Sambutan menggalakkan Bayaran Caruman Sukarela

Salamiah Mohd Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Fungsi baharu Bayaran Caruman Sukarela melalui aplikasi i-Akaun ahli secara atas talian yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mulai Julai 2022 mendapat sambutan yang menggalakkan.

- Advertisement -

Kementerian Kewangan berkata, setakat 31 Januari 2023 seramai 315,702 ahli telah memanfaatkan kemudahan itu dengan jumlah amaun caruman sebanyak RM527.70 juta.

Menurutnya, KWSP juga telah melancarkan kempen ‘Jom Tambah’ yang diperkenalkan mulai bulan Januari yang lalu bagi merancakkan lagi promosi caruman sukarela.

Katanya, KWSP telah menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke dalam akaun dalam usaha membantu ahli membina semula simpanan yang telah dikeluarkan,

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Salamiah Mohd Nor [PN-Temerloh] pada persidangan Dewan Rakyat, semalam

Dalam soalannya, Salamiah meminta Menteri Kewangan menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk menangani isu kekurangan simpanan bagi sebahagian besar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah 55 tahun.

Beliau juga bertanya adakah kerajaan bercadang untuk menubuhkan sebuah dana atau program ekonomi khas untuk membantu golongan yang terkesan.

Kementerian Kewangan juga menjelaskan, bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11 peratus pada bila-bila masa selain mereka juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000 setahun.

Katanya, bagi ahli yang bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap atau di luar tenaga buruh seperti suri rumah yang berumur di bawah 60 tahun turut boleh mencarum secara sukarela pada bila-bila masa mengikut kemampuan di bawah Program i-Saraan sehingga RM60,000 setahun.

Tambahnya, sebagai insentif untuk menggalakkan golongan ini menyimpan di bawah i-Saraan, kerajaan memberikan sumbangan sebanyak 15 peratus daripada amaun caruman, atau sehingga RM250 setahun.

Menurut kementerian itu lagi, pada tahun 2022, seramai 291,743 ahli telah membuat caruman sukarela di bawah program i-Saraan dan sumbangan kerajaan yang terlibat adalah sebanyak RM33.21 juta yang telah dikreditkan ke dalam Akaun 1 ahli.

Tambahnya, bagi Ketua Isi Rumah (KIR) atau isteri kepada KIR yang berumur di bawah 55 tahun dan berdaftar di bawah pangkalan data eKasih turut boleh mencarum secara sukarela di bawah Program i-Suri bagi menggalakkan wanita daripada isi rumah berpendapatan rendah untuk menyimpan demi hari tua mereka.

“Di bawah program ini, ahli yang mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan atau RM60 setahun adalah layak untuk menerima insentif daripada Kerajaan sebanyak RM40 sebulan atau RM480 setahun ke dalam akaun KWSP mereka,” ujarnya.

Pada tahun 2022, jelasnya seramai 191,254 ahli telah membuat caruman di bawah program i-Suri dan insentif kerajaan yang terlibat adalah sebanyak RM85.10 juta serta telah dikreditkan ke dalam akaun ahli.

Selain itu, katanya ahli juga boleh menambah simpanan persaraan pasangan (suami/isteri), ibu bapa atau anak-anak mereka yang berdaftar sebagai ahli KWSP pada bila-bila masa tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000 setahun.

“Pada masa yang sama, pihak ketiga iaitu individu dan institusi yang diluluskan turut boleh mencarum untuk ahli KWSP dan juga tertakluk kepada amaun maksimum yang sama iaitu RM60,000 setahun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

- Advertisement -