‘Sabotaj ekonomi’ tidak melambangkan slogan madani

Mohd Syahir Che Sulaiman
- Advertisement -

IZINKAN saya untuk menarik perhatian Ahli-Ahli Yang Berhormat terhadap sepotong ayat Al-Quran (maksudnya): “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (kedekut), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan (menyesal).” (Al-Isra’: 29)

- Advertisement -

Ayat ini boleh menjadi pedoman kepada kita semua, baik di peringkat individu, keluarga mahupun kerajaan supaya kita hendaklah berbelanja dengan betul dan seimbang – tidak kedekut sehingga menafikan hak diri sendiri dan hak orang lain daripada harta yang dimiliki, malah tidak pula terlalu boros sehingga menghakis hak orang lain yang boleh ditumpangi daripada harta yang dimiliki.

Justeru kita perlu cermat dan berhemah dalam perkara ini, kerana masalah di hadapan kita ialah suatu belanjawan untuk diluluskan bagi tahun ini, 2023, yang dijangka selesai dibahas lumat dan diluluskan menjelang bulan Mac, bermakna berbaki 9 bulan untuk dipastikan segala perancangan dan sasaran yang digariskan dapat dicapai.

Pastinya tugasan ini tidak mudah, maka janganlah kita bermudah-mudah, berjanji segala yang indah, jangankan 24 jam, setahun pun belum tentu bertemu noktah.

Apa guna melompat pagar,
Bila kaki awak tersangkut,
Apa guna bercakap besar,
Bila janji tidak diikut.

Terlebih penting adalah kualiti penyampaian dan keberkesanan segala bantuan dan projek yang diumumkan, diikuti proses pemantauan berterusan, dipandu oleh kecekapan dan integriti yang tinggi di pihak kerajaan, tanpa sebarang unsur pilih kasih dan ‘sabotaj ekonomi’ yang tidak melambangkan agenda perpaduan dan slogan madani.

Manakala akses dan kecaknaan rakyat terhadap segala bantuan kerajaan perlu dipertingkatkan, bagi memastikan Belanjawan 2023 dapat diagih secara saksama, dan dikongsi secara bersama.

Oleh kerana tempoh perbahasan amat singkat, isu yang ingin dibawa pula sangat banyak, maka saya memilih pendekatan untuk menyentuh beberapa perkara pokok dan persoalan dasar yang sering ditanya oleh orang Bachok kepada saya, tetapi saya sendiri tiada jawapannya, untuk dikemukakan di Dewan yang mulia ini.

Pertama, jurang pembangunan antara wilayah.

Soalan kepada Menteri Ekonomi, adakah kerajaan masih berpegang kepada komitmen RMK-12 supaya sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas akan diagihkan kepada enam negeri kurang membangun (iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), membabitkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

Secara asasnya, pembangunan di Malaysia perlu dilaksanakan secara lebih terangkum dan teragih, manakala pemilihan strategi dan plan pembangunan bagi setiap wilayah/negeri hendaklah ditetapkan bagi meningkatkan aktiviti ekonomi berasaskan kepada kekuatan dan keunikan di kawasan tersebut.

Kita dapat melihat potensi ekonomi di kawasan luar bandar tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Selain itu, tahap pembangunan sosio-ekonomi yang perlahan di kawasan luar bandar dan negeri-negeri kurang membangun tidak menggalakkan sektor swasta membuat pelaburan di kawasan berkenaan.

Pola kependudukan yang tertumpu di kawasan bandar telah mengakibatkan jumlah penduduk di kawasan bandar meningkat dengan ketara. Pada masa yang sama, potensi ekonomi di kawasan luar bandar tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Manakala akses kepada infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar masih belum menyeluruh. Saya pasti perkara ini akan mendapat perhatian pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Kedua, pemberian kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023 m/s 17, dinyatakan jumlah pemberian dan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Negeri di bawah Anggaran Perbelanjaan Mengurus yang merangkumi 13 jenis pemberian dan bantuan mencecah RM8.36 bilion, dan Kelantan tersenarai untuk menerima RM351 juta, iaitu 4.2 peratus daripada keseluruhan jumlah yang diperuntukkan ini.

Soalan saya kepada Kementerian Kewangan, adakah Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menyemak semula kadar pemberian mengikut kepala (per kapita) di bawah Perkara 109 Perlembagaan Malaysia yang kali terakhir disemak adalah pada 2006, hampir 17 tahun yang lalu, bagi menyesuaikan dengan keadaan dan keperluan kewangan semasa yang dihadapi oleh negeri-negeri, khususnya kenaikan inflasi dan kos semasa yang lebih tinggi.

Spesifik juga untuk Kelantan, mohon penjelasan berkenaan ungkapan YAB Perdana Menteri tempoh hari bahawa “Kementerian Kewangan akan memperuntukkan ‘sebahagian’ daripada Wang Ehsan Kelantan dan Terengganu supaya disalurkan secara langsung khususnya untuk membantu golongan miskin”.

Walau apapun istilah yang digunapakai, hendaklah ada ketelusan dan ‘konsistensi’ polisi di pihak Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS bagi memastikan hak yang wajib diserahkan kepada Kelantan dan Terengganu dilunaskan mengikut Akta Pembangunan Petroleum (PDA 1974) dan perjanjian yang dimeterai, supaya agenda meningkatkan tahap pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dijayakan dengan sebaiknya.

Ketiga, daya tahan fiskal.

Ruang fiskal yang terhad terus mengekang pembiayaan sektor awam untuk melaksanakan program dan projek pembangunan. Kutipan hasil Kerajaan masih tidak selari dengan pertumbuhan ekonomi. Struktur hasil negara yang masih bergantung kepada cukai langsung dan asas percukaian kecil juga telah mengehadkan kutipan hasil Kerajaan.

Pengenalan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) turut memberi impak ke atas kutipan hasil negara. Selain itu, negara masih bergantung kepada hasil berasaskan petroleum dan perdagangan komoditi mentah yang terdedah kepada ketidakstabilan harga komoditi dunia.

Bagi tahun 2023, anggaran perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99 peratus. Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan hasil jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan.

Dalam hal ini, kerajaan wajar memperkenalkan inisiatif baharu untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pematuhan cukai, di samping memperkukuh pengurusan perbelanjaan kerajaan supaya lebih telus.

Soalan saya kepada Kementerian Kewangan, adakah kerajaan bercadang untuk mempertimbangkan suatu mekanisma bagi menetapkan paras ambang (threshold) untuk perbelanjaan mengurus berbanding hasil semasa, contohnya pada paras 90 peratus atau 85 peratus, supaya ruang fiskal kerajaan lebih anjal untuk melaksanakan program dan inisiatif membantu rakyat.

Keempat, program membasmi miskin tegar.

Kami menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membasmi miskin tegar, melalui pendekatan yang ditambah baik dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), yang perlu diteliti mekanisma pelaksanaannya.

Kumpulan utama yang perlu mendapat manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan, termasuk program-program untuk meningkatkan pendapatan, adalah kumpulan B40, miskin dan golongan rentan ekonomi.

Selain itu, akses kepada pendidikan yang berkualiti untuk kumpulan ini mesti diberikan keutamaan kerana ia memberikan peluang kepada mereka untuk mengubah status sosioekonomi dan meningkatkan keupayaan sara hidup.

Program bantuan yang bersasar dengan polisi graduasi (keluar dari kepompong kemiskinan, ataupun penerima zakat menjadi pembayar zakat) perlu dirangka untuk menggalakkan mobiliti sosial kumpulan ini.

Pendekatan ini adalah perlu kerana kumpulan yang berbeza mempunyai ciri dan keperluan yang berbeza. Dengan cara ini, matlamat untuk menyediakan taraf kehidupan yang wajar kepada seluruh rakyat akan dapat dicapai, selain mengurangkan kebergantungan mereka kepada bantuan Kerajaan.

Saya ingin berkongsi pelaksanaan program ini di Bachok, yang amat dekat dengan hati saya.

Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak EPU, dan penghargaan khusus kepada Dato’ Sri Mustapha Mohamad yang telah memilih Bachok untuk dijadikan suatu lokasi dalam melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia, melibatkan 53 ketua isi rumah (KIR), 17 di Kampung Kubang Golok dan 36 di Kemasin dan Kampung Balai (perkampungan masyarakat Siam di Bachok).

Program bantuan dan sokongan yang telah berjalan ini diselaraskan secara bersama dengan pihak Pejabat Daerah, ECER (diwujudkan pegawai lapangan), UMK, dan pastinya kerjasama erat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Saya ambil contoh Puan Su, memang daif, diberikan mesin untuk membuat kuih dan tapak gerai untuk menjual mi celup, sedikit sebanyak membantu menampung kos sara hidup beliau sekeluarga. Keduanya, Abe Man & Kak Pah di Kemasin.

Mereka sebelum ini menjual kuih putu mayam, diuli dan sediakan secara manual dalam 100 keping sehari, bangun pukul 4-5 pagi, tetapi sekarang sangat gembira, dapat menghasilkan lebih banyak kuih dalam tempoh yang singkat, dan jualan yang lebih tinggi.

Ringkasnya, program ini telah dimulakan dan telah berjalan. Soalan saya, apakah status program yang telah dimulakan ini di seluruh negara.

Berkenaan IPR yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi semalam, difahamkan kerajaan menyasar 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar dan B40, yang menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Namun jika diperhatikan dalam ucapan Bajet YAB PM, kira-kira 130,000 rakyat tersusah akan dibantu, dan kemiskinan tegar ini akan dinoktahkan tahun ini. Soalan saya, ada perbezaan jumlah rakyat tersusah daripada ucapan PM dan laporan media majlis pelancaran Menteri Ekonomi semalam, PM sebut 130,000 rakyat termiskin, tetapi Menteri Ekonomi sebut 100,000 peserta. Tempohnya PM sebut tahun ini (berbaki 9 bulan), Menteri Ekonomi sebut program ini melibatkan pemantauan 24 bulan (yakni 2 tahun) Apapun saya bersetuju dengan Larut dan Beluran, kita mahu noktahkan dalam tempoh 1 tahun insya-Allah.

Di sini pentingnya kesediaan sebuah sistem pangkalan data bersepadu melibatkan kesemua agensi yang terlibat, yang telah dimulakan oleh pentadbiran terdahulu, bagi menyelaraskan maklumat penerima serta bentuk bantuan yang diperlukan, supaya tidak berlaku risiko inclusion and exclusion error (kesalahan memasukkan dan keciciran penerima).

Kelima, kesejahteraan belia.

Belia merupakan satu kumpulan sasaran yang penting kerana golongan ini mempunyai peranan utama sebagai penentu masa hadapan negara. lsu utama yang perlu diberikan tumpuan ialah penciptaan peluang-peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang setanding dengan kelayakan, kemahiran dan bakat yang mereka miliki.

Tahap gaji yang rendah menyukarkan golongan belia untuk mencapai kestabilan kewangan dalam kehidupan. Faktor ini menyebabkan golongan belia masih tidak mampu untuk memiliki rumah walaupun Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program untuk memastikan belia mampu memiliki rumah.

Belia sebagai harapan masa hadapan harus dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran dan disemarakkan lagi penglibatan dalam bidang keusahawan.

Saya beralih kepada permasalahan di Bachok yang perlukan perhatian dan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

Pertamanya, saya berterima kasih kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Cawangan Bachok di Tangok. Penubuhan universiti ini dengan pemfokusan kepada bidang keusahawan, ekonomi luar bandar dan veterinar merupakan pemangkin kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi di Bachok, di samping aktiviti kajian dan sukarelawan yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat setempat.

Saya mengharapkan KPT memberikan perhatian kepada kampus-kampus universiti sebegini supaya hubungan universiti, pensyarah, pelajar dan masyarakat dapat dieratkan, dan menerima limpahan daripada aktiviti ekonomi dan pengajian secara lebih meluas.

Khusus di Bachok, saya bangkitkan kembali status Kolej Komuniti Bachok yang telah pun dirasmikan majlis pecah tanah pada 2018, namun ditangguhkan sehingga kini, sedangkan wujud permintaan yang amat tinggi dalam kalangan anak-anak muda di Bachok untuk program pendidikan TVET.

Pada masa sama, mohon perhatian di pihak Kementerian Kerja Raya untuk menaik taraf kualiti jalan di sekitar Kandis, Tangok, Pantai Irama dan Jelawat – laluan jalan yang sempit tidak lagi dapat menampung kapasiti trafik pengguna tempatan di sekitar Pasar Jelawat dan Bandar Baru Jelawat, apatah lagi kapasiti trafik pengguna luar yang menggunakan laluan Bachok untuk ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu melalui Tok Bali.

Dengan siapnya Hospital Daerah Bachok yang baharu di Jelawat, dijangka kesesakan lalu lintas ini akan bertambah rumit, dan mohon perhatian di pihak JKR bagi menjalankan kajian seterusnya menambah baik kualiti jalan raya di jajahan Bachok, sama ada dengan membuat pelebaran jalan, jalan lencongan (bypass) ataupun jejambat (flyover) bagi menampung kapasiti trafik yang semakin tinggi tanpa mengira waktu puncak.

Seterusnya, pembangunan sektor pelancongan, pertanian dan perikanan.

Pagi tadi kami Ahli-Ahli Parlimen PN dalam portfolio Pelancongan, diketuai YB Langkawi telah mengadakan pertemuan dengan YB Menteri bersama YB Timbalan Menteri dan pegawai kanan MOTAC untuk mendengar cadangan dan pandangan kami. Suatu usaha yang amat baik.

Saya bangkitkan perlunya suatu pelan induk pembangunan pelancongan pesisir pantai di kawasan luar bandar yang berpotensi seperti di Bachok, khususnya Pantai Senok, Pantai Irama, Pantai Tapang, dan Pantai Melawi, melibatkan penyediaan infra, jalan, lanskap dan kemudahan rekreasi, di samping perlunya perhatian Kementerian untuk membangunkan bakat muda untuk mewarisi seni budaya, warisan dan kraftangan supaya kekal terpelihara.

Pemulihan dengan pembaharuan.

Perlu diingatkan, matlamat utama sesebuah perancangan pembangunan adalah untuk memberi nilai tambah (value-added) dan limpahan berganda (multiplier-effect) bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan dayasaing negara, seterusnya memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati secara lebih adil dan saksama.

Selain itu, pemulihan ekonomi perlu menjadi ‘batu lonjakan’ kepada pembaharuan ekonomi. Inilah peluang keemasan untuk penyusunan semula struktur ekonomi negara, khususnya bagi menangani permasalahan kemiskinan, pendidikan dan kemahiran tempatan, kelestarian alam, sekuriti makanan, keupayaan globalisasi, dan ketinggian integriti.

Adalah amat mendukacitakan sekiranya kita mampu memulihkan semula ekonomi negara, namun hanya kembali ke tahap sosioekonomi sebelumnya, tanpa membawa sebarang ‘perubahan struktural’ dan ‘budaya ekonomi baharu’ bagi mendepani cabaran mendatang yang pastinya lebih mencabar.

Dengan izin, Recovery without reforms is a waste.

Bachok akhiri ucapan dengan dua rangkap pantun.

Dari Jelawat ke Pantai Irama,
Singgah Tawang membeli joran,
Jana ekonomi perlu kerjasama,
Kerana rakyat dahaga kemakmuran.

Apabila padi tidak ditampi,
Manakan tahu bernas dan hampa,
Apabila janji tidak ditepati,
Banyaklah seteru nahas pun tiba.
– HARAKAHDAILY 28/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari 2023.

- Advertisement -