MAIK belanja RM200 juta zakat sepanjang 2022

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membelanjakan lebih RM200 juta zakat sepanjang tahun 2022.

- Advertisement -

Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perbelanjaan itu meningkat sebanyak lebih RM100 juta iaitu 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, perbelanjaan zakat tahun lalu meliputi program asnaf fakir dan miskin mencatat pecahan terbesar dengan jumlah RM92,557,157 diagih bermula Januari hingga Disember tahun lalu.

“Agihan itu meliputi beberapa bantuan antaranya bantuan bulanan fakir dan miskin berjumlah RM30,443,370 program bantuan melanjutkan pelajaran ke IPT sebanyak RM15,624,900 dan bantuan rumah kediaman RM12,771,618.

“Segmen kedua terbesar agihan kepada asnaf fisabilillah berjumlah sebanyak RM71,795,585 melibatkan program pendidikan, penerbitan dan promosi, pengurusan pengimarahan dan pembangunan masjid,” katanya selepas majlis pembentangan laporan khas terimaan dan perbelanjaan zakat bagi tahun 2022 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, MAIK melalui program dakwah membelanjakan sejumlah RM4,337,399 melibatkan sebanyak lapan program agihan.

Katanya, MAIK tidak sama sekali meminggirkan saudara-saudara baru dan terus komited membimbing mereka mengenali Islam dengan lebih sempurna.

“Bagi program di bawah asnaf Amil pula mencatatkan nilai RM31,594,946 tahun lalu. Secara keseluruhanya kutipan dan agihan wang zakat bersifat progresif dan positif,” katanya.

Menurutnya juga MAIK meningkatkan kesedaran membayar zakat menerusi video pendek dan medium secara atas talian berjaya meningkat jumlah pembayar zakat sebanyak 5 peratus dalam kalangan golongan muda berusia bawah 40 tahun. – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -