Royalti: 22 tahun dibayar ‘direct’ kepada Terengganu

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

Pertamanya saya ini wakil rakyat dari Terengganu. Soal royalti petroleum ini adalah perkara besar tidak kiralah, apa namanya sama ada royalti dana khas, wang tunai petroleum ataupun wang ihsan. Sebagai rakyat Malaysia yang juga rakyat Terengganu, saya berasa kesal melihat Terengganu dan juga Kelantan yang merupakan negeri-negeri dikatakan ‘Malay Belt’ yang utama, secara jelas diperkotak-katikkan dalam soal hasil petroleum ini.

- Advertisement -

Adalah di luar igauan saya, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dari Tambun akan mengulangi perkara yang sama berlaku ketika bayaran tunai kepada negeri ini dinafikan pada tahun 2000 di bawah Barisan Nasional, kerana ketika berkempen dahulu sama ada Perikatan Nasional ataupun Pakatan Harapan sama sahaja nadanya daripada segi isu hasil petroleum ini.

Ketika Pakatan Harapan memerintah pun seketika pada ketika itu, topik yang dibahaskan pada waktu itu pun janji manifesto. Ketika itu Pakatan Harapan, yang pada ketika itu sehingga 20 peratus. Kami bersama-sama dengan wakil-wakil rakyat dari Sarawak, itulah topik perbahasannya ketika itu dan juga dari Sabah.

Saya ingin memetik jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri minggu yang lalu. Antara lain menyebut, PETRONAS tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Terengganu selama ini. Ini adalah jawapan yang ada dalam Hansard. Saya rasa ini tidak betul dan mengelirukan Dewan yang mulia. Hal ini kerana saya dimaklumkan, sejak tahun 1978 sehingga tahun 2000, lebih RM7 bilion wang hasil petroleum dibayar secara langsung. Direct daripada PETRONAS kepada negeri Terengganu, 22 tahun. Kalau dua kali bayaran dibuat setiap tahun maknanya lebih 40 kali dibayar secara direct. Cuma pada tahun 2000 barulah ia dibayar melalui Kementerian Kewangan. Dalam Belanjawan 2023, rata-rata melihat langkah pemberian petroleum secara terus kepada golongan sasar tanpa melalui kerajaan negeri menimbulkan persoalan dan sangkaan yang tidak baik iaitu adakah Langkah ini bermaksud Kerajaan Madani, perpaduan, ingin mengulangi apa yang berlaku ketika tahun 2004.

Ketika itu Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional, kerajaan negeri di bawah PAS. Pemberian wang ihsan tanpa melalui kerajaan negeri sangat bertentangan dengan konsep federalisme yang sepatutnya diperkasakan pada era Kerajaan Madani pada hari ini. Kita bercakap tentang perpaduan, yang penting diperkasakan hubungan antara Persekutuan dan negeri. Lebih-lebih lagi dalam soal kebajikan rakyat, soal pembangunan negeri.

Pembangunan negeri yang kita ketahui adalah antara negeri-negeri yang disifatkan termiskin. Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, sebanyak enam buah negeri disenaraikan, Terengganu dan Kelantan dimasukkan sama. Malah diberikan keutamaan di dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, supaya diberikan peruntukan sehingga lebih 50 peratus daripada dana pembangunan supaya disalurkan kepada enam buah negeri ini.

Saya bimbang sekiranya selepas ini ditafsirkan enam buah negeri ini kalau dibuat pecahan carta pai, daripada segi pembahagian dana pembangunan, betul sebanyak 50 peratus lebih dana pembangunan. Akan tetapi negeri seperti Kelantan dan Terengganu mendapat potongan kek yang sangat kecil sehingga ia dapat dilihat dengan jelas menganaktirikan negeri-negeri Melayu. Lebih-lebih lagi dengan jenama label Kerajaan Perpaduan, yang sepatutnya langkah-langkah yang diambil mendorong jambatan persahabatan, memupuk kerjasama. Bukan mewujudkan jurang antara negeri dan Persekutuan.

Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang saya sebutkan tadi, disenaraikan miskin, yang Rancangan Malaysia Kedua Belas memberikan tumpuan merapatkan jurang dengan negeri-negeri yang lain.

Tuan Yang di-Pertua, terkait dengan isu wang ihsan ini saya mohon penjelasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya menyatakan apa bentuk mekanisme pengagihan yang beliau maksudkan. Sebelum mekanisme itu diwujudkan saya ingin menyeru, supaya sewajarnya kerajaan negeri dan jentera di peringkat negeri dilibatkan sama.

Jangan wujudkan pertindanan fungsi kerana ia merugikan masa, merugikan sumber, kita mahu berjimat belanja, yang telah pun membuktikan keberkesanan selama ini. Terengganu ini negeri berdaulat dan menjadi sebahagian daripada Persekutuan, sama dengan negeri-negeri yang lain.

Pemberian secara terus hasil petroleum kepada golongan sasar yang dimaksudkan tanpa melalui kerajaan negeri adalah tidak munasabah. Sewajarnya pemberian hasil daripada wang petroleum ini diberikan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan bersama agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama, berbincanglah dan berunding.

Di Terengganu ada kerajaan negeri yang diketuai oleh Perikatan Nasional. Kita boleh lihat pencapaian yang telah dikecapi oleh Terengganu semasa pentadbiran Perikatan Nasional. Kuala Terengganu diiktiraf antara 10 buah bandar paling bahagia di negara ini. Negeri Terengganu mengikut Kajian Indeks Kebahagiaan antara negeri yang mencatat skor tertinggi selepas dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Negeri Terengganu skor kebahagiaan tertinggi, kepuashatian rakyat. Kajian yang dilaksanakan oleh PLANMalaysia. Selain itu, Terengganu berada di kedudukan ketiga daripada lima buah negeri yang merekodkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar yang lebih baik berbanding pencapaian nasional pada tahun 2021. Ini adalah hasil pentadbiran Perikatan Nasional.

Rakyat Terengganu yakin dengan jentera yang berfungsi di bawah kerajaan negeri, yang berusaha keras untuk rakyat dan tidak menganaktirikan sesiapa. Semua yang layak dibantu tanpa mengira bangsa, agama ataupun pendirian politik. Oleh sebab itulah, Perikatan Nasional menang 100 peratus, mendapat sokongan mutlak di dalam Pilihan Raya Umum yang lalu, dengan majoriti yang besar.

Saya memperoleh majoriti 41,000 di negeri Terengganu. Kesemua lapan paling rendah pun majoriti adalah lebih daripada 15,000. Perikatan Nasional adalah pilihan rakyat Terengganu. Sebagai pejuang demokrasi, kesaksamaan, keadilan. Mohon hormatilah kemahuan rakyat Terengganu. Insya-Allah, pilihan raya negeri nanti rakyat Terengganu akan tegaskan sekali lagi, insya-Allah. Ini kalilah, semua 32 buah kerusi.

Kedua, saya ingin menyentuh berkenaan peranan Pusat Digital Ekonomi (PEDi) untuk membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan e-dagang. Usaha pendigitalan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana adalah penting kerana PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi Malaysia.

Dengan menyumbang 37.4 peratus atau RM518 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar dengan rekod 7.32 peluang pekerjaan. Proses pendigitalan dalam kalangan PMKS adalah sangat penting namun masih rendah di Malaysia. Pusat Ekonomi Digital ini diwujudkan bagi memberi penekanan transformasi digital kepada masyarakat di luar bandar dan kawasan miskin bandar agar boleh memperkasakan diri kepada kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi digital. Di Terengganu, sebagai contoh para peniaga di Pasar Payang, ramai dalam kalangan peniaga di Pasar Payang yang merupakan tumpuan termasuk pelancong antarabangsa, masih meragui untuk mendigitilasasi perniagaan mereka. Saya harap kerajaan turut memberi tumpuan kepada misalnya, Pasar Payang ini agar Pusat Ekonomi Digital ini dapat ditubuhkan agar dapat memberi keyakinan kepada para peniaga untuk memperkasakan perniagaan mereka melalui digital ekonomi.

Tuan Yang di-Pertua, yang ketiganya Belanjawan 2023 seharusnya merangkumi peruntukan untuk menggalakkan penyusunan peluang untuk memajukan pengalaman pendidikan dan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Tuan Yang di- Pertua, saya terus masuk. Masa saya tidak banyak. Saya ingin menyebut sedikit tentang apa yang dimaksudkan dalam belanjawan cadangan menggalakkan syarikat milik kerajaan melabur sehingga RM1.5 bilion dalam syarikat startup. Saya rasa sepatutnya apa yang digalakkan adalah GLC supaya memberi ruang kontrak dan kerja kepada syarikat startup yang ada. Jangan bersaing dengan syarikat startup yang diwujudkan oleh usahawan- usahawan teknologi yang ada. Mereka boleh juga dalam bentuk menyumbang di dalam dana- dana yang diwujudkan misalnya Malaysia Science Endowment. Itu lebih membantu.

Seterusnya saya terus kepada perkara berkait dengan Kuala Terengganu. Saya ingin menarik perhatian tentang aspek-aspek pembangunan sosial ekonomi, kebajikan dan prasarana di Kuala Terengganu. Kuala Terengganu merupakan sebuah daerah berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan utama kerana kaya dengan kepelbagaian produk.

Aspek ekonomi setempat bagi nelayan terutamanya di pelabuhan LKIM Chendering. Masalah muara cetek telah terlalu lama yang membelenggu sejak sekian lama dan perlu diselesaikan segera. Saya berharap kementerian yang berkaitan membantu supaya muara di Pelabuhan Chendering ini dapat diperbetulkan situasinya supaya dapat membantu nelayan-nelayan di Kuala Terengganu. Selain daripada itu juga, termasuklah juga masalah kecetekan muara di Sungai Ibai yang saya difahamkan di dalam Belanjawan yang lalu sudah pun ada dan dalam proses pelaksanaan. Saya harap janganlah dimangsakan perkara yang penting ini kerana ia berkait dengan kepentingan nelayan dan nelayan ini seperti mana yang disebut tentang hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan. Nelayan Terengganu sentiasa dikaitkan dengan kemiskinan dan mereka ini perlu diberi bantuan.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin membawa Dewan yang mulia tentang pusat pengedaran makanan di Terengganu. Satu-satunya pasar borong yang ada adalah Pasar Borong Gong Pauh. Saya harap supaya dilihat supaya dapat diwujudkan satu pusat pengedaran makanan yang lebih tersusun, kalau tidak boleh pun, diperbetulkan situasi di Pasar Borong Gong Pauh dengan peruntukan daripada Persekutuan yang memerlukan belanjawan yang agak besar dan perlu diberi perhatian. Ini kerana ia adalah tempat di mana rakyat di negeri Terengganu bukan sahaja daripada Daerah Kuala Terengganu termasuk daripada daerah-daerah sekitarnya mendapatkan bekalan makanan. Ini memerlukan perhatian daripada kementerian yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari 2023.

- Advertisement -