Jangan jaga diri orang

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T yang bermaksud:

- Advertisement -

“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya.”

(Al-Muddaththir : 38)

 Dan dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”

(Al- Israa : 15)

Setiap manusia bertanggungjawab ke atas dirinya sendiri dan bukan diri orang lain. Tetapi sekiranya kemungkaran berlaku di depannya, dan tidak menegah atau mencegahnya, maka ianya juga tidak akan terkecuali di azab Allah S.W.T di samping pelaku kemungkaran itu sendiri memang sahihnya berdosa di atas perbuatannya.

Orang yang sibuk mencari-cari kesalahan orang lain, membicarakan aib orang lain, menabur fitnah ke atas orang lain,  Allah S.W.T akan bongkar semua aibnya,  sedangkan mereka lupa akan aibnya sendiri. Tetapi hakikatnyanya mereka ingin menutup aibnya dan kekurangan dirinya sendiri, agar orang tidak melihat kesalahannya.

Sesiapa yang membongkar kesalahan orang lain dan memfitnah orang lain, sebenarnya mereka ujub, mereka merasa diri mereka benar dan merasa diri mereka paling baik. 

Fitnah adalah suatu perbuatan tuduhan, berita, kisah dan seumpamanya yang direka-reka atau diada-adakan untuk menjejaskan imej, maruah dan kredibiliti individu dan pihak tertentu. Islam menegaskan bahawa perbuatan menabur fitnah itu adalah perbuatan keji, tercela dan terkutuk.

Perbuatan fitnah termasuk dalam kategori dosa besar yang tidak mendapat pengampunan Allah S.W.T selagi tidak diselesaikan sesama manusia. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan perbuatan melakukan fitnah atau menyebarkan berita-berita fitnah.

Muhammad bin Sirin Rahimahullah berkata, “Sesungguhnya orang yang paling banyak kesalahannya adalah orang paling banyak membicarakan aib orang lain.” (Al-Mujalasah wa Jawahirul ‘ilmi, jilid 6 muka surat 86)

Awalnya perbuatan ini dari bersangka buruk, selepas itu membongkar aib dan akhirnya ghibah dan fitnah dan impaknya akan mengakibatkan permusuhan. 

Di hari kiamat nanti akan ada satu persidangan besar, dan ada orang yang akan di isytihar muflis akibat dari berbuat kesalahan dengan orang lain. Sesungguhnya kita sangat takut nanti ada di kalangan kita yang termasuk dalam golongan muflis di akhirat. 

Abu Hurairah R.A meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bertanya yang bermaksud:

 “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?” Para Sahabat menjawab: “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda.” Baginda bersabda: “Orang yang muflis adalah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”

(Riwayat Muslim (2581))

Berhati-hatilah jangan berbuat kesalahan dengan orang lain. Jangan menggunakan media sosial sebagai medan anda berbuat dosa dengan orang lain sebab kemungkinan anda tidak berbuat dosa dengan seorang manusia tetapi mungkin anda telah terlibat dosa dengan satu kumpulan besar, yang anda telah membuka aib mereka atau memfitnah mereka. Sangat sulit untuk anda untuk mencari mereka, memohon kemaafan. Contohnya kita telah menuduh satu golongan, mereka pendusta, penipu dan sebagainya. 

Jadi tinggalkanlah percakapan, penulisan dan perbuatan-perbuatan dosa ini agar kita tidak termasuk ke dalam golongan muflis di akhirat kelak dan dilempar ke neraka.

Setiap kesalahan dengan orang lain, selagi mereka yang kita kutuk dan fitnah  tidak memaafkan, maka Allah S.W.T tidak akan memaafkan kita. Kita akan merangkak mencari mereka di masyar nanti. Dengan berapa ramai kita berbohong, dengan berapa ramai kita mengumpat, dengan berapa ramai orang kita tabur fitnah dan berapa ramai kita buka aib satu-satu orang. Ini semua dosa-dosa dengan orang, jadi berhati-hatilah.

Degarilah khutbah Iblis di dalam neraka untuk peringatan kita:

Iblis kemudian berkhutbah kepada para pengikutnya tatkala mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam dan telah melihat api yang menyala-nyala yang siap membakar mereka sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan berkatalah syaitan tatkala perkara (hisab) telah diselesaikan: “Sesungguhnya Allah S.W.T telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak dapat menolongmu dan kamupun sekali-kali tidak dapat menolongku. Sesungguhnya aku tidak membenarkan perbuatanmu mempersekutukan aku (dengan Allah) sejak dahulu”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu mendapat seksaan yang pedih.”

(Ibrahim : 22)

Di dalam khutbah tersebut, iblis mengatakan kepada para pengikutnya bahawa Allah S.W.T  telah memberikan janji kepada orang-orang tersebut iaitu janji yang benar dan pasti ditepati.

Iblis pun memberikan janji-janji kepada para pengikutnya, namun janji iblis itu hanyalah janji palsu yang merupakan sebahagian dari tipu muslihatnya untuk menjerumuskan manusia ke dalam dosa dan kesesatan. Sudah terlambat ke kita? 

Sebenarnya kita belum terlambat kerana kita masih hidup, masih bernyawa dan mempunyai kekuatan. Bertaubatlah dan jauhilah tipu daya Iblis dan pengikut-pengikutnya dan jangan bermain dengan nafsu dan emosi ketika bercakap, menulis dan menilai sesuatu yang kita tidak ada pengetahuan yang jelas mengenainya. 

Dalam al-Quran, Allah S.W.T menempelak mereka yang menyebarkan berita tanpa usul periksa. Allah S.W.T berfirman maksudnya: 

 “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” 

(al-Nur : 11-12)

Umat Islam pada waktu itu juga diuji dengan teruk sekali (Peristiwa tohmahan atau fitnah terhadap A’isyah) kerana ini adalah perkara besar yang melibatkan Rasulullah dan isteri Baginda. Kalau zaman sekarang, entah apalah yang akan terjadi dan entah berapa ribu mesej Whatsapp akan sampai kepada semua orang. Tetapi umat Islam pada waktu itu tetap beriman dan majoriti dari mereka tidak terlibat dalam membawa mulut mengenai perkara ini.

Dan orang yang paling bertanggungjawab dalam menyebarkan berita palsu ini, akan mendapat balasan azab yang paling besar. Juga termasuk dengan golongan munafik yang memang ada niat jahat terhadap Rasulullah S.A.W  dan keluarga Baginda. Golongan ini, dulu kini dan selamanya akan sentiasa menunggu dan tidak akan tinggalkan peluang untuk mencemarkan nama baik mangsanya. Inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat sekarang ini. Jagalah Allah S.W.T, sudah pasti Allah S.W.T akan melindungi dan menjaga kita.

Hadis yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi S.A.W telah bersabda maksudnya:  

“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W: “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan sehingga ke seluruh ufuk penjuru dunia.””

(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Oleh itu, berhati-hatilah apabila berkata-kata atau menyebarkan kata-kata sama ada melalui lisan atau penulisan supaya tiada tercetusnya api fitnah yang bermula kecil dan akhirnya membesar sehingga membakar diri sendiri.

Rasulullah S.A.W juga bersabda maksudnya:

 “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan Allah S.W.T mengingatkan hamba-Nya akan apakah yang seharusnya kita persiapkan untuk hari esok dalam firman-Nya:

Justeru, setiap Muslim perlu melihat dan merenung dengan kusyuknya ayat-ayat al-Quran di bawah yang bermaksud:

 “Wahai orang-orang yang beriman! bertakwalah kepada Allah S.W.T (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertakwalah kepada Allah S.W.T, sesungguhnya Allah S.W.T amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.  

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah S.W.T, lalu Allah S.W.T menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka. 

“Tidaklah sama ahli neraka dan ahli syurga, ahli syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).” 

(al-Hasyr : 18 -20)

 Ibnu Kathir menyatakan dalam tafsir ayat ini, ucapan Umar bin al-Khattab yang bermaksud:

 “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan persiapkanlah diri kamu untuk hari perhitungan yang besar di hadapan Allah S.W.T Yang Maha Agung kerana perhitungan seseorang kamu akan menjadi ringan di akhirat nanti bagi seseorang yang sentiasa menghisab dirinya ketika di dunia.”

Justeru, setiap orang perlu waktu-waktu menyendiri menghisap atau memuhasabah diri sendiri untuk melihat apa yang perlu dipersiapkan untuk hari esok. Di antara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan iman dan ketaqwaan adalah seperti, mentadabbur al-Quran, memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungannya, meningkatkan keilmuan agama, istiqamah dengan perintah Allah S.W.T dan memperbanyakkan syukur dalam kehidupan ini.

Di samping itu, setiap Muslim tidak boleh melihat kemungkaran terjadi tetapi masing-masing mendiamkan diri. Oleh itu, mesti ada di kalangan umat Islam bangkit menyebarkan dakwah, berbuat amar maaruf nahi mungkar agar kita tidak ditanya Allah S.W.T nanti di atas perlakuan dosa dari orang lain.

Daripada abu Sa’id al Khudri R.A berkata, aku mendengar Nabi S.A.W bersabda:

Maksudnya: 

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” 

[Riwayat Muslim (78)]

Sememangnya umat islam dituntut untuk tidak berdiam diri dalam perkara maksiat atau kemungkaran. Ini kerana, tugas al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahi an al-Munkar adalah kewajipan setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya S.A.W. Dengan sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah S.W.T berdasarkan beberapa buah Hadis, antaranya sabda Nabi S.A.W:

Maksudnya: 

“Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah S.W.T akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” 

(Riwayat Abu Daud (4338))

Kesimpulan

Rasulullah S.A.W sentiasa memerintahkan orang Islam menghindari tujuh perbuatan dosa yang membinasakan, salah satunya adalah memfitnah atau menuduh orang yang beriman melakukan perbuatan keji.

Dari Abu Hurairah R.A dari Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan.” Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah S.A.W, apakah itu? Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah S.W.T, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah S.W.T kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh wanita mukminah yang suci berbuat zina.”

(Hadis Riwayat Bukhari No: 2560)

Oleh yang demikian, setiap Muslim mestilah ingin menghindari perbuatan memfitnah terhadap mana-mana individu dengan seberapa daya yang mungkin seperti yang telah diajarkan oleh agama.

Di samping itu, perbuatan tersebut adalah kezaliman yang mampu menggugat kestabilan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Inilah impak dari tercetusnya perbalahan dan persengketaan serta permusuhan, sekali gus meruntuhkan keutuhan pegangan agama dan kekuatan ummah.

Wallahuallam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 24/2/2023

- Advertisement -