KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Hospital Bachok sedang berada dalam fasa pembinaan, kata Kementerian Kesihatan.
Katanya, sehingga 31 Disember 2022, status kemajuan fizikal projek telah mencapai 80 peratus berbanding jadual 73.98 peratus
“Projek ini dijadualkan siap pada 27 Oktober 2023 dan dijangka beroperasi pada bulan Januari 2024,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Syahir Che Sulaiman [PN-Bachok] di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam soalannya, Mohd Syahir meminta Menteri Kesihatan menyatakan perkembangan terkini pembinaan Hospital Bachok dan jangkaan tarikh hospital tersebut siap sepenuhnya untuk keselesaan rakyat Bachok yang tergendala sejak 2020.
Menurut kementerian itu lagi, Projek Pembinaan Hospital Bachok telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Katanya, projek itu melibatkan pembinaan sebuah hospital baharu tanpa pakar dengan kapasiti 76 katil dan dua dewan bedah. – HARAKAHDAILY 27/2/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!