Isu air kem tentera perlu tindakan segera

Kem Terendak - Bernama
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN- Tangga Batu) meminta kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah bekalan air di Kem Terendak dan Sungai Udang yang kian parah.

- Advertisement -

Menurutnya, masalah ini berlarutan sekian lama ditambah lagi dengan faktor kebanyakan struktur sudah terlalu tua kerana dibina pada awal tahun kemerdekaan, sekali gus memburukkan keadaan.

“Kem Terendak ini sangat nostalgia. Ia dibangunkan oleh tentera British bagi menempatkan markas Commonwealth Infantry Brigade pada zaman darurat menentang pengganas komunis dan diserahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1970-an.

“Kem Terendak hari ini mengalami masalah bekalan air kritikal yang berlarutan sekian lama. Masa terus berlalu dan pemimpin silih berganti, namun masalah bekalan air ini masih belum dapat diselesaikan secara tuntas.

“Saya berharap hal ini dapat diselesaikan secepat mungkin demi menjaga kebajikan angkatan tentera dan keluarga mereka,” ujar beliau.

Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian ketika berucap dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut membangkitkan isu hakisan pantai yang turut menimbulkan masalah terhadap struktur yang ada di dalam kem tersebut yang berkemungkinan akibat daripada projek penambakan pasir yang rancak dilakukan di perairan Negeri Melaka.

“Hakisan pantai juga berlaku di sepanjang Pantai Kem Terendak. Mungkin kesan dari program penambakan pantai yang dijalankan di Melaka.

“Dicadangkan pembinaan benteng pemecah ombak disegerakan bagi mengelakkan hakisan berterusan dan akhirnya mengancam Hospital Angkatan Tentera yang dibangunkan bersebelahan pantai,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/2/23

- Advertisement -