Kontraktor projek Hospital Dungun terpaksa ditamatkan

Wan Hassan Mohd Ramli
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan projek pembinaan Hospital Dungun telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

- Advertisement -

Menurutnya, projek itu melibatkan pembinaan sebuah hospital baharu pakar minor dengan kapasiti 110 katil dan empat dewan bedah.

Katanya, projek itu telah bermula pada 23 Februari 2016 dan sepatutnya siap pada 14 Mac 2022.

“Namun demikian, kontraktor projek ini terpaksa ditamatkan oleh pihak JKR pada 14 Julai 2022 ketika kemajuan kerja fizikal telah hampir siap iaitu 99.86 peratus kerana pihak kontraktor gagal menyelesaikan proses terakhir iaitu Testing & Commissioning (T&C) dan memohon untuk menarik diri,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wan Hassan Mohd Ramli [PN-Dungun] di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilakah tarikh bermulanya operasi Hospital Dungun yang baru dan mengapakah punca-punca ianya tidak dapat beroperasi sebagaimana masa yang ditetapkan.

Tambah kementerian itu, pihak JKR telah melakukan berbagai usaha bagi memastikan kontraktor dapat menyelesaikan baki kerja namun masih gagal.

“Pada masa kini, pihak JKR sedang melaksanakan penilaian tender untuk melantik kontraktor penyiap projek ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -