Kejayaan Madrasah DAR hasil usaha orang lama

- Advertisement -

MARANG: Kejayaan pendidikan Madrasah Darul Iman (DAR) dan politik PAS Terengganu merupakan hasil titik peluh orang terdahulu, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Husain Awang.

- Advertisement -

Menurutnya, 30 tahun lalu, mereka terlebih dahulu meletakkan batu asas yang kuat sebelum DAR kini meraih kejayaan dan menjadi tenaga penting kejayaan PAS.

“Dewan Ulamak PAS Terengganu menjadi penggerak utama dan penentu dasar kepada DAR. Institusi formal pendidikan PAS pula bermula semenjak tahun 1985.

“Sebelum itu bermula Pusat Asuhan Tunas Islam, PASTI.
DAR pula bermula di Batu 6, Terengganu dan diikuti seterusnya dengan madrasah-madrasah DAR yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) Madrasah DAR Terengganu ke 12 yang diadakan di Madrasah Darul Iman, Bukit Payong, baru-baru ini.

Husain pada ketika itu merupakan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Terengganu.

Katanya, PAS Terengganu ketika itu membangunkan sekolah untuk membantu kerajaan meringankan beban membina generasi yang baik.

“(Hasratnya supaya generasi akan datang) ada aqidah yang betul, menjadi insan yang berakhlak mulia, mempunyai peribadi unggul, beramal soleh, melaksanakan tanggungjawab kepada Allah, bangsa dan negara, serta generasi yang sanggup pertahankan agama,” katanya.

Katanya lagi, matlamat itu berjaya dicapai kini sekaligus menafikan tuduhan mengatakan sekolah PAS melahirkan ekstremis dan militan.

“Yang ada ialah mereka yang menunaikan amar makruf dan nahi mungkar. Kita mengajar mereka mana yang halal dan haram, mana yang membawa ke syurga dan sebaliknya.

“Kita didik mereka hingga sampai ke peringkat menjadi daie (pendakwah), dan berjihad di jalan Allah. Kesempurnaan iman ialah berjihad di jalan Allah. Kita mahu melihat mereka yang lahir dari madrasah DAR ialah golongan yang berjihad,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini DAR dinaungi PAS dan tenaga kerja DAR juga merupakan tenaga kerja parti. Namun kini, PAS adalah kerajaan negeri.

Katanya, jika sebelum ini PAS menjadi kerajaan negeri, DAR mempunyai kemahuan politik untuk menubuhkan sekolah Islam dengan acuan Islam yang sebenar.

Setelah menjadi kerajaan, PAS wujudkan pula sekolah yang membawa hasrat sama melalui Sekolah Rendah Islam Darul Iman, SRIDI dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman, SMIDI.

“Alhamdulillah, walaupun ada saingan dari SRIDI, tetapi madrasah DAR tetap dapat dijayakan. Kewujudan SRIDI, SMIDI, kelas tafaqquh tidak menjejaskan DAR, walaupun ada juga saingan dan cabaran,” katanya.

Beliau turut mengingatkan asas kekuatan sesuatu bangsa iaitu melalui pendidikan.

Katanya, dalam sejarah Islam juga, keagungan Islam juga bermula dari tarbiah dan pendidikan yang bermula dari zaman Nabi hingga akhirnya Islam dapat menakluk dunia.

Untuk rekod, Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSRI Madrasah DAR Terengganu merupakan program tahunan di bawah pengelolaan Majlis Pengerusi-pengerusi ALP dan Mudir/Mudirah DAR Terengganu.

Seramai 10 pelajar mendapat 13A, lapan pelajar mendapat 12A, 24 pelajar mendapat 11A dan 13 pelajar mendapat 10A.

Tiga anugerah istimewa kepada disampaikan kepada tiga pelajar terpilih, manakala Anugerah khas DAR disandang oleh Sekolah Rendah Islam SRI Darul Rahman, Kerteh.

Anugerah pelajar terbaik subjek Diniah (agama) dan akademik juga disampaikan.

Turut hadir, Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu (DUPT), Ismail Osman, Naib Ketua DUPT merangkap Pengarah Jabatan Persekolahan dan Tarbiah DAR Terengganu, Ibrahim Tahir serta Pengerusi Majlis ALP dan Mudir/Mudirah DAR Terengganu, Nik Muhammad Nasri Nik Malek. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -