Wujudkan Jabatan Warga Emas

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, supaya kerajaan menubuhkan jabatan khas untuk warga emas.

- Advertisement -

Katanya, ini berikutan golongan berkenaan dilihat mampu menyumbang idea dan tenaga kepada masa depan negara selain boleh membantu mereka dari segi pendapatan dan sebagainya.

Siti Zailah berkata, Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ menjelang tahun 2030 apabila 15 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk bakal berusia 60 tahun dan ke atas.

Justeru itu, katanya cadangan bagi menubuhkan jabatan berkenaan merupakan antara langkah pembangunan yang selari ke arah mesra warga emas.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, Siti Zailah mengemukakan pertanyaan sama ada Belanjawan 2023 yang dibentangkan bersifat mesra warga emas.

Terdahulu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, perancangan bagi menubuhkan Jabatan Warga Emas telah dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU lalu.

“Kami telah merancang sebelum PRU lalu supaya menubuhkan Jabatan Warga Emas sebab kalau sekarang, kita ada Jabatan Kanak-Kanak, jadi dengan rancangan untuk mewujudkan Jabatan Warga Emas juga boleh membantu mereka dari pelbagai segi.

“Selain itu, kita dapat gunakan mereka sebagai ‘work force’ (tenaga kerja) yang boleh digunakan dan cari cara bagaimana membayarnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2023.

- Advertisement -