Dunia perlu tegas tangani kekejaman Israel

- Advertisement -

PAS mengecam sekeras-kerasnya kekejaman tidak berperikemanusiaan terbaharu tentera regim zionis Israel berikutan serbuan ke atas bandar Nablus, Tebing Barat yang telah mengakibatkan 11 warga Palestin terkorban dan lebih 100 lagi cedera.

- Advertisement -

Ia adalah massacre terbaharu regim zionis Israel ke atas warga Palestin di mana untuk tahun 2023 sahaja menurut Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) seramai 49 warga Palestin termasuk 17 kanak-kanak telah terbunuh akibat kekejaman berterusan regim zionis Israel.

PBB, Liga Arab dan OIC perlu bertindak tegas ke atas regim zionis Israel bagi menghalang pembunuhan berterusan rakyat Palestin yang tidak berdosa ditangan tentera regim zionis Israel yang ketika ini dilihat bermaharajalela melakukannya tanpa gentar.

Tindakan yang lebih tegas perlu dikenakan ke atas regim zionis Israel, begitu juga penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas segala resolusi dan sekatan yang telah dikenakan oleh PBB. Selagimana regim zionis Israel dibiarkan terus bermaharajalela, selagi itulah Palestin dan Asia Barat amnya akan terus bergolak.

Sudah sampai masanya isu Palestin diselesaikan secara muktamad. Dunia Islam perlu bersama-sama berganding bahu menyokong dan membantu Palestin bagi merealisasikan impian untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka sekaligus secara tidak langsung menghentikan kekejaman tidak berperikemanusian regim zionis Israel ke atas Palestin dan warganya.

Malaysia Sejahtera.

YB DR MUHAMMAD KHALIL Abdul HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -