Lahirkan lebih ramai lulusan Tahfiz-TVET

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempunyai dasar yang membolehkan pusat tahfiz bukan milik kerajaan bekerjasama dengan pusat latihan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

- Advertisement -

Dato’ Idris Ahmad (PN- Bagan Serai) berkata, Tahfiz-TVET adalah antara pendekatan mewujudkan nilai tambah kepada pelajar pusat tahfiz.

Katanya, mereka bukan sahaja untuk menjadi imam atau ustaz biasa, tetapi ke arah untuk menjadikan mereka mampu hidup berdikari.

“Pada masa sama, mereka hidup di kampung untuk menghayati atau mengajar orang kampung atau menjadi imam dan mereka boleh berdikari,” katanya ketika mencelah penggulungan perbahasan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Idris yang juga Naib Presiden PAS berkata, persoalannya ialah mewujudkan Tahfiz-TVET, terutama di pihak bukan pihak kerajaan, memerlukan peralatan yang agak mahal.

“Oleh sebab itu, saya mengharapkan kalau boleh ada satu dasar yang membolehkan supaya ada satu kolaborasi supaya mereka mengaji dan boleh belajar kemahiran TVET di Institut Kemahiran MARA atau Pusat Giat Mara atau bengkel yang kita ada MoU (Memorandum Persefahaman) dengan mereka.

“Kita tahu menyediakan peralatan teknikal mahal dan tidak mampu disediakan oleh pusat tahfiz bukan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Jamaluddin Yahya (PN-Pasir Salak) ketika membuat celahan turut menyuarakan supaya stesen bas dibina di kawasannya yang seluas negeri Perlis.

“Tahukah menteri bahawa di Pasir Salak yang sebesar negeri Perlis, tidak ada satu pun stesen bas, jadi kita mohon untuk stesen bas diadakan untuk pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz mereka untuk belajar TVET dan sebagainya,” katanya.

Majlis Pelancaran Tahfiz-TVET dilancarkan pada 16 Mac 2022 di CIAST Shah Alam oleh Dato’ Awang Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika itu. – HARAKAHDAILY 22/2/23

- Advertisement -