Apa rasional projek perintis penggunaan ubat PrEP

Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan diminta menyatakan apakah rasionalnya projek perintis penggunaan ubat PrEP meletakkan kumpulan sasar individu 18 tahun ke atas, HIV seronegatif dan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV.

- Advertisement -

Demikian soalan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat] pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor turut meminta menteri berkenaan menyatakan apakah kesan kepada kewangan negara untuk tujuan tersebut.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL yang disenaraikan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Kalam Salan [Sabak Bernam] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan ranking pasukan bola sepak Malaysia di peringkat Asia Tenggara, Asia dan FIFA (dunia). Berdasarkan pencapaian di Kejohanan AFF Suzuki Cup 2022-2023 adakah kita masih percaya dengan kemampuan jurulatih yang ada dan pemain-pemain maturalisasi yang ada sekarang atau sebaliknya.

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapa jumlah pecahan pekerja asing tanpa izin (PATI) yang dipilih untuk menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga kini dan sektor-sektor yang terbabit.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus bin Hairi [Kuala Langat] minta Menteri Kesihatan menyatakan:-

(a) apakah rasionalnya projek perintis penggunaan ubat PrEP meletakkan kumpulan sasar individu 18 tahun ke atas, HIV seronegatif dan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV; dan

(b) apakah kesan kepada kewangan negara untuk tujuan tersebut.

Datuk Haji Awang bin Hashim [Pendang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah rasional pihak Kerajaan dalam tindakan menangguhkan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 (PGM2022) terhadap majikan kurang lima pekerja meskipun perintah tersebut terpakai untuk majikan kategori lain.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan Kementerian untuk memperkasakan talian aduan merokok ekoran rungutan rakyat bahawa aduan melalui talian tersebut tidak mendapat tindakan susulan yang sewajarnya.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perkembangan terkini projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di bawah RMK-12 bagi negeri Kedah khususnya melibatkan kerja menstabilkan tebing dan pengaluran sungai.

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [Kuala Kedah] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usaha yang telah dilakukan oleh Kementerian untuk menangani masalah pelancong asing yang memasuki negara ini tetapi tidak keluar semula dari negara ini.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan status kemajuan projek pendalaman kawasan pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, Kuala Terengganu yang menggunakan peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM15 juta serta status permohonan projek pendalaman muara Sungai Ibai juga di Kuala Terengganu.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah mekanisme efektif yang boleh dilaksanakan oleh pihak Kerajaan bagi menangani isu pencerobohan Kapal Pengawal Pantai China di Beting Patinggi Ali yang terletak di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) selain daripada menghantar nota protes diplomatik yang dilihat tidak efektif dan gagal mendapatkan penyelesaian yang baik bagi menangani masalah pencerobohan ini serta apakah dengan pengusiran secara tegas wajar diimplementasikan.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah Kerajaan akan mansuhkan SOSMA atau tambah baik peruntukan sedia ada dan sehingga kini berapa ramai tahanan SOSMA yang sedang menanti untuk dibicarakan.

Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad [Bagan Serai] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk mengadakan pilihan raya PBT dan sejauh mana kesan pilihan raya PBT kepada ketidakseimbangan antara kaum terutamanya di bandar- bandar besar.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Menteri Pengangkutan menyatakan keberkesanan operasi penguatkuasaan terhadap pemandu lori yang membawa muatan berlebihan di jalan Persekutuan dan negeri.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan adakah pihak Kementerian berhasrat untuk meneruskan program-program pembangunan kerohanian seperti Rakan Muda Ramadan dan Fit Masjid bagi memperkukuh jati diri anak muda khususnya orang Islam.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Sumber Asli, Alam  Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah tindakan Kementerian dalam menyelesaikan masalah banjir kilat dan banjir termenung di Tanjong Karang yang disebabkan masalah kawasan tadahan air seluas 700 ekar yang didiami 44 keluarga dan pembinaan benteng yang menolak air ke kawasan pekan Tanjong Karang.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan status penambahbaikan loji air Batu Balai, Jerantut yang sudah diluluskan oleh Menteri KASA pada penggal Parlimen sebelum ini.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan:-

(a) adakah pihak Kerajaan akan memperkenalkan semula pemberian subsidi gaji kepada majikan yang mengambil graduan baharu sebagai instrumen meningkatkan trend graduan baharu menerima gaji lebih daripada RM2,000 sebulan; dan

(b) pendirian pihak Kerajaan dalam memastikan keseimbangan gaji yang diterima graduan baharu dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan.

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Kesihatan menyatakan status projek pembinaan Hospital Kapar dan bilakah ia dijangka siap.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kerajaan akan meneruskan usaha Kementerian terdahulu bagi menjadikan semua sekolah-sekolah tahfiz awam dan swasta yang berdaftar mempunyai modul Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi tujuan laluan kerjaya kepada para pelajar.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [Kubang Kerian] minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan komitmen dan faedah yang dicapai oleh Malaysia di Persidangan Perubahan Iklim PBB 2022 atau COP27 di Sharm el-Sheikh, Mesir.

Dr. Abd Ghani bin Ahmad [Jerlun] minta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah Kerajaan hari ini berhasrat meneruskan rancangan Kerajaan sebelum ini mewujudkan Pelabuhan Laut Dalam di Sanglang, Kedah yang bersempadan dengan Perlis dan jika benar, nyatakan perkembangan terkini rancangan projek tersebut. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -