Dalam Umno ada qaul qadim, qaul jadid – Presiden PAS

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang beranggapan masih terlalu awal untuknya memberi komen lanjut mengenai penubuhan Majlis Ulama Umno (MMU).

- Advertisement -

Katanya, MMU baru sahaja ditubuhkan dan hanya mempunyai rangka asas ketika ini.

“Kita tengok dahulu, tunggu dan lihat, tak boleh komen sekarang, dia belum buat apa-apa lagi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah, Umno mempunyai qaul qadim (pendapat lama) dan qaul jadid (pendapat baru).

“Dalam Umno ini ada qaul qadim, ada qaul jadid. Kita tengoklah ulama ini ikut qaul qadim atau qaul jadid,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan peserta Program Dialog Ulama Negarawan (DUN), Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini, di sebuah hotel, di sini semalam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, PAS menganggap Umno sebagai sahabat dan saudara yang perlu dibetulkan tanpa berputus asa.

Katanya, itulah prinsip yang dipegang dalam hubungan PAS Umno ketika ini, iaitu untuk menyelamatkan kaum dan bangsa sendiri yang sudah Islam, namun tenggelam dengan kejahilan dan tidak faham.

“Kita adalah kumpulan Islam yang terbuka. Kalau Nabi, terbukanya Nabi (banginda) terima semua orang, (termasuk) orang Badwi yang kasar, tidak berakhlak, masuk dalam masjid dengan unta-unta, bukan tambat di luar.

“Nabi tak tolak, walaupun Badwi yang kencing dalam masjid, Nabi tidak tolak, (hanya) tengok. Selepas itu ajar dia, tunjuk dia.

“Jadi Umno ini tak sampai la tangga (tahap) kencing dalam masjid ini. Sebab itu kita tanganilah, kita anggap mereka ini adalah saudara kita, sahabat kita yang perlu kita perbetulkan, kita tak putus kerana kerja kita yang pertama selamatkan kaum kita sendiri, bangsa kita sendiri yang sudah Islam, tetapi tenggelam dengan kejahilan, tenggelam dalam tidak kefahaman,” katanya.

Jelasnya, tenggelam dalam kejahilan yang dimaksudkan adalah masyarakat mempunyai ulama tetapi tidak berilmu dalam politik dan tidak berilmu dalam kemasyarakatan.

Justeru katanya, disebabkan hal itu mengalami sistem pendidikan yang dikepung oleh penjajah, pendidikan agama yang terbatas dan pendidikan duniawi yang liberal.

“Agama yang terbatas ini. mengaji mazhab syafie, mengaji Asy’ariyah Maturidiyah, tak mengaji sejarah dan tidak tahu perkembangan-perkembangan semasa.

“Ini banyak ulama-ulama kita yang belajar, dengan sebab itulah ketika negara kita dilanda oleh penjajah, duduk berbalah masalah khilafiah, masalah-masalah yang tak penting.

“Jadi, kita kena sedar, sepatutnya ulama-ulama ini bincang masalah utama, yang dihadapi oleh Ummah,” katanya.

Jelasnya lagi, Al-Quran sudah menunjukkan garis panduan kepada umat manusia, contohnya jika bertelingkah, berbalik kepada Al-Quran dan hadis tanpa mengira perbezaan, baik Umno, PAS, atau sesiapa sahaja.

Katanya lagi, PAS pernah mengajak ulama-ulama Umno bermuzakarah untuk merujuk Al-Quran dan hadis sebelum ini, namun ditolak.
Bagaimanapun katanya, jika kini mereka bertukar fikiran dan sudi untuk bermuzakarah bersama, PAS sentiasa bersedia dengan situasi itu,

“Buka Al-Quran, buka hadis nabi, buka rujukan asal kita, ini menyatukan ummah, ini sangat penting,” katanya. –HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -