Kemiskinan haid

- Advertisement -

KEMISKINAN haid merupakan isu wanita global yang perlu diberi perhatian.Menurut kajian, dianggarkan kira-kira 500 juta penduduk wanita menghadapi masalah kemiskinan haid terutamanya dalam mendapatkan akses kepada barangan kebersihan diri seperti tuala wanita.

Hal ini ekoran kemiskinan yang membelenggu, sehingga kebanyakan wanita dari golongan ini terpaksa mengorbankan keperluan pengurusan kendiri mereka bagi mengutamakan barang keperluan asas seperti makanan dan lain-lain untuk meneruskan hidup. Ini termasuk kemampuan mendapatkan air bersih, tempat tinggal yang tidak kondusif serta keadaan tandas yang kurang sesuai untuk membersihkan diri.

Berdasarkan kajian yang dijalankan KPKWKM, dianggarkan 13.1 peratus wanita dan remaja di negara ini tidak mempunyai kemampuan untuk membeli tuala wanita. Begitu juga kajian-kajian yang dijalankan NGO yang memperjuangkan isu ini, ada sesetengah remaja memilih untuk tidak hadir ke sekolah kerana ketidakmampuan membeli tuala wanita. Ini menunjukkan masalah ini memberi kesan rantaian yang besar terutamanya melibatkan akses kepada pendidikan apatah lagi kitaran haid kebanyakan wanita adalah setiap bulan.

Kerajaan menunjukkan keseriusan dalam mengatasi masalah ini apabila menjadi antara negara pertama melaksanakan pink tax, iaitu menggugurkan cukai ke atas tuala wanita.

Dalam Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan bantuan bulanan kit asas kebersihan diri secara percuma yang disasarkan kepada 130,000 remaja perempuan di kalangan B40 yang dikenalpasti.

Inisiatif ini dilaksanakan KPKWKM melalui LPPKN dengan menyediakan Kit SERI (Social Empowerment of Reproductive Health Initiative s) kepada 1,124 sekolah seluruh negara.

Selain itu, Kedai MAIWP dan YADIMart turut menyediakan tuala wanita secara percuma selain menggiatkan usaha serta kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Secara peribadi saya berpandangan apa sahaja usaha dan inisiatif ke arah mengatasi kemiskinan haid wajar disokong dan diteruskan, namun perlu penelitian agar bantuan dapat diberikan secara bersasar – tidak berlaku pembaziran, ketirisan dan keciciran. Kerjasama kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan amat diperlukan agar masalah ini dapat diatasi secara holistik.

Apa yang lebih penting kemiskinan haid perlu dilihat dalam skop yang lebih meluas iaitu memberi perlindungan kepada golongan wanita dengan memberikan keutamaan kepada persoalan kesihatan, kebajikan, kebersihan dan kesucian golongan ini merangkumi aspek pendidikan ilmu akil baligh, pengurusan kendiri dan kesihatan reproduktif.

Ini bertepatan dengan prinsip syariat dalam memastikan kesejahteraan jiwa, fizikal, rohani dan maruah golongan ini terpelihara.

NUR FARHANA OMAR,
Felo Pembangunan Sosial The Research – HARAKAHDAILY 24/2/2023

Rujukan:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=464313921922340&id=100050312087009&mibextid=Nif5oz

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=471976167949024&id=100054099345604&mibextid=Nif5oz

- Advertisement -
- Advertisement -