakibatkan ketidakpastian masa depan tersebut. Sedangkan kaum penghijrah lebih kukuh serta terjamin pemilikan tanah mereka, selain mempunyai kediaman yang jauh lebih selesa dan mewah.

Bahkan warga asing yang sekadar bekerja di negara ini turut ada meraih kekayaan serta mampu menduduki rumah besar. Lebih mengharukan, terdapat pegangan asal kaum Melayu dan Bumiputera yang telah berpindah milik menjadi aset bangsa lain.

Selain ia berlaku kerana jual-beli, terdapat juga banyak kes bersifat manipulasi memperdaya dan kes ‘ajaib’ bertukar nama di geran tanpa melalui sebarang proses pertukaran. ‘Rompakan senyap’ ini dicurigai didalangi politikus dan pentadbir tanah secara salah guna kuasa.

Paling patut dirintihkan, apabila peruntukan hak untuk peribumi ini hanya terpampang dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi wasiat Raja-raja Melayu. Hakikatnya, pemilikan sepatutnya iaitu Tanah Rizab Melayu (TRM) semakin berkurang dan ‘hilang’.

Siapa yang mencabul dan melarikan TRM ini sedang ia bahagian telah wujud semasa British keluar meninggalkan pertiwi ini? Malah, para pemimpin awal negara ini juga telah berusaha memperkukuhkan kaum peribumi menerusi kewujudan tanah-tanah rancangan.

Tetapi kemudiannya, ‘bumi dipijak milik orang’ dan generasi beranak-pinak beberapa keturunan peneroka tanah rancangan kekal seperti pengemis. Geran Tanah pula dijadikan mekanisme politikus untuk dibuat modal ugutan mencengkam perolehan undi setiap kali PRU.

Ironinya, tanah atau premis diduduki dan dimiliki kaum lain pula hingga boleh terjamin menerusi pengiktirafan badan Antarabangsa yakni peruntukan UNESCO. Malah, para penceroboh juga boleh dirundingi, walhal veteran tentera yang pernah menggadai nyawa diabaikan

Oleh itu satu kebangkitan ummah amat diperlukan dan mendesak bagi melakukan perubahan segera dan menangani serta membetulkan kepincangan sempit ini. Jangan dibiarkan lebih banyak pemilikan tergadai, sedang rakyat sendiri terkontang-kanting dan merempat.

Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang dipacu jangan sehingga meminggirkan apatah lagi menyebabkan kaum asal ini terusir. Sebaliknya segala muslihat kritikal secara polarisasi terancang dan menumpukan pemilikan lain termasuk mengimport pakar luar mesti diwaspadai.

Juga jangan biarkan segala pegangan negara ini ditentukan para pemaju spekulator dan kapitalis yang hanya mementingkan kekayaan sekelompok. Para pemimpin Melayu dan Bumiputera yang sayangkan tanah air ini serta anak cucu cicit bakal pewaris akan datang mesti mengadakan penyelesaian tegas.

Jaminkan kependudukan dan pemilikan tersebut serta tamatkan kemungkinan Malaysia menjadi senasib tanah Palestin. Pemilikan tanah adalah bukti kedaulatan dan aset utama serta strategik untuk menikmati erti kehidupan di alam dunia yang sementara ini.

“Malaysia Sejahtera”

DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Orang Asal
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -