Naik taraf rumah pam supaya bekalan air cukup

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Pengairan Kerian yang berkeluasan 18,497 hektar merupakan skim pengairan kawasan jelapang padi ke empat terbesar di Malaysia, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

- Advertisement -

Menurut KPKM, sumber air utama bagi skim pengairan itu adalah daripada Empangan Bukit Merah, sumber air sungai sekitarnya dan air hujan.

Katanya, dalam usaha untuk menampung keperluan serta memastikan bekalan air pengairan yang mencukupi untuk Rancangan Pengairan Kerian, KPKM telah melaksanakan beberapa inisiatif.

“Antaranya adalah menaiktaraf rumah-rumah pam sedia ada bagi meningkatkan kecekapan pengoperasian serta keupayaannya untuk mengepam air tambahan ke kawasan Rancangan Pengairan Kerian.

“Pada masa ini, KPKM sedang melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf dua buah rumah pam, iaitu Rumah Pam Padang Lalang dan Rumah Pam Bogak yang berjumlah RM58 juta,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Misbahul Munir Masduki [PN-Parit Buntar] di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Misbahul meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah rancangan Kerajaan sebagai projek alternatif selain kolam Bukit Merah yang menjadi sumber bekalan air sawah supaya bekalan air sentiasa mencukupi di daerah Kerian..

Selain daripada itu, kementerian juga akan melaksanakan kerja-kerja membina dan menaiktaraf infrastruktur pengairan dan saliran pertanian di Rancangan Pengairan Kerian secara berperingkat, bertujuan untuk meningkatkan tahap kecekapan sistem pengairan sekali gus mengurangkan pembaziran air dan seterusnya meningkatkan kuantiti air yang tersedia untuk kegunaan pengairan sawah padi. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -