KUALA LUMPUR: Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) menggesa kerajaan Pusat supaya memberi tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur negeri Kelantan.
Katanya, ini meliputi penyelenggaraan jalan raya utama, termasuk garisan putih pembahagi jalan kerana penting demi memastikan nyawa penduduk negeri itu terpelihara.
Begitu juga dengan perancangan pembinaan empangan Nenggiri dan Lebir di Kelantan.
“Saya berharap kerajaan benar-benar memberi perhatian kali ini kerana ia membabitkan nyawa lebih 300,000 rakyat di Kelantan.
“Kami (Kelantan) tidak ada pelabuhan, tidak ada lapangan terbang antarabangsa, tidak ada lebuh raya, tidak ada empangan dan sebagainya.
“Semua hak kami telah dinafikan, hanya kerana menunaikan hak kami melalui proses demokrasi memilih PAS sebagai sebuah kerajaan,” katanya ketika perbahasan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut membangkitkan isu pembinaan Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dan Pasir Pekan dan ingin tahu pelaksanaan projek berkenaan.
“Klinik Kesihatan Wakaf Bharu adalah sebuah bangunan lama yang beroperasi di situ sejak 50 tahun lepas. Ini menyebabkan ada keperluan pembinaan bangunan baharu kerana bilangan pesakit kini melebihi 400 orang sehari,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/23
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!