Pertimbang pengecualian cukai bagi bayaran wakaf

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

PADA kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengundi Parit yang telah memilih saya dan insya-Allah mandat dan harapan ini akan saya galas dengan sebaiknya. Segala permasalahan rakyat yang dibahaskan di Dewan ini dapat diberi perhatian oleh kerajaan tidak mengira dari kawasan Parlimen yang diwakili oleh pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Inilah harapan kita. Pendek kata, sesungguhnya semua yang dilantik di sini adalah wakil rakyat Malaysia di bawah naungan dan perhatian Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

- Advertisement -

Tuan Yang di-Pertua, Baginda dalam titahnya menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip maqasid syariah dalam pentadbiran negara. Ia merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam dan undang-undang syariah, institusi kekeluargaan, pensijilan halal dan pendidikan tahfiz Al-Quran. Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intelektual dan sahsiah diri yang unggul.

Saya berminat mengupas beberapa aspek penting dalam inisiatif yang dititahkan oleh Baginda ini. Pertamanya berkaitan dengan pendidikan Islam. Saya berminat untuk menyebut tentang Pendidikan Islam yang telah diletakkan sebagai satu subjek dalam silibus pendidikan negara. Di kala subjek ini telah sekian lama dalam lakaran sejarah menjadi pendidikan sebahagian daripada silibus penting dalam pendidikan negara kita, saya mendapati bahawa masalah disiplin pelajar di sekolah-sekolah hari ini telah menjadi berita hangat yang dibincangkan.

Ia bukan sahaja melibatkan pihak sekolah, Kementerian Pendidikan malah turut melibatkan pihak polis dalam mengambil tindakan terhadap murid-murid yang terbabit kerana masalah ini bukan sekadar masalah kecil tetapi telah melangkau menjadi masalah jenayah. Persoalannya, sejauh manakah kajian telah dibuat terhadap keberkesanan penghayatan pengajaran subjek Pendidikan Islam dalam membentuk keperibadian pelajar di sekolah agar lebih berdisiplin?

Kedua, adakah subjek ini hanya diajar untuk peperiksaan atau diambil inti patinya untuk disemai di dalam jiwa para pelajar untuk menjadi insan yang lebih baik?

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan institusi tahfiz. Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang telah diwujudkan perlulah diperkasakan agar institusi tahfiz di negara Malaysia dapat dilibatkan semuanya bagi setiap dasar yang telah dirangka. Antaranya:

(i) menyelaraskan pengurusan tahfiz dalam aspek tadbir urus yang mantap dan berkesan;

(ii) menyediakan mekanisme pengiktirafan dan pensijilan bagi para penghafaz Al-Quran; dan

(iii) memperluaskan pengiktirafan dan pensijilan bagi para huffaz Al- Quran yang berkualiti, mampu memanfaatkan golongan ini dalam mengisi keperluan ummah terutamanya dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan MRSM Parit boleh dijadikan Tahfiz Ulul Albab bagi membuka peluang anak-anak Parit mendalami Al- Quran serta melahirkan lebih ramai huffaz di dalam kawasan Parit.

Berkaitan dengan masjid, saya memohon agar pihak kerajaan memberi perhatian untuk menjadikan masjid-masjid lebih selesa dan mesra pengguna. Mewakili rakyat Parit juga saya memohon agar dua buah masjid di dalam Parlimen saya dibina masjid yang baharu kerana masjid yang lama telah dalam keadaan uzur dan usang iaitu Masjid Ghufraniah, Titi Gantung dan Masjid Latifah, Sungai Korok, Parit.

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan pemerkasaan wakaf saya ingin menarik perhatian sidang Dewan berkaitan pelaksanaan dan kepentingan wakaf dalam Islam. Wakaf merupakan amalan yang digalakkan oleh Islam terhadap umatnya yang berkemampuan agar kesenangan yang dikurniakan itu dapat dinikmati, dikongsi bersama oleh golongan yang kurang berkemampuan.

Rasulullah SAW telah bersabda mengenai amalan wakaf ini. Apabila telah matinya seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

Justeru, saya memohon daripada pihak kerajaan berkaitan pertimbangan kelulusan pelaksanaan pengecualian cukai bagi bayaran wakaf yang diberikan. Ini khususnya wakaf tunai di Perak Darul Ridzuan di bawah subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967. Pengecualian ini telah berakhir pada 31 Ogos 2019 dan sehingga kini pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) masih lagi tidak mendapat kelulusan pengecualian cukai. Hal ini sangat wajar dilaksanakan untuk menggalakkan rakyat berwakaf.

Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [Alor Setar]: Yang Berhormat Parit, sedikit wakaf. Adakah Yang Berhormat bersetuju wakaf ini menjadi solusi untuk mengurangkan harga barang dan kos-kos lain? Jadi adakah Yang Berhormat bersetuju wakaf ini mesti juga dibuat merentasi kementerian. Tidak hanya Kementerian Agama tetapi Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Kewangan dan lain-lain. Adakah Yang Berhormat bersetuju?

Haji Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit]: Saya bersetuju dan masukkan dalam ucapan saya.

Berkaitan pensijilan halal. Seterusnya saya ingin menyebut berkenaan isu pensijilan halal di negara kita. Ironinya, walaupun kita telah menjadi salah satu pengeluar produk halal terbesar di dunia, negara kita masih belum memiliki satu akta khusus bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal untuk seluruh negara.

Cabaran utama isu halal di Malaysia adalah dari sudut perundangan kerana Malaysia tidak mempunyai akta halal yang terpakai di seluruh negara. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan pada tahun 2010 mengumumkan penggubalan satu akta halal bagi tujuan penyelarasan dan pemantapan peruntukan undang-undang mengenai proses, prosedur serta kawalan pensijilan halal.

Namun begitu, sehingga ke hari ini akta berkenaan masih belum dibentangkan di Parlimen untuk dijadikan undang-undang. Masalah utama yang menghalang penggubalan akta ini ialah persoalan yang berkaitan dengan Perlembagaan. Di mana persoalan halal adalah berkaitan dengan agama Islam, maka ia terletak di bawah bidang kuasa negeri. Justeru, perlu kepada penyelarasan dan keseragaman di seluruh negara.

Soalan saya, sama ada akta halal ini dalam perancangan untuk digubal atau tidak? Adakah wujud sesi libat urus antara JAKIM dan Unit Penguatkuasaan dan Pemantauan Makanan dan Produk Halal di jabatan agama Islam setiap negeri? Kedua, adakah wujud bantuan secara langsung, contohnya tenaga kerja, kepakaran kepada unit ini dari Kerajaan Persekutuan dalam proses pemantauan makanan dan produk halal di peringkat negeri?

Ketiga, soalan saya pada waktu ini sudah wujud pelbagai produk makanan yang dijual atas talian. Saya ingin bertanya dengan cadangan kewujudan akta halal nanti, adakah kerajaan merancang untuk memastikan adanya mekanisme pemantauan dari JAKIM atau agensi berkenaan terhadap produk dan makanan yang dijual atas talian?

Keempat, sama ada wujud atau tidak penggubalan akta ini? Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk memastikan pemantauan produk dan makanan halal ini diletakkan di dalam sebuah agensi khusus bagi mengelakkan pertindihan kuasa di antara JAKIM dan Jabatan Penguatkuasaan KPDNHEP.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin juga mengulas tentang kenaikan harga barang. Saya berpendapat bahawa jumlah RM50 pada masa lepas tidak sama pada hari ini. Di mana tidak cukup sebagaimana sebelum ini. Jadi, harga timun umpamanya, dahulu RM1.80 sekilogram, sekarang telah mencecah sehingga RM6.00 sekilogram. Begitu juga sayur-sayuran dan barang-barang keperluan lain, naik begitu mendadak.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang beberapa perkara bagi kawasan saya. Oleh sebab masa tidak mengizinkan saya, iaitu tentang Hospital Seri Iskandar yang dalam pembinaan, sebanyak 76 buah katil sedangkan rakyat ada seramai 61,000 orang, tidak cukup keperluan. Jadi, saya mohon supaya pembinaan hospital ini ditambah kapasitinya untuk mencukupkan keperluan rakyat yang begitu ramai.

Saya juga memohon agar hospital ini disediakan perkhidmatan pakar supaya rakyat tidak pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan pakar. Begitu juga masalah infrastruktur di kawasan Parlimen saya berkaitan jalan yang perlu diturap, jalan-jalan yang perlu diselenggarakan dengan baik, ini akan mengakibatkan kemalangan, kematian dan sebagainya. Jadi ini merunsingkan fikiran saya, Tuan Yang di-Pertua.

Begitu juga saya menyentuh tentang pemberian tanah kepada generasi kedua FELCRA yang masih tertangguh di Felcra Nasaruddin, hendaklah disegerakan. Taman rekreasi untuk rakyat Parit di Dataran Sungai Seluang dengan keluasan 19 hektar yang sangat sesuai, bahkan ia mampu memberi peluang kepada anak muda beriadah.

Penutupnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengingatkan kepada Yang Amat Berhormat Tambun atas semangat perpaduan dan mengutamakan kebajikan rakyat, saya berharap agar pihak kerajaan dapat menunaikan janji untuk memberikan peruntukan sama rata kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, sebagaimana yang termaktub dalam Manifesto PRU15 Pakatan Harapan yang lalu.

Peruntukan ini semestinya mampu memberikan semangat serta kerjasama yang baik, memastikan setiap kesusahan rakyat mendapat perhatian oleh kerajaan melalui wakil- wakil rakyat. Justeru, saya mohon pihak kerajaan, khususnya YAB Tambun, supaya jangan sesekali bertindak zalim terhadap rakyat Parit, jangan sesekali bertindak zalim kepada rakyat Malaysia dengan menyekat atau mengurangkan peruntukan bagi Ahli-ahli Parlimen. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 20 Februari 2023.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!