Ketepikan perbezaan politik bantu IKS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini bagi merancakkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

- Advertisement -

Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkata, IKS merupakan industri paling besar yang dimonopoli sebahagian besar rakyat di Malaysia.

“Saya ingin ingatkan kepada kerajaan yang baharu supaya menyambung usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini walaupun dari PERIKATAN NASIONAL (PN) atau Barisan Nasional (BN).

“Yang baik kita ambil, yang tidak baik kita jernihkan sebab usahawan kecil dan sederhana ini berhadapan pelbagai kekangan untuk mereka maju.

“Contohnya, hasil-hasil yang diusahakan oleh pengusaha IKS, ke mana mereka nak salurkan, ini adalah tugas dan tanggungjawab kerajaan.

“Malah sebelum ini, sudah ada perancangan yang diatur susun dengan baik untuk pengusaha IKS,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Nik Muhammad Zawawi menggesa semua pihak mengenepikan perbezaan politik demi kemaslahatan rakyat.

“Sebelah pembangkang, jangan sebut bahawa ini idea kita, kerajaan ciplak idea kita dan kerajaan pula jangan rasa angkuh, semua yang dibuat kerajaan dahulu seolah-olah tak betul,” katanya.

Katanya, IKS perlu dipandu kerajaan selain menambahkan peruntukan kepada mereka.

“Kerajaan mesti memandu IKS, kalau ada projek yang dikeluarkan oleh mereka, kalau dihimpunkan boleh dieksport ke luar negara, kita kena belajar.

“Singapura sebagai contoh tidak ada pertanian, rambutan dan sebagainya, kalau kita pergi ke negara Arab, makanan yang ditinkan itu ‘Made in Singapore’.

“Kerajaan sebelum ini telah merancang supaya bahan-bahan pertanian yang ada di negara kita ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan tidak berlaku pembaziran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/23

- Advertisement -