KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) amat menyedari akan kesan perubahan iklim dan cuaca semasa terhadap penanaman padi dalam negara.
Menurut KPKM, walaupun perubahan iklim dan cuaca merupakan sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan, namun tanpa pengawasan yang teliti, ketidaktentuan cuaca yang berlaku ketika ini berupaya menjejaskan pengeluaran padi dan produktiviti beras sekaligus mengancam sekuriti bekalan beras negara.
“Justeru, KPKM giat merangka langkah dan strategi bagi meningkatkan hasil padi dan beras negara,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi [PN-Kuala Langat] di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Yunus dalam soalannya meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jaminan kementerian terhadap sumber beras negara kesan ragam iklim yang akan menyebabkan hasil padi merosot.
Beliau juga bertanyakan apakah perancangan kementerian untuk memastikan sumber padi dalam negara mencukupi.
KPKM berkata, antara langkah yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan bekalan padi dalam negara mencukupi dan terjamin adalah melalui pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SBB), mengaplikasikan formulasi baja secara spesifik mengikut tanah (site specific nutrient management), menggunakan kaedah penanaman secara moden seperti penggunaan dron bagi tujuan meracun, menggunakan jentera penanaman serta penuaian terkini dan sebagainya.
“Memandangkan tanaman padi amat bergantung rapat dengan kecekapan sistem pengairan, kerajaan turut memberi fokus dalam menambah baik dan menaiktaraf sistem pengairan di kawasan penanaman padi,” katanya.
Di samping itu, ujarnya kerajaan terus menyediakan peruntukan secara tahunan bagi membangunkan telaga tiub serta takungan seperti empangan sebagai storan air memandangkan aktiviti penanaman padi di negara ini sebahagian besarnya masih bergantung kepada curahan air hujan.
Bagi menjamin bekalan beras sentiasa mencukupi sekiranya berlaku perkara di luar jangka seperti perubahan cuaca dan iklim, kerajaan telah mewujudkan stok penimbal beras di seluruh negara, tambahnya.
Katanya, penyeliaan stok penimbal beras itu diurus sepenuhnya oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang merupakan salah satu obligasi sosial yang perlu dipenuhi sepertimana yang terkandung dalam perjanjian konsesi di antara Kerajaan Malaysia dan BERNAS. – HARAKAHDAILY 28/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!