Projek rintis PrEP: Risiko kepada masalah lebih parah

- Advertisement -

SAYA maklum akan langkah Kementerian Kesihatan memperkenalkan projek rintis Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) secara permintaan yang diumumkan baru-baru ini. 

Setelah meneliti golongan sasaran yang bakal diberikan ubat antiviral ini, saya berpendapat langkah pemberian PrEP bersubsidi secara permintaan ini membuka ruang kepada implikasi negatif yang jauh lebih parah. 

Hal ini kerana golongan sasaran yang disenaraikan meliputi sesiapa sahaja yang mempunyai risiko dijangkiti virus HIV terutamanya golongan yang terang-terangan mengamalkan seks bebas seperti pekerja seks, mereka yang menjalankan hubungan seks dengan pasangan yang tidak diketahui status HIV dan lain-lain yang boleh dikatakan seolah-olah memberi ketenangan kepada mereka untuk meneruskan kegiatan songsang mereka tanpa perlu takut akan ancaman jangkitan virus HIV lagi. 

Natijahnya, usaha murni untuk menurunkan bilangan kes HIV di negara ini bakal dicemari oleh peningkatan statistik golongan LGBT dan pengamal seks bebas yang kelak bakal mendatangkan bala dan kerosakan yang jauh lebih besar khususnya terhadap golongan anak muda negara kita. 

Namun begitu, sekiranya KKM bertegas untuk meneruskan projek rintis ini, saya berpendapat pihak terbabit perlu melakukan penilaian dan perincian dari beberapa sudut, iaitu dikhususkan hanya kepada pasangan HIV yang telah berkahwin dan pengamal seks berisiko tinggi yang benar-benar ingin keluar daripada kitaran ketagihan seks songsang mereka. 

Justeru, bagi mengharmonikan isu PrEP ini, saya berpandangan KKM wajar mendengar dan mengambil pandangan dari sudut agama dan juga moral dengan cara mewujudkan satu sinergi yang bersepadu antara KKM dengan institusi-institusi agama seperti JAKIM dan Jabatan Mufti Negeri agar suatu pendekatan yang tidak bercanggah dengan syariat dan tidak pula menyalahi etika perubatan dapat dilaksanakan. 

“Malaysia Sejahtera”

YB DATO’ DR. ALIAS RAZAK
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -