Jangan jadikan dendam kepada penjawat awam

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru kerajaan supaya tidak menjadikan dendam kepada penjawat awam susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

- Advertisement -

Menurutnya, kalangan ahli politik yang berwibawa pemikirannya dan berintegriti, diwajibkan agar melaksanakan keadilan kepada semua pihak.

“Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam undi penjawat awam, jangan jadikan dendam yang salah dan merosakkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, perbahasan bajet bukanlah sekadar menyebut tentang peruntukan jumlah kewangan dengan angka besar sebagaimana yang dibentangkan sahaja.

Menurutnya, walaupun tidak dinafikan besarnya jumlah peruntukan kewangan yang mencukupi adalah penting, dengan syarat tidak berlaku keborosan dan kebocoran.

“Perkara yang terpenting selepas itu ialah pengurusan yang baik, efisien, adil dan saksama,” ujarnya lagi.

Katanya, mereka yang mentadbir dengan kuasa politik (legislatif) yang kuat dan beramanah, wajib menjaga perhubungan baik dengan pentadbiran (eksekutif).

“Jangan sekali-kali mengacau pegawai yang berwibawa dengan alasan politik,” tegasnya yang juga Timbalan Ketua Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL

Beliau menegaskan lagi, perlu ada pemisahan kuasa yang tidak diganggu oleh sebarang campur tangan politik yang salah.

Menurutnya, kalangan ahli politik yang berwibawa pemikirannya dan berintegriti, diwajibkan agar melaksanakan keadilan kepada semua pihak daripada kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan penyokong atau pembangkang mahupun kalangan atas pagar yang tidak berpendirian, bahkan juga terhadap musuh.

Justeru, kata beliau menubuhkan kerajaan bukan sekadar meletakkan jenama (Kerajaan Perpaduan), sepatutnya mengikut apa yang ditakrifkan oleh semua kamus politik dalam segala bahasa ialah kerajaan tanpa pembangkang atau pembangkangnya terlalu kecil.

“Kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca jangan mudah-mudah melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara. Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai,” ujar beliau yang membaca dua rangkap pantun.

Kalau tanya kaji cuaca,
Kilat petir datang membelah,
Kalau rumah berdinding kaca,
Jangan kacau orang sebelah.

Kayu tengkawang dibuat rumah,
Rumah dipasang pagar berduri,
Kalau lawan dibawa ke mahkamah,
Kalau mengampu jadi menteri.

“Berlaku adil terhadap semua tanpa mengira siapa, adalah asas perpaduan,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 28/2/2023

- Advertisement -