Pengeluaran padi di Kelantan meningkat 208 peratus

- Advertisement -

KETIKA negeri lain mahu dikenali sebagai negeri perindustrian, sebaliknya Kelantan terus memperkasakan sektor pertanian. Pembangunan bidang pertanian diberi tumpuan utama bagi mencapai sasaran Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara. Sehingga sekarang usaha itu membuah hasil apabila pengeluaran padi meningkat kepada 208 peratus. Begitu juga pengeluaran buah-buahan, daging kambing dan kelapa melebihi keperluan tempatan. Oleh itu bagi gambaran lebih jelas mengenainya ikuti temubual LANJUSOH dan MUHAMMAD ARIF ISMAIL bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar TUAN MOHD SARIPUDIN TUAN ISMAIL ketika ditemui di Kota Darulnaim baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakah: Negara kita terpaksa mengimport bahan makanan sehingga berbilion ringgit setahun dari luar negara. Sejauh mana usaha Kelantan membantu kerajaan mengurangkan import makanan dari luar negara?

Tuan Mohd Saripudin: Kelantan sudah bercakap mengenai perkara itu lebih sedekad yang lalu. Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz meletakkan target yang jelas iaitu Kelantan sebagai ‘baloh negara’ atau ‘jelapang makanan negara’.

Kita bangunkan sektor pertanian sebagai salah satu sektor penyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Alhamdulillah ada peningkatan. Berdasar statistik Jabatan Perangkaan pada 2021 pengeluaran beras di Kelantan meningkat sebanyak 2 peratus. Sekarang kita sudah mencecah 22.8 peratus daripada KDNK negeri secara keseluruhan.

Isu keselamatan makanan sangat penting, jaminan atau keselamatan makanan untuk rakyat kita. Kita hendak mengurangkan import dari luar sumber atau hasil-hasil makanan asasi.

Kelantan telah merancang melalui jabatan-jabatan yang berkaitan termasuk Jabatan Pertanian, KADA, JPS dan IADA Kemasin Semerak supaya kita dapat menghasilkan sumber makanan yang mencukupi keperluan rakyat Kelantan dan Malaysia. Alhamdulillah. kita melihat trend tersebut ada kejayaan di mana pada tahun 2021 tahap kecukupan kadar sara diri (SSL) Kelantan dari segi hasil padi meningkat kepada 208 peratus. Ini bermakna sudah mencukupi pengeluaran beras sehingga dieksport ke negeri-negeri lain.

Kerajaan meletakkan target SSL padi sehingga 75 peratus, maka kementerian meminta negeri-negeri yang ada kemampuan meningkatkan hasil terutamanya padi.

Kelantan juga merancang untuk meluaskan sawah padi dengan kerjasama KADA, JPS dan Jabatan Pertanian supaya kawasan-kawasan padi dinaik taraf dari segi sistem perparitan. Saliran dinaik taraf untuk memastikan sumber hasil padi meningkat. Alhamdulillah walaupun kita berhadapan dengan isu sebahagian tanah sawah padi terkena pembangunan jajaran lebuh raya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tetapi alhamdulillah hasil padi tidak berkurang.

Selain itu, kita juga menghadapi masalah bencana alam iaitu kemarau dan banjir sehingga menjejaskan pengeluaran padi. Sebab itulah kita ada kalendar aktiviti pertanian sepanjang tahun supaya pengeluaran padi tidak terjejas. Jadual tanaman padi ditetapkan bagi mengelakkan musim banjir. Contohnya Disember lepas ada sebahagian petani yang tidak sempat menuai padi kerana banjir berlaku secara mendadak.

Kelantan juga mewujudkan skim sawah berskala besar dengan kerjasama KADA dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan bagi memajukan tanah-tanah yang baharu.

Perkara itu telah dibincang di peringkat Jawatankuasa Keselamatan Makanan Negeri iaitu kawasan seluas 5,000 hektar di Machang akan disediakan kemudahan infrastuktur pertanian yang lebih baik di kawasan tanaman padi. Kita hendak upgrade saliran dan infra yang lain supaya banyak kawasan yang asalnya dipanggil luar jelapang yang sebelum ini hanya bergantung sumber air hujan bagi penanaman padi. Sekarang kawasan terbabit hanya diusahakan sekali setahun (satu musim). Kita hendak menjelapangkan kawasan terbabit bagi tanaman padi dua kali setahun. Langkah itu dilakukan melalui bajet yang disediakan kerajaan negeri dan persekutuan. Kita telah mengangkat permohonan kepada kerajaan dan Kementerian Pertanian. Perkara itu sebenarnya sudah dibentang kepada Menteri Pertanian kerajaan sebelum ini Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee berkaitan perancangan Kelantan membantu negara meningkatkan pengeluaran padi.

Bagaimana pencapaian sektor pertanian setakat ini?

Kita juga buat beberapa kaedah lain termasuk pemulihan tanah dengan baja organik. Baja boleh merawat tanah supaya tahap kandungan asid dalam tanah (pH) tanah lebih sesuai untuk tanaman padi.

Kerajaan negeri melaksana skim iaitu skim baja folia kepada petani-petani. Baja folia mampu menggalak pengeluaran buah. Purata hasil padi bagi satu hektar dahulu hanya tiga hingga empat tan metrik, namun sekarang meningkat lima hinga enam tan metrik.

Kita juga meningkat kaedah pertanian termasuk menggunakan teknologi dron pertanian. Kita juga galakan petani menggunakan dron, di mana sekarang lebih 100 orang telah berdaftar dengan KADA dan Jabatan Pertanian bagi mengikuti kursus pengendalian dron. Harapan kerajaan negeri suatu masa nanti ada petani yang ada kemahiran dan mendapat lesen mengendalikan dron. 

Insya-Allah dengan beberapa usaha yang dilakukan termasuk menggantikan balik tanah pertanian yang terbabit dengan projek pembangunan kita akan dapat mewujudkan lebih banyak kawasan jelapang padi.

Kerajaan negeri juga membekalkan baja tambahan kepada pesawah bagi meningkatkan pengeluaran padi. Usaha itu sebahagiannya telah menampakkan hasil. Tahun lepas 2021 meningkat kepada 208 peratus kadar sara diri pengeluaran padi. Begitu juga pengeluaran kelapa meningkat kepada 166 peratus. Daging kambing pula 190 peratus, buah-buahan (117 peratus), sayur-sayuran (98 peratus) dan ikan (93 peratus).

Sehingga sekarang Kelantan masih kurang pengeluaran daging lembu, susu segar, ayam dan telur. Jawatankuasa Teknikal Keselamatan Makanan berbincang isu-isu yang berligar. Antara yang dikenal pasti Kelantan masih kekurangan ladang-ladang ternakan ayam penelur. Jadi kita merancang membawa pelabur untuk membuka ladang ternakan ayam penelur di Kelantan.

Begitu juga usaha untuk memastikan pengeluaran daging lembu mencukupi sedangkan daging kambing biri-biri sudah melebihi keperluan tempatan. Kita berusaha supaya penternak-penternak dapat menternak lembu yang lebih berkualiti untuk memastikan ‘food sekurity’ bagi keperluan rakyat. Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk menyedia lembu charolais yang berkualiti.

Kaedah itu dilaksanakan supaya penternak dapat menternak lembu dengan sistem pawah. Kelantan antara negeri yang menyediakan baka-baka lembu yang berkualiti sehingga ramai penternak dari negeri lain datang membeli lembu bekualiti di Kelantan. Ada yang datang dari Terengganu, Kedah dan Perak.

Kelantan sekarang muncul antara negeri pengeluar baka-baka lembu berkualiti belgian blue dan charolais. Peruntukan sebanyak RM1.9 juta disediakan kerajaan negeri pada bajet tahun lepas bagi membiakkan lembu jenis berkualiti tinggi.

Sebelum ini kerajaan negeri melaksanakan kaedah lembu pawah baka lembu kampung dan lembu Kelantan-Kedah. Jadi bagi meningkatkan kualiti lembu kita tukar kepada lembu charolais di mana kita agih kepada 45 Dun tahun lepas iaitu 6 ekor bagi setiap Dun yang melibatkan 270 ekor.

Insya-Allah daripada 270 ekor lembu tersebut tahun depan 70 peratus daripada akan dibuntingkan iaitu dengan memasukkan benih melalui permainan berhadas. Perkembangan lembu-lembu hibrid akan menjadi lebih pesat di Kelantan.

Lembu-lembu hibrid menghasilkan daging yang lebih banyak sehingga mampu mencapai 700 kilogram seekor. Ada juga yang sampai 800 sekilo seekor.

Daging lembu kampung biasanya sekitar 300 kilogram seekor bagi lembu besar. Tetapi melalui kaedah hybrid meningkat berkali ganda. Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan merancang mewujud pusat ternakan lembu hibrid di Rong Chenok Pasir Mas. Kandang sudah siap dibina dan tahun ini dijangka 30 ekor akan dimasukkan. 

Sekarang proses pemilihan lembu-lembu yang sudah bunting. Sebanyak 30 ekor akan masukkan di situ tidak lama lagi. Dan dari segi perkiraan formula biasa akan melahirkan 30 ekor anak yang baharu. Sebahagian lembu jantan dan sebahagian betina induk kita akan simpan, manakala anak lembu jantan boleh dijadikan lembu pedaging bagi meningkat food security di Kelantan. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

- Advertisement -