Dua lagi batalion PGA bakal diwujudkan di Sabah

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sebanyak dua lagi batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) bakal diwujudkan di Sabah iaitu Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

- Advertisement -

Beliau berkata penambahan dua batalion itu, menjadikan Sabah bakal mempunyai tujuh batalion PGA secara keseluruhan dengan lima sedia ada iaitu Batalion 14 Tawau, Batalion 15 Sandakan, Batalion 16 Kinarut, Batalion 17 Lahad Datu dan Batalion 20 Beluran.

Beliau berkata demi memperkukuh serta memperketatkan lagi kawalan di sempadan negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang giat membangunkan satu lagi pos baharu PGA iaitu Pos Pangalungan di Nabawan.

“Saya yakin, dengan adanya penambahan pos dan batalion berkenaan, akan dapat mempertingkatkan lagi mutu kawalan keselamatan terutamanya di kawasan sempadan, bagi mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin, selain turut menghalang jenayah rentas sempadan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas mengenai IPK Sabah berkenaan, Acryl Sani berkata projek pembangunan Pentadbiran Blok A dan Blok B IPK Sabah, melibatkan kos RM90.3 juta.

“Mengimbau kembali sejarah pembinaan IPK ini, ia mula dilaksanakan oleh pemaju yang dilantik iaitu syarikat Pembinaan BLT Sdn Bhd pada 16 Julai 2007 dan siap sepenuhnya pada tanggal 16 Jan 2013.

“Pada tanggal 13 Julai 2013, kompleks ini telah beroperasi sepenuhnya. Selain Bangunan Pentadbiran Blok A dan B, kompleks IPK baharu ini turut dilengkapi dengan Lokap Berpusat, Bengkel Komunikasi, Balai Pengawal, 17 Unit Kuarters Kelas C dan 60 Unit Kuarters Kelas D,” katanya.

Beliau percaya warga IPK Sabah mampu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin, serta mengingatkan kepada warga itu untuk mempertingkat profesionalisme serta usaha demi meletakkan PDRM di mercu kecemerlangan. – BERNAMA

- Advertisement -