Rayer kini berubah, pertahankan Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini sering `menyerang’ Umno, sekarang sudah berubah apabila kelihatan mempertahankan Presiden Umno, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

- Advertisement -

Beliau bertikam lidah dengan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang mencadangkan supaya kerajaan menetapkan syarat sama ada seseorang anggota pentadbiran kerajaan boleh memegang jawatan utama sedangkan seseorang itu sedang mempunyai kes pendakwaan di mahkamah.

Takiyuddin yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) berpandangan bahawa keadaan itu menyukarkan pihak pendakwa raya meneruskan pendakwaan, manakala hakim sukar membuat keputusan.

Rayer berkata, Takiyuddin tidak boleh sebut apa-apa perkara dalam Dewan Rakyat, perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.

“(Tetapi) saya tidak sebut merit kes,” kata Takiyuddin.

Bagaimanapun Rayer menegaskan bahawa Ahmad Zahid belum lagi didapati bersalah.

Ini menyebabkan Takiyuddin menempelak Rayer dengan berkata: “Yang Berhormat dulu cakap lain, sekarang cakap lain ya. I know you very well (saya tahu sangat kamu).”

Rayer pula berkata, Takiyuddin seorang peguam dan seseorang tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.

Ahmad Zahid, 69, yang juga Timbalan Perdana Menteri, menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang beliau juga merupakan pemegang amanahnya. – HARAKAHDAILY 21/2/23

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!