Cabaran media massa dalam mengekang Islamofobia

INSIDEN keganasan yang berlaku di dunia seringkali dikaitkan dengan umat Islam dan menatijahkan fenomena Islamofobia biarpun pada hakikatnya kadangkala beberapa insiden tersebut dilakukan oleh penganut agama lain. Pengganas Muslim yang disyaki mendalangi beberapa siri keganasan melibatkan kehilangan nyawa seperti peristiwa 11 September 2001 yang mengorbankan kira-kira 2,996 nyawa, pengeboman di Madrid pada pada 11 Mac 2004 melibatkan kematian seramai 191 orang, pengeboman di London pada 7 Julai 2005 yang meragut 52 nyawa diikuti oleh kejadian pembunuhan di Paris pada 14 November 2015 yang mengakibatkan 120 orang kehilangan nyawa dan serta 51 orang terbunuh manakala 49 lain cedera yang dicatatkan pada 15 Mac 2019 di Pusat Islam Linwood, Christchurch, New Zealand telah memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat dunia.

Advertisement

Siri-siri keganasan yang telah dicetuskan menyebabkan negara-negara di Barat mempunyai pandangan negatif terhadap Islam dan umatnya. Pada persepsi mereka, konsep jihad juga turut dikaitkan dengan keganasan yang menyebabkan Islam dilihat sebagai agama yang menggalakan aktiviti teroris.

Islamofobia diertikan sebagai ‘takut, benci dan prejudis keatas agama Islam dan penganutnya’. Islamofobia ini selalunya dikaitkan dengan geopolitik dan perbuatan yang dilakukan iaitu teroris. Rakyat dari negara Arab dan Asia termasuklah Malaysia seringkali dicurigai dan sesuatu perbuatan walaupun seperti melakukan solat di tempat terbuka juga dianggap melakukan perbuatan yang mengancam Barat. Di Malaysia, Islamofobia turut berlaku akibat daripada beberapa insiden yang cuba dicetuskan oleh ahli politik, persatuan kaum mahupun pemimpin masyarakat yang menyentuh sensitiviti agama dan kepercayaan yang menjadi penghalang kepada usaha mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat Malaysia yang majmuk.

Setiap kejadian keganasan dan radikal yang dilakukan kononnya atas nama Islam menyumbang kepada islamofobia terutamanya dalam kalangan masyarakat bukan Islam. Salah tanggapan mereka terhadap Islam boleh diatasi dengan cara umat Islam sendiri menunjukkan kebenaran tentang cara hidup menurut kaca mata Islam. Sebagai contoh, tindakan Imam Muhammed Mahmoud dari Masjid Finsbury Park yang mententeramkan jemaah dan menghalang mereka dari terus memukul dan mencederakan Darren Osborne, pemandu van yang merempuh jemaah di sana perlu dilihat sebagai satu tindakan yang amat penting. Ini bukannya menandakan bahawa beliau melindungi seorang penjenayah tetapi wajar dilihat sebagai tindakan yang mencerminkan bagaimana Islam amat mementingkan akhlak yang baik dan sifat peri kemanusiaan.

Kita seharusnya sedar bahawa perlakuan dan tindakan umat Islam adalah menjadi cerminan kepada Islam. Rata-rata masyarakat bukan Islam yang dimomokkan dengan imej negatif tentang Islam, tidak akan mencari kebenaran tentang keindahan Islam dari sumber sahih dalam Islam, buku-buku ilmiah atau individu Muslim, walaupun ada sebilang kecil yang berbuat demikian. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk mempamerkan keindahan agama ini dalam setiap perbuatan dan pertuturan. Ini adalah agenda penting bagi umat Islam ketika ini. Fitnah dan dugaan yang melanda umat Islam hari ini seharusnya dijadikan satu ruang bagi kita semua untuk bermuhassabah tentang apa yang telah kita lakukan dan perancangan tentang tindakan yang perlu diambil untuk memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam. Tindakan dan tindakbalas oleh umat Islam terhadap fitnah ini adalah penting bagi memastikan imej Islam sebagai satu cara hidup yang syumul akan terus dipelihara dan diperteguhkan.

Bagaimanapun, umat Islam juga harus sedar bahawa provokasi yang berterusan akan dilakukan oleh pihak yang sememangnya mahu mengiakan bahawa Islam adalah agama yang membenarkan dan menggalakkan umatnya untuk bertindak secara agresif. Perlu ada usaha dalam kalangan umat Islam untuk menunjukkan kepada kelompok ini bahawa kita adalah umat yang jauh lebih bertamadun dari apa yang mereka sangkakan. Protes terhadap usaha pihak-pihak yang ingin menjatuhkan Islam ini boleh dilakukan secara aman dan dalam keadaan di mana Islam tidak diletakkan di dalam neraca pertimbangan sebagai agama yang menggalakkan perlakuan ganas dan radikal. Pada ketika masyarakat dunia sedang peka mengenai Islam, peluang perlu diambil dengan menyediakan penerangan dan maklumat yang benar tentang Islam.

Cabaran semasa media di Malaysia hari ini ialah terpaksa bersaing dengan saluran-saluran media dari luar negara dalam era globalisasi. Konsumer stesen siaran berbayar Astro misalannya, mempunyai pelbagai saluran berita 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu yang boleh dipilih. Mereka mempunyai BBC World News, CNN International News, Al-Jazeera English (AJE), CNBC Asia, CCTV4, CCTV9 dan sebagainya. Begitupun dengan kepesatan teknologi media memasuki era baru dengan kemunculan televisyen protokal internet. Sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada Internet boleh mengikuti saluran berita antarabangsa secara dalam talian. Contoh berita berkenaan insiden pengeboman di Bali, genosid di Selatan Thailand, pengeboman di India dan sebagainya semuanya boleh diakses melalui saluran-saluran media asing tersebut. Walaupun fenomena ini ada kebaikannya, ia juga menyumbang ke arah prejudis dan stereotaip negatif yang membawa kepada fenomena Islamofobia menular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Turut menjadi kerisauan di Malaysia apabila terdapat sebahagian aktivis dan pengamal media sosial di platform seperti Facebook, TikTok, Twitter dan sebagainya turut menyumbang kepada Islamofobia di negara ini. Kemudahan akses yang ada di media sosial disalahgunakan dengan menyerang sesama saudara Islam hanya kerana tidak sehaluan dan sependapat dalam aliran politik mahupun pemikiran ideologi. Terbaru, satu naratif telah disusun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan memberikan gambaran yang tidak benar tentang Islam, Ini ekoran terdapat satu perarakan yang melibatkan pertunjukan pemakaian ataupun cosplay dan replika senjata peperangan ketika zaman Nabi Muhammad S.A.W dan ia telah dijadikan modal bagi sesetengah pihak yang cuba ingi mengelirukan dengan memberi tanggapan bahawa akan berlakunya keganasan dan provokasi yang melampau hanya kerana pemakaian beserta replika kelengkapan perang ketika zaman Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Maka inilah antara epsiod-episod yang direka oleh mereka yang berfahaman sekularisme, liberalisme dan fahaman barat yang lain.

Justeri itu, pengamal media di Malaysia perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekang Islamofobia di seluruh negara ini. Berikut adalah beberapa perananan media yang boleh dilakukan dalam mengekang Islamofobia: Menyediakan Informasi yang tepat dan seimbang: Media harus menyediakan informasi yang tepat dan seimbang tentang Islam dan umat Muslim. Mereka harus menghindari pandangan stereotaip dan prasangka negatif serta bertindak memperkenalkan pemahaman yang lebih mendalam tentang agama dan kebudayaan Islam.

Menyediakan Ruang untuk Dialog dan Debat: Media harus menyediakan ruang untuk dialog dan debat yang konstruktif tentang Islam dan umat Muslim. Ini membantu masyarakat untuk memahami perbezaan agama, kaum dan budaya serta mempromosikan keindahan Islam sebagai cara hidup dalam negara yang berbilang kaum dan agama.

Platform Menerang Provokatif Pihak Musuh Islam: Media harus bersifat menerang dan membanteras tindakan kekerasan dan diskriminasi terhadap umat Muslim, serta menyoroti kisah-kisah tentang tindakan positif yang dilakukan oleh orang-orang dari berbagai agama dan budaya yang berjuang melawan kebencian dan diskriminasi.

Fenomena yang disebabkan oleh prejudis terhadap agama Islam dan kepada golongan Muslim itu telah mendapat perhatian daripada pengeluar kandungan media di Malaysia khususnya untuk menangkis persepsi-persepsi negatif yang dilontarkan dan seterusnya berusaha untuk mengimbanginya dengan maklumat-maklumat yang tepat dan benar. Malaysia turut terkena tempias daripada propanganda oleh media Barat dengan alasan memerangi terorisme dan melihat senario ini sebagai suatu ancaman kepada keselamatan dan kestabilan dalaman negara. – HARAKAHDAILY 24/2/2023

DANIAL AKMAL
Penyelidik YSL
Portfolio Agama, Sosiobudaya dan Generasi Muda – HARAKAHDAILY 24/2/2023