Bantu kanak-kanak lepasan institusi JKM tiada dokumen

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil. 1 Tahun 2022 yang telah diadakan pada akhir Julai 2022 yang lalu ketika mempertimbangkan Kertas Pertimbangan Pemerkasaan Kanak-Kanak Lepasan Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersetuju ke atas beberapa perkara untuk diambil tindakan susulan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

- Advertisement -

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan antara tindakan susulan yang perlu diambil oleh agensi-agensi di bawahnya terhadap keputusan tersebut adalah untuk mencari dan membuat padanan penjaga serta bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi membantu kanak-kanak lepasan institusi yang tiada dokumen.

“Dalam hal ini, KPWKM telah mengemukakan permohonan peruntukan di bawah dasar bajet daripada Kementerian Kewangan untuk mewujudkan Pusat Transit Anjung Sinar,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff [PN-Rantau Panjang] di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, pusat itu dirancang untuk menyediakan sokongan tempat tinggal kepada kanak-kanak lepasan institusi JKM yang tidak mempunyai waris atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan dalam tempoh tertentu sehingga mereka boleh berdikari.

Dalam soalannya, Siti Zailah meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status cadangan yang telah diputuskan dalam Majlis Sosial Negara yang lalu berkaitan usaha membela nasib alumni institusi Kanak-Kanak JKM yang sebatang kara. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -