Potensi unsur nadir bumi di Malaysia dinilai RM747.2 bilion

- Advertisement -

SAYA mulakan dengan titah baginda supaya direalisasikan pembangunan secara mampan, berdaya saing dan pintar yang berkonsepkan green city dan smart city. Saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, sejauh manakah keberkesanan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM) yang telah dilancarkan bagi tempoh 2018 hingga tempoh 2025. Sekarang kita sudah berada dalam tahun 2023.

- Advertisement -

Saya juga ingin mencadangkan kepada kerajaan agar merancang dan menjayakan pembangunan bandar pintar di setiap negeri terutamanya di bandar-bandar yang utama di setiap negeri selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini adalah penting untuk mewujudkan satu rangkaian bandar pintar di seluruh negara yang setiapnya boleh saling berhubungan, ada standard dan piawaiannya, sama ada infrastruktur fizikalnya dan maya yang mesra pengguna yang memanfaatkan teknologi digital, kepintaran buatan, blockchain, IoT dan sebagainya. Ini semua sebagai trendsetter untuk pembangunan bandar- bandar dan pekan lain di negeri berkenaan termasuk sebarang rancangan pembukaan bandar baharu kelak. Semua ini untuk kesejahteraan dan kemudahan rakyat, memudahkan urusan dan facilitation pelbagai urusan pentadbiran kerajaan dan juga pihak swasta.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, baginda juga bertitah agar kerajaan memberi tumpuan kepada inovasi sosial bagi melahirkan budaya inovatif dalam kalangan rakyat dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penggunaan teknologi. Saya berasa cukup terharu apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri bertitah agar program Malaysia Techlympics diteruskan. Rangka kerja 10-10 MySTIE yang dilancarkan oleh kerajaan yang lepas adalah pemangkin dalam merealisasikan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara yang mampu menghasilkan program berimpak tinggi dan berdaya saing di peringkat global seterusnya meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. Ia mendapat perhatian banyak negara dan dilihat mampu memacu perkembangan sains, teknologi dan inovasi negara jika dilaksanakan dengan berkesan. Malah, ia dimuat turun oleh 5,000 lebih orang pengguna di seluruh dunia dari 49 buah negara.

Jika dibandingkan perbelanjaan dalam negara kasar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan Malaysia dengan apa yang dibelanjakan oleh negara-negara maju, terdapat ruang dan peluang untuk negara memacu ekonomi inovatif seperti negara lain. Malaysia ketika ini hanya membelanjakan sebanyak 24.5 peratus daripada dana R&D untuk aktiviti melibatkan prototaip, perintis, peningkatan produk (product development) dan kekurangan pelaburan dalam penyelidikan eksperimental prapengkomersialan. Di negara maju yang berinovasi tinggi, mereka membelanjakan lebih 50 peratus untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah.

Kita masih menghadapi masalah kerana penyelidikan masih tertumpu di institusi pengajian tinggi dan peratus yang kecil penyelidikan dalam sektor industri yang lebih jelas fokus pengkomersialannya. Di negara maju yang berpaksikan inovasi, 40 peratus daripada penyelidik berada dalam sektor industri. Di Malaysia berdasarkan data UNESCO Institute for Statistics database, hanya 15.83 peratus penyelidik di Malaysia berada dalam sektor industri. Manakala 79.2 peratus penyelidik berada di institusi pengajian tinggi. Angka ini amatlah membimbangkan kita kerana masih jauh untuk kita melihat Malaysia yang maju berpaksikan inovasi.

Saya berharap kerajaan dapat mengadakan lebih banyak program untuk menempatkan lebih ramai penyelidik industri di samping meneruskan program sedia ada seperti Researcher Industry Scientific Exchange (RISE), Malaysia Open Science Platform, Malaysia Techlympics dan sebagainya.

Tuan Yang di-Pertua, ketiga saya ingin mengulas mengenai industri yang strategik dan berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan kenderaan elektrik perlu terus diteroka bagi mencipta aliran pendapatan negara yang baharu. Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Ayer Hitam apabila beliau menyatakan bahawa kita masih belum bersedia meskipun sudah lama membicarakan tentang kenderaan elektrik. Pembangunan ekosistem EV ini masih belum mencapai momentum seperti yang kita harapkan.

Isu utama yang ingin saya bangkitkan hari ini adalah berkaitan dengan infrastruktur stesen pengecas EV di Malaysia. Antara komponen utama dalam membangunkan ekonomi EV ini adalah stesen pengecas. Memandangkan kadar penggunaan EV telah pun meningkat, rangkaian stesen pengecas perlu dibangunkan dengan segera di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di pantai barat Semenanjung Malaysia saja.

Che Alias Hamid [Kemaman]: Terima kasih, Yang Berhormat Kuala Terengganu. Pertama, kita perlu akui bahawa kebanyakan kereta elektrik ataupun EV ini yang berada dalam pasaran dengan harga yang melebihi RM100,000 dalam pasaran pada hari ini dan yang mana ia di luar kemampuan kebanyakan rakyat di negara kita pada hari ini.

Saya hendak tahu, setujukah Yang Berhormat Kuala Terengganu jika kerajaan membawa masuk EV ini di bawah harga RM100,000 ataupun harga mampu milik dengan kerjasama dengan pengeluar kereta tempatan sama ada Proton atau Perodua yang mana ia lebih mampu dibeli oleh golongan yang berpendapatan di negara kita pada hari ini?

Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu]: Apa sahaja insentif bagi membolehkan rakyat mampu memiliki EV ini saya setuju dan saya sokong. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), sehingga Julai 2022, sejumlah 707 unit stesen pengecas EV dibangunkan di 384 lokasi terpilih di dalam negara. Daripada jumlah ini hanya 21 sahaja yang berada di Pantai Timur, 21 di negeri Pantai Timur. Sebanyak 19 daripada 21 itu di Pahang. Cuma di Terengganu dan Kelantan masing-masing ada satu sahaja. Jadi saya harap – saya percaya banyak syarikat swasta yang berminat untuk menyediakan stesen pengecas tetapi kebolehlaksanaan kewangan financial feasibility mereka masih kurang memuaskan.

Saya ingin bertanya kepada kerajaan, sejauh manakah kerajaan merancang untuk membangunkan ekosistem EV ini di seluruh negara. Bukan sahaja tertumpu di Pantai Barat tetapi merangkumi semua negeri. Ini adalah amat penting untuk mengelakkan jurang pembangunan yang ketara di antara Pantai Timur dan Pantai Barat. Saya tidak mahu bawa EV, sampai di Terengganu saya terpaksa tinggal kereta di tepi jalan.

Jikalau kita baca laporan yang terbaharu World Bank kategorikan beberapa buah negeri sebagai negeri yang terkebelakang, ditinggalkan, lagged behind dengan izin. Antaranya Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu, Perlis dan juga Kedah. Saya bersetuju dengan Yang Berhormat Bachok, hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amatlah perlu dijalin dengan baik dan tidak ada sebarang unsur untuk menyisihkan mana-mana kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Tuan Yang di-Pertua, isu seterusnya mengenai potensi sumber unsur nadir bumi (REE) Malaysia yang boleh dibangunkan. Menurut satu kenyataan oleh mantan Menteri KeTSA, hasil kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dengan penumpuan kepada REE bukan radioaktif, potensi unsur nadir bumi di Malaysia ini dinilai sebanyak RM747.2 bilion. Unsur ini berpotensi dimanfaatkan dalam skrin telefon pintar, komputer, flat panel television, bateri dalam kenderaan elektrik, motor penjanaan elektrik, mentol lampu generasi baharu.

Saya ada bertanya selain Malaysia, negara lain juga mempunyai deposit nadir yang banyak. Jadi apa kelebihan Malaysia? Saya diberitahu kita mempunyai ramai saintis jurutera yang terlatih dan memperoleh ilmu dan pengalaman dalam pemprosesan nadir bumi ekoran kehadiran industri nadir bumi di Lynas di Pahang.

Dalam isu-isu sebegini, Malaysia perlu mampu membuat keputusan berasaskan pertimbangan fakta saintifik. Objektif selagi mana ia tidak menyalahi syariat agama dan nilai moral. Misalnya, ketika kita berdepan dengan Covid-19, kita ada fakta saintifik. Proses pembuatan keputusan yang mengambil input daripada kesemua sekalipun sentimen penolakan kuat, tetapi dengan fakta saintifik yang ada, kerajaan perlu laksanakan juga demi kepentingan rakyat dan negara. Begitu juga dalam soal-soal lain. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap sains dan teknologi, saya harap pertimbangan fakta saintifik, objektiviti sentiasa dipertahankan.

Memajukan REE memerlukan kemasukan pelaburan yang besar yang memerlukan usaha meyakinkan pelabur tentang risiko pelaburan. Saya melihat keputusan pendidikan yang telah dibuat oleh UPM, UKM dan MARDI berhubung dengan Condisoil sangat berpotensi untuk pertanian negara. SIRIM, MARDI, UPM dan UKM telah menguji Condisoil dan mendapati ia selamat digunakan di dalam tanah, air, tisu tumbuhan dan juga makanan ruji kita.

Saya faham kejayaan Condisoil ini ada impak yang signifikan dengan syarat lesen Lynas kerana jika ia boleh diproses dan dikomersialkan, tiada sebab dibawa keluar. Bayangkan 1.02 juta tan metrik disimpan kekal begitu sahaja sedangkan kita ada cara untuk memproses dan menjadi baja yang selamat dan terbukti berkesan sedangkan kita berbelanja ratusan juta setiap tahun untuk mengimport baja ke dalam negara.

Minggu lepas Yang Berhormat Menteri MITI di dalam lawatan ke Lynas mengiktiraf kepentingan produk daripada Lynas terutamanya dalam segmen teknologi maju sebagai contoh di dalam penghasilan bateri untuk kenderaan elektrik, motor dan telefon pintar.

Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali saya ingin bicara tentang aspek-aspek pembangunan sosial, ekonomi, kebajikan dan prasarana di Kuala Terengganu. Kuala Terengganu merupakan sebuah daerah yang berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan utama kerana kaya dengan kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, keunikan budaya, kesenian warisan dan tinggalan sejarah yang tersendiri.

Aspek ekonomi setempat bagi nelayan terutamanya di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering, masalah muara cetek yang sudah membelenggu sekian lama, belum lagi mencapai jalan penyelesaiannya, begitu juga masalah kecetekan muara Sungai Ibai. Saya pohon supaya dapatlah kiranya kerajaan yang ada sekarang ini membantu menyelesaikan masalah di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering ini dan juga muara Sungai Ibai. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023.

- Advertisement -