Mas Ermieyati sokong pengeluaran KWSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengeluaran wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar wajar dipertimbangkan, terutama kepada pencarum yang telah lama mencarum.

- Advertisement -

Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, pengeluaran simpanan itu perlu dilihat dan dipertimbangkan semula walaupun kerajaan membuat keputusan untuk tidak melakukan demikian.

“Saya mohon bantuan daripada kepimpinan kerajaan pada hari ini untuk lihat dan timbang semula walaupun pada minggu lepas, Ahli Parlimen Pontian telah menjawab tidak akan dapat dipertimbangkan.

“Tetapi tolonglah yang kita pohon ialah untuk pemohon bersasar yang telah lama bekerja sekitar 20 hingga 25 tahun, mungkin simpanan mereka ada puluhan atau ratusan ribu, takkan ini pun tak boleh dipertimbangkan,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, ini kerana tidak lama lagi akan memasuki bulan Ramadan, menyambut Aidilfitri serta anak-anak bakal bersekolah.

“Kita mohon kerajaan yang ada sikap ihsan ini selari dengan konsep Madani yang dibawa untuk pertimbangkan semula pengerluaran KWSP secara bersasar ini.

“Kita juga sedang menunggu formula daripada Raja Formula yang katanya akan membuatkan pihak pembangkang terduduk dengan formula beliau,” katanya.

Beliau juga memohon kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang terkenal dengan konsisten serta istiqamah beliau dalam memperjuangkan hak rakyat.

“Mana mungkin yang berhormat Perdana Menteri mengubah pendirian beliau dengan sekelip mata kerana ia amat bermakna buat seorang reformis yang tegar dan juga istiqamah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/2/2023.

- Advertisement -