PARIS: Lionel Messi dinobatkan sebagai pemain terbaik FIFA 2022 selepas memenangi gelaran sulung Piala Dunia bersama Argentina pada Dis lalu di Qatar.
Penyerang berusia 35 tahun itu menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 itu, yang dimenangi Argentina menerusi sepakan penalti menentang Perancis berikutan keputusan seri 3-3 selepas masa tambahan, lapor AFP.
Messi yang hadir menerima trofi dalam majlis yang berlangsung di Paris pada Isnin (27 Feb), waktu tempatan itu, menewaskan rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain, dan saingan akhir Piala Dunia, Kylian Mbappe untuk anugerah itu; selain pemenang Ballon d’Or Karim Benzema.
Ia adalah kali kedua Messi memenangi penghormatan yang dirasmikan oleh FIFA pada 2016 selepas badan induk dunia bola sepak itu berpecah daripada penganjur Ballon d’Or France Football.
Pemain wanita terbaik pula jatuh kepada Alexia Putellas dari Sepanyol untuk tahun kedua berturut-turut.
Putellas memenangi anugerahnya daripada Alex Morgan dari Amerika Syarikat dan Beth Mead, yang membawa England merangkul kejuaraan Kejohanan Eropah pada 2022, lapor Reuters pula.
Terdahulu, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni telah dipilih sebagai jurulatih lelaki terbaik FIFA selepas memimpin pasukannya merangkul kejuaraan Piala Dunia pada Dis lalu itu.
Anugerah jurulatih wanita diberikan kepada Sarina Wiegman, yang mengetuai England meraih gelaran di Kejohanan Eropah Wanita.
Sementara, anugerah penjaga gol wanita pula menjadi milik pemenang Euro, Mary Earps dari England, dan penjaga gol lelaki terbaik ialah pemenang Piala Dunia Argentina, Emiliano Martínez. – HARAKAHDAILY 28/2/2023