Bekas Ahli Parlimen Kuala Krai meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA KRAI: Mantan Ahli Parlimen Kuala Krai Ustaz Ibrahim Mahmood, 74, meninggal dunia jam 12.40 petang semalam di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai.

- Advertisement -

Sebelum itu arwah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit selama selama 23 hari selepas koma akibat penyakit diabetis.

Anak ketiganya Abdullah Tahir berkata, ayahnya dihantar menjalani rawatan di hospital selepas tidak sedarkan diri kira-kira tiga minggu lepas.

Katanya, ketika dihantar ke hospital doktor mendapati ada ketumbuhan di bahagian otaknya kemudian ditidurkan bagi membolehkan bengkak yang dialami surut.

“Sepanjang berada di wad ICU ayah turut menjalani dua kali dialisis memandangkan keadaan buah pinggang mengalami masalah,” katanya di sini.

Allahyarham berkhidmat sebagai ahli parlimen Kuala Krai selama dua penggal pada 1990 dan 1995. Arwah juga merupakan bekas Yang Dipertua PAS Kuala Krai.

Jenazahnya disolat di masjid Pondok Mengkebang lepas solat Maghrib dan
disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor selepas solat Isyak malam tadi.

Arwah meninggal seorang balu Rohani @ Hayati Mohd Samah dan 11 anak.

Turut menziarahi jenazahnya semalam Ketua Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari, Yang Dipertua PAS Kuala Krai Abdul Latif Abdul Rahman dan pimpinan PAS Kuala Krai.

Sementara itu Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob merakam ucapan takziah kepada keluarga arwah.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

- Advertisement -