Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (5)

- Advertisement -

وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًۭا (١٦)

- Advertisement -

“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.” (16)

Mereka berpakat untuk membawa diri dan menyembunyikan diri di dalam gua demi menyelamatkan nyawa. 

Gambaran mengenai kedudukan gua

۞ وَتَرَى ٱلشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَٰوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ ٱلشِّمَالِ وَهُمْ فِى فَجْوَةٍۢ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُۥ وَلِيًّۭا مُّرْشِدًۭا (١٧)

“Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (17)

Cahaya matahari tidak menyuluh secara langsung ke dalam gua tersebut. Ia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan mereka terselamat daripada kepanasan atau kekeringan. Ada beberapa pandangan yang menyatakan lokasi gua tersebut, antaranya adalah yang masyhur di Turkiye dan Jordan. 

Namun begitu, kebanyakannya mempercayai bahawa lokasinya adalah di Jordan. Apabila berada di hadapan gua di sana dan perkara ini telah pun disebutkan dalam al-Quran, akan didapati ada kawasan lapang yang luas serta kedudukan cahaya matahari pun memang terlindung. 

Kerajaan Jordan menjaganya. Ada kuburan pemuda-pemuda tersebut. Di luarnya, ada tapak seperti tapak tempat sembahyang. 

Rahsia terkubur selama 300 tahun

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًۭا وَهُمْ رُقُودٌۭ ۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ ٱلْيَمِينِ وَذَاتَ ٱلشِّمَالِ ۖ وَكَلْبُهُم بَـٰسِطٌۭ ذِرَاعَيْهِ بِٱلْوَصِيدِ ۚ لَوِ ٱطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًۭا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًۭا (١٨)

“Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.” (18)

Keadaan para pemuda tersebut dilihat dalam keadaan terjaga, bukan tidur. Allah membalikkan tubuh badan mereka supaya tidak hancur dimakan oleh tanah. Anjing yang besar dan liar pula dilihat seperti terjaga di hadapan gua, dua kaki belakangnya berlipat dan dua kaki hadapannya berlunjur, menyebabkan orang berasa gerun untuk mendekatinya. 

وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَـٰهُمْ لِيَتَسَآءَلُوا۟ بَيْنَهُمْ ۚ قَالَ قَآئِلٌۭ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۢ ۚ قَالُوا۟ رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَٱبْعَثُوٓا۟ أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِۦٓ إِلَى ٱلْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَآ أَزْكَىٰ طَعَامًۭا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍۢ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا (١٩)

“Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui mengenai lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.” (19)

إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا۟ عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِى مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوٓا۟ إِذًا أَبَدًۭا (٢٠)

“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”. (20)

Setelah mereka masuk ke dalam gua, sambil mereka berbual, datang rasa mengantuk dan kemudian terlelap. Apabila terjaga daripada tidur, mereka tertanya-tanya mengenai tempoh masa tidur mereka. Ada antara mereka yang berasa mereka sudah tidur agak lama dan ada yang berasa mereka cuma tidur sekejap sahaja. 

Pertanyaan mereka tidak mendatangkan jawapan. Barangkali disebabkan oleh lapar setelah terjaga, ada yang menyuruh untuk keluar membeli makanan. Dipesan agar mencari makanan yang baik dan halal serta berhati-hati dalam perjalanan. 

Salah seorang daripada mereka keluar sambil membawa wang. Beliau pergi secara senyap-senyap ke bandar. Apabila tiba di bandar, beliau berasa terkejut kerana banyak perubahan yang telah berlaku. Sudah tiada bangunan asal, pakaian pun berbeza, fesyen berbeza dan tiada seorang pun yang beliau kenali. Orang di situ pun berasa hairan melihatnya disebabkan oleh pakaiannya. 

Dia pergi ke sebuah kedai dan di situlah rahsia terbongkar. Apabila beliau mengeluarkan wang, penjual berasa terkejut melihatnya. Kekecohan telah berlaku di kedai itu dan orang ramai mula berkumpul. Akhirnya, terbongkar bahawa beliau hidup pada zaman 300 tahun dahulu. 

Berita itu telah tersebar sehingga kepada pengetahuan raja. Raja kemudian memanggilnya untuk menanyakan mengenai hal itu. Beliau menceritakannya kepada raja. Setelah melihat raja yang berbeza daripada sebelumnya, barulah beliau sedar bahawa zamannya adalah zaman pada 300 tahun dahulu. 

Sudah 300 tahun beliau meninggalkan kampungnya. Orang berasa pelik dan teringat akan satu kisah dahulu. Ada sekumpulan pemuda yang memeluk agama Nabi Isa. Mereka melarikan diri dan langsung tidak ditemui. 

Percaya akan hari kebangkitan semula setelah mati

Raja berhasrat untuk bertemu dengan sahabat-sahabatnya yang lain di gua itu. Ketika sampai, beliau meminta agar raja, tenteranya dan rakyat berada di luar sahaja kerana bimbang akan menakutkan sahabat-sahabatnya. Beliau bertemu dengan sahabat-sahabatnya dan menceritakan apa yang telah berlaku. 

Dalam riwayat dinyatakan bahawa sambil mereka berbual, mereka berasa mengantuk semula dan tidur (dikira mati). Tidak sempat bertemu dengan raja dan yang lain. Kemudian, raja menyuruh agar para pemuda itu diperiksa kerana mereka tidak muncul. Didapati bahawa kesemua pemuda itu telah meninggal dunia. 

Kisah ini menjadi bukti kebenaran mengenai hari kebangkitan semula setelah mati. Sebab pada zaman itu, walaupun orang beriman, mereka berbahas dan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai hari kebangkitan semula. Inilah kebesaran Allah S.W.T. 

Mehnah Imam Ahmad Bin Hanbal

Dalam sejarah, perbahasan mengenai agama sememangnya amat panjang. Semasa zaman Kerajaan Abbasiyah, perbahasan berlaku antara golongan Muktazilah dan ahli Sunnah Wal Jamaah dalam isu sama ada al-Quran adalah makhluk atau bukan. Isu ini menjadi parah sehingga ada seorang ulamak yang ditangkap dan dipenjara iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. 

Imam Ahmad mempertahankan bahawa al-Quran adalah bukan makhluk. Golongan Muktazilah menganggap al-Quran adalah makhluk kerana ia dicipta oleh Allah. Ulamak-ulamak dipaksa untuk mempercayai bahawa al-Quran adalah makhluk. Rajanya mengisytiharkan pegangan kerajaan adalah ia adalah makhluk dan sesiapa yang tidak mempercayainya akan dihukum. 

Kesemua ulamak mengaku kecuali 3 orang termasuk Imam Ahmad. Beliau ditangkap dan dikurung di sebuah menara di puncak dan disebat setiap hari dengan cemeti. Hal ini menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati perbezaan pandangan dan bersifat taksub. Beliau adalah seorang yang sangat teguh pendiriannya. 

Ada suatu ketika, anak muridnya datang melawatnya. Anak muridnya yang berasa kasihan melihatnya telah merayu agar beliau mengaku dan dapat terlepas daripada hukuman. Di luar, ada ramai yang sedang menunggunya sambil memegang sehelai kertas dan sebatang pen. Sebab ingin mengetahui apa pegangannya yang sebenar. Beliau dikenali sebagai pejuang sunnah pada waktu itu kerana tegas mempertahankan sunnah Nabi. 

Itulah sebabnya beliau tidak mahu mengaku. Boleh sahaja beliau mengaku agar terselamat daripada terseksa. Namun, pengakuannya itu akan menyebabkan ramai yang ‘rosak’ akibat mulutnya. Beliau lebih rela diseksa daripada menyebabkan orang ramai menjadi sesat. Antara perkara yang pernah beliau sebut, “Zallatul ‘Alim Zallatul ‘Alam” (gelincirnya seorang ulamak, satu dunia pun akan gelincir). 

Betapa besarnya peranan ulamak. Ulamak haruslah menjaga tutur kata dan pandangan supaya tidak ‘merosakkan’ orang ramai. Contoh ketika mengajar, rujukan hendaklah sahih. Disebabkan oleh kita mahu ramai yang hadir dan ketawa sebab sedap didengari, janganlah pula kita mengambil bahan daripada sumber yang tidak sahih. 

Berapa orang pemuda Ashabul Kahfi? Itu tidak penting

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوٓا۟ أَنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّۭ وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَآ إِذْ يَتَنَـٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ ۖ فَقَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ عَلَيْهِم بُنْيَـٰنًۭا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ ٱلَّذِينَ غَلَبُوا۟ عَلَىٰٓ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًۭا (٢١)

“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.” (21)

سَيَقُولُونَ ثَلَـٰثَةٌۭ رَّابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌۭ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًۢا بِٱلْغَيْبِ ۖ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌۭ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ ۚ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِم مَّا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌۭ ۗ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَآءًۭ ظَـٰهِرًۭا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِم مِّنْهُمْ أَحَدًۭا (٢٢)

“(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – laksana meraba-raba dalam gelap mengenai sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).” (22)

Setelah pemuda-pemuda itu meninggal dunia, berlaku kekecohan mengenai bilangan sebenar mereka di dalam gua. Sebab cuma beberapa orang sahaja yang masuk ke dalam gua untuk melihat keadaan mereka. Menurut ulamak, bilangan yang tepat adalah tujuh orang pemuda dan yang kelapan adalah anjing. Bilangan-bilangan yang lain itu dianggap sebagai anggaran sahaja. 

Walau bagaimanapun, bilangan itu tidak mendatangkan suatu perkara yang besar buat kita. Jika kita tidak mengetahuinya pun, ia tidak menjadi masalah bahkan tidak menjejaskan iman kita. Apa yang penting adalah kita mempercayai kisah ini. Seperti mana kita perlu mempercayai Nabi hanya seramai 25 orang sahaja, sedangkan Nabi ada 124,000 orang. 

Sebutan Insya-Allah perlu dilazimi

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَا۟ىْءٍ إِنِّى فَاعِلٌۭ ذَٰلِكَ غَدًا (٢٣)

“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”.” (23)

إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَٱذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰٓ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّى لِأَقْرَبَ مِنْ هَـٰذَا رَشَدًۭا (٢٤)

“Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Jika dikehendaki oleh Allah” atau  “Insya-Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.” (24)

Inilah adab yang diajarkan kepada kita agar berlapik ketika bercakap atau berjanji. Perkataan insya-Allah (sekiranya dikehendaki oleh Allah) adalah perkataan yang berlapik. Sekiranya menerima jemputan misalnya, sebutlah insya-Allah. Sebab kita tidak tahu apa yang bakal berlaku di kemudian hari daripada perkara ‘urgency’ dan perkara yang tidak diingini. 

Ada yang datang bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W untuk menanyakan mengenai kisah Ashabul Kahfi, roh dan sebagainya. Rasulullah menjawab bahawa Baginda akan memberi jawapan pada keesokan hari. Namun begitu, jawapannya tidak berlapik dengan perkataan insya-Allah. Allah menegur untuk memperbetulkannya. Malaikat Jibril tidak turun untuk memberikan jawapan. 

Kalau kita menyebut insya-Allah, Allah akan mendorong dan memudahkan kita untuk melakukannya. Adapun kalau kita lupa menyebutnya dan tiba-tiba teringat, kita boleh menyebutnya selepas pada itu. 

Jadikanlah al-Quran dan Hadis sebagai pemutus 

وَلَبِثُوا۟ فِى كَهْفِهِمْ ثَلَـٰثَ مِا۟ئَةٍۢ سِنِينَ وَٱزْدَادُوا۟ تِسْعًۭا (٢٥)

“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).” (25)

300 tahun adalah mengikut kiraan kalendar Syamsiah manakala 309 tahun adalah mengikut kiraan kalendar Qamariah. Sebab perbezaan antara kalendar Syamsiah dan kalendar Qamariah bagi setiap 100 tahun adalah 3 tahun:

قُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا۟ ۖ لَهُۥ غَيْبُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَبْصِرْ بِهِۦ وَأَسْمِعْ ۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا يُشْرِكُ فِى حُكْمِهِۦٓ أَحَدًۭا (٢٦)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui mengenai masa mereka tidur; bagiNya lah ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.” (26)

Pada masa itu, orang Kristian dan orang Arab saling berbahas antara satu sama lain mengenai tempoh masa tidur Ashabul Kahfi. Sebab tiada langsung maklumat atau rekod mengenainya. Allah kemudian menjawabnya dengan kiraan tersebut. 

Oleh sebab itu, pemutus bagi kita adalah al-Quran. Apabila kita mempunyai masalah dalam hidup atau bertelingkah dan berbeza pendapat, maka rujuklah al-Quran. Pandangan manusia apabila mengikut panduan al-Quran akan lebih dekat kepada kebenaran dan begitulah sebaliknya. 

Contoh Imam Syafie pernah berkata, 

“Pendapat aku yang mengikut ijtihad aku adalah betul. Tetapi kalau pendapat aku bercanggah dengan al-Quran dan Hadis, engkau lemparkanlah pendapat aku ke dinding tandas.”

Walaupun beliau dianggap sebagai Imam Mujtahid (orang yang layak untuk berijtihad), beliau berpesan sebegitu. 

Taksub membawa padah

Elakkanlah taksub kerana ia akan merosakkan kita. Tidak menganggap bahawa pandangan kita sahaja yang betul manakala pandangan orang lain pula sebaliknya. Selagimana hujah para ulamak tidak bercanggah dengan prinsip akidah, kita boleh berpegang dengannya. 

Dalam bab fekah (undang-undang), wajarlah kalau berbeza pandangan. Contoh, peguam saling berbahas sesama mereka di dalam mahkamah. Adanya ‘Advocates & Solicitors’ (Peguambela dan Peguamcara). 

Lebih-lebih lagi al-Quran yang bahasanya adalah Bahasa Arab, satu perkataan kadang-kadang membawa dua atau tiga makna yang berbeza. Perubahan baris juga mengubah makna. Contoh, erti wuduk adalah air sembahyang. Erti waduk pula adalah bekas air sembahyang. Istimewanya Bahasa Arab yang Allah pilih. 

Rasulullah kasih akan Bahasa Arab kerana tiga faktor: 

  1. Nabi sendiri adalah daripada baka Arab.
  2. Al-Quran turun dalam Bahasa Arab.
  3. Bahasa ahli syurga adalah Bahasa Arab.

Walaupun ada perbezaan pandangan, hormatilah dan usah berkelahi. Ada satu kisah yang pernah berlaku di Afghanistan. Ia disebut dalam buku yang berjudul “Ma La Yajuzu Fihil Khilaf Bainal Muslimin“. Mereka sehinggakan berperang walaupun sesama mazhab. Ketika tahiyyat akhir, jari telunjuk perlu digerakkan-gerakkan sehingga selesai solat. Ada yang berpegang dengan mazhab yang berbeza, bertindak memotong jari orang itu. Sebab dikatakan bahawa orang itu sudah sesat dan menyeleweng. Betapa bahayanya taksub sehingga tidak peduli akan adab. 

Berbeza pandangan dalam batasan yang dibenarkan oleh agama, tidak mengapa. Taksub akan merosakkan pengikut. Ibarat pepatah orang-orang tua, 

“Gelas yang dipenuhi oleh air tidak akan berkocak. Gelas yang tidak dipenuhi oleh air akan berkocak.”

Ada yang hadir majlis ilmu; hanya mendengar dan tidak membaca kitab, ada yang bermain telefon sambil mendengar kuliah, ada yang tidak teliti dan hanya mendengar di hujung penyampaian. 

Perbezaan pandangan sudah lama wujud sejak pada zaman Rasulullah. 4 Mazhab merupakan mazhab yang muktabar, utama dan diiktiraf. Sedangkan dalam sejarah perundangan Islam, ada banyak lagi. Contoh, orang yang hampir sezaman dengan Imam Syafie ialah Abu Daud Az-Zahiri, walaupun ilmunya setanding Imam Syafie tetapi mazhabnya (Mazhab Zahiri) tidak berkembang. Sebab tidak melahirkan ramai anak murid yang hebat. 

Kelebihan Imam Syafie pula selain ilmunya, beliau mempunyai anak murid dan ulamak besar dalam mazhabnya yang hebat belaka. Antara ulamak besar dalam mazhabnya ialah Imam Zakariyya Al-Ansari. Kuburnya berada di Mesir sekali dengan kubur Imam Syafie. Selain itu, Imam Nawawi yang begitu tersohor di Nusantara. 

Imam Ibnu Shihab az-Zuhri lebih awal daripada Imam Malik. Namun, mazhabnya tidak disebut-sebut. Huraian mazhabnya adalah berdasarkan pandangannya tersendiri. Walaupun beliau merupakan ulamak besar Hadis tetapi orang tidak berpegang dengan mazhabnya. 

Al-Quran sendiri mempunyai 7 Qiraat (cara bacaan). Di situlah berlakunya pelbagai tafsiran. Contoh ayat 43 dalam surah an-Nisa’, 

لَمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَTiada huruf Alif – 

Apabila bersentuhan antara lelaki dan perempuan, ia dikira membatalkan wuduk (mengikut mazhab Syafie). 

لَٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَAda huruf Alif – 

Apabila bersentuhan antara lelaki dan perempuan, ia dikira tidak membatalkan wuduk. Apabila bersetubuh, barulah dikira membatalkan wuduk (mengikut mazhab Hanafi). 

Kehebatan Abdullah Bin ‘Abbas tiada tandingan

Alimnya orang pada zaman dahulu tidak sama dengan orang pada zaman sekarang. Orang yang paling dalam ilmunya dalam kalangan umat Islam ialah Abdullah Bin ‘Abbas. Rasulullah sendiri berdoa, 

اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلِ

“Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran).” [1]

Selepas turunnya surah al-Fath, semua Sahabat berasa gembira kerana telah menang kecuali Ibn ‘Abbas. Beliau bersedih kerana hal itu menunjukkan sudah habislah perjuangan Nabi dan sampai masa untuk kembali kepada-Nya. Sebab tugas Nabi adalah membawa agama. Setelah itu, akhirnya Nabi jatuh sakit dan kemudian wafat. Hebatnya Ibn ‘Abbas, berkat doa Nabi, tafsirannya boleh melangkau jauh. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 20 Februari 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 24/2/2023

Rujukan:
[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no.hadis 143).

- Advertisement -