Pengeluaran telur cukup untuk keperluan domestik

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13.4 bilion biji telah dikeluarkan pada 2018 dan 10.9 bilion pada 2019 berdasarkan kepada rekod pengeluaran telur di dalam negara,  

- Advertisement -

Menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mulai 2020, jumlah pengeluaran telur domestik menunjukkan peningkatan menjadi 12.9 bilion biji manakala 13.6 bilion biji pada 2021.

Namun, katanya telah berlaku sedikit penyusutan pengeluaran pada tahun 2022 kepada 13.3 bilion biji manakala sehingga Februari 2023, sebanyak 2.4 billion biji telur telah dikeluarkan.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan [PN-Tasek Gelugor] yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan berapa jumlah eksport telur ayam dan jumlah hasil pengeluaran keseluruhan setiap suku tahun oleh syarikat-syarikat tempatan bermula 2018 hingga akhir Februari 2023.

Beliau juga bertanya mengapa Kerajaan PH-BN mengimport telur dari India yang harganya lebih mahal dan saiz telur lebih kecil serta syarikat manakah yang mendapat AP import telur, bagaimana mereka dipilih dan berapa lama AP ini berkuat kuasa.

Secara purata, ujar kementerian, negara memerlukan sebanyak 11.6 billion biji setahun untuk keperluan domestik dengan kadar penggunaan purata sebanyak 968 juta biji sebulan.

“Oleh itu, rekod pengeluaran ini jelas menunjukkan pengeluaran telur adalah mencukupi untuk keperluan domestik setiap tahun dan terdapat lebihan yang membolehkan Malaysia mengeksport telur ke luar negara,” katanya.

Menurutnya lagi, Malaysia merupakan negara kelima pengeksport telur dunia, di mana destinasi eksport utama Malaysia adalah Singapura dan Hong Kong.

Jelasnya, rekod pengeksportan telur dari Malaysia telah mencatatkan sebanyak 1.9 bilion biji dieksport pada 2018 dan 1.7 bilion pada 2019.

Pada 2020, katanya sejumlah 956 juta biji telur dieksport, 2021 (2 bilion), 2022 (1.27 bilion) dan 181 juta biji sehingga Februari 2023.

Katanya, isu kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan berlaku apabila terdapat penyusutan pengeluaran yang dikesan mulai Oktober sehingga Disember 2022, di mana pengeluarannya tidak dapat menampung keperluan di dalam negara.

“Sebagai langkah intervensi jangka masa pendek bagi memastikan kecukupan bekalan telur di dalam negara, kementerian ini telah membenarkan pengimportan telur dari India dari jenis Fresh,” ujarnya.

Setakat ini, katanya hanya satu syarikat yang diberi kebenaran berdasarkan permohonan dan cadangan yang diterima daripada pihak syarikat.

Menurutnya lagi, syarikat tersebut diberikan kebenaran bagi mengimport telur dari negara India berdasarkan pengalaman mereka dalam membawa masuk telur dari India ke Qatar bagi memenuhi keperluan ketika penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.

Tambahnya, dengan keupayaan pihak syarikat yang mampu menghantar bekalan telur dalam masa yang singkat, kementerian telah bersetuju untuk memberi kelulusan import khas selama tempoh 6 bulan bermula Disember 2022.

“Dasar membenarkan pengimportan telur ini adalah bersifat sementara bagi tujuan memenuhi kekurangan bekalan telur di dalam negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -