Menamatkan pengajian kitab Faridatul Faraid dan al-Aqaaid al-Islamiyyah

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

Alhamdulillah, Jumaat baru-baru ini, selesailah pengajian akidah yang terkenal di nusantara kitab Faridah di Surau Banggol Pak Ali. Diraikan oleh Tuan Imam dengan jamuan makan nasi kunyit dengan rendang ayam yang sedap malam itu.

Dua bulan lepas, baru khatam kitab al-Aqaa’id al-Islamiyyah di Masjid Jamek Pengadang Baru. Diraikan dengan jamuan makan nasi kuning berlauk ayam yang sedap oleh Pihak Masjid kerana meraikannya. Alhamdulillah dan Alhamdulillah.

Guru-guru utama saya dalam ilmu Usuluddin 

Saya telah belajar ilmu Usuluddin dan Sifat 20 sejak di sekolah menengah lagi. Sempat juga sekali dua mendengar pengajian Tok Guru Haji Mamat di Surau Merbau Patah semasa sekolah menengah. 

Pengajian hari Jumaat di Rusila oleh Tan Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi selalu dimulai oleh siri Kitab Akidah karangan beliau sendiri yang sangat menarik perbicaraan dan susunannya. Ia adalah ringkasan perbahasan kitab-kitab yang lebih besar yang telah diringkaskan dan dimudahkan dengan kemahiran yang sangat tinggi.

Di UIA, Syeikh Dr. Ibrahim Zain daripada Sudan adalah guru yang telah membuka minda saya dengan cara yang luar biasa dalam bidang ilmu akidah dan ilmu Firaq, iaitu ilmu berkaitan pecahan mazhab-mazhab akidah dalam Islam. 

Orangnya kecil sahaja, cakapnya lembut dan lunak tetapi ilmunya sangat luas. Saya sering merasa hairan, di manakah agaknya beliau menyimpan ilmunya yang sangat luas itu di dalam tubuhnya yang bersaiz agak kecil itu?

Syeikh Abdul Latif daripada Universiti Ummul Qura pernah datang ke UIA sebagai pensyarah jemputan selama satu semester. Saya menyertai kuliah beliau dalam halaqah yang dibuat selepas solat Asar biasanya. 

Beliau tidak pernah membawa kitab, tetapi banyak sekali ayat al-Quran, Hadis dan petikan-petikan kitab yang dinukilkan oleh beliau dalam kuliah-kuliahnya dengan petah dan lancar sekali. Di sinilah saya belajar akidah aliran Salafiyyah daripada guru yang benar-benar bermazhab Salafi dan mahir dalam mazhab itu.

Sempat juga saya belajar dengan Tuan Guru Fahmi Zamzam rahimahulLaah – ketika beliau berkunjung ke Terengganu – kitab Hidayatus Saalikin yang turut mengandungi bab Tauhid pada permulaannya mengikut aliran Asya’irah.

Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang pula banyak sekali mengulas isu-isu berkaitan ilmu akidah dalam kembara ilmiah beliau ke Terengganu. Biasanya di Pondok Bukit Jong. Hanya sempat belajar dengan beliau ketika beliau hadir ke Terengganu.

Beliau adalah ulamak besar Nusantara sangat mendalam ilmunya. Luar biasa sekali. Antara kelebihan utama beliau ialah kemampuan beliau menghuraikan kekeliruan mengenai tajuk-tajuk yang berat dan susah menjadi senang dan mudah difahami oleh orang ramai.

Inilah sebahagian guru-guru utama saya dalam bidang ini.

Semoga Allah S.W.T memelihara guru-guru saya yang masih hidup dan merahmati mereka yang telah dijemput bertamu di alam barzakh.

Kitab Faridatul Faraid 

Kitab karangan Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, guru kepada Syeikh Tok Kenali. Namun pengarang sendiri menyebutkan nama penuhnya di hujung kitab sebagai al-faqir Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad al-Fathani, semoga Allah S.W.T merahmatinya.

Kitab ini membicarakan agama Islam secara keseluruhan dalam bentuk gambaran penuh, tetapi ringkas. Didahului perbicaraan dengan mukaddimah ringkas mengenai iman, Islam dan ihsan.

Kemudian dikhususkan untuk membicarakan ilmu akidah mengikut aliran Asya’irah. Jadi tumpuan utama tentulah berkait mengenai ketuhanan (al-ilaahiyyaat), kenabian (an-nubuwwaat) dan perkara ghaib yang wajib diimani (as-sam’iyyaat).

Bicara panjang pada tajuk ketuhanan dan kerasulan dengan susunan ayat mengikut kaedah ilmu Mantiq. Seterusnya disusuli dengan perbicaraan dalil aqli mengenai 13 sifat Tuhan mengikut qaul rajih, atau 20 sifat jika mengikut qaul masyhur. Ada juga sedikit perbicaraan mengenai sifat idrak dan sifat takwin yang menjadi khilaf di kalangan Asya’irah sendiri dan menjadi khilaf antara Asya’irah dengan Maaturudiyyah.

Sebelum masuk kepada perkara Sam’iyyaat, pengarang rahimahulLaah ada juga membicarakan sedikit sebanyak mengenai hal ehwal peribadi Rasulullah S.A.W, keturunan Baginda, sirah ringkas dan isteri-isteri Baginda S.A.W (Ummahaatul Mukminin).

Ada perbicaraan mengenai kedudukan orang berdosa besar yang mati dalam keadaan tidak bertaubat, kewajiban bertaubat atas setiap dosa, kewajiban menjaga hati dan anggota tubuh daripada segala maksiat, jenis-jenis dosa zahir serta dosa batin dan perkara-perkara yang membatalkan iman dan membawa kepada murtad.

Kemudian ditutup dengan perbicaraan perkara sam’iyyaat berkaitan alam barzakh, kebangkitan semula, mahsyar, hisab, mizan, syafaat, haudh, sirat sehinggalah diakhiri dengan perbicaraan mengenai syurga dan neraka. Akhirnya disusuli dengan doa agar kita semua dimasukkan ke dalam syurga untuk dikumpulkan bersama para Anbiyaa’, siddiqin, syuhadaa’ dan para solehin.

Kitab al-Aqaa’id al-islamiyyah 

Kitab al-Aqaa’id al-Islamiyyah pula adalah karangan Syeikh Syed Sabiq rahimahulLaah. Alhamdulillah, tamat mengajar kitab ini kira-kira dua bulan lepas di Masjid Jamek Pengadang Baru setelah berkuliah Subuh hampir kurang lebih selama 7 atau 8 tahun.

Kitab Syeikh Sayyid Sabiq rahimahulLaah ini tidak banyak menerima kritikan daripada para ulamak lain berbanding kitab Feqh karangan beliau yang beliau judulkan ‘Fiqhus Sunnah’

Kitab Fiqhus Sunnah begitu banyak menerima kritikan bermula daripada pemilihan tajuk kitab, kaedah mentarjih dalil bahkan diri pengarang sendiri yang dikatakan ‘tidak cukup alim’.

Pada pendapat saya, penulis sebenarnya cuba untuk memudahkan orang awam untuk beramal dengan Feqh dalam kehidupan seharian tanpa terkeliru dengan perselisihan pendapat mengikut perbahasan mazhab-mazhab secara terperinci. Cukup dengan hanya merujuk kepada dalil-dalil al-Quran dan Hadis yang dipetik oleh beliau.

Tetapi langkahnya itu mengundang kepada silap faham yang lebih besar, iaitu dalil Feqh itu hanya terhad kepada al-Quran dan as-Sunnah semata-mata dan seolah-olah mazhab-mazhab muktabar tidak mengikut as-Sunnah dalam proses intinbat hukum Syara’. 

Hasrat beliau lain, tetapi natijah kitab beliau itu tidak sampai seperti yang diharapkannya, bahkan mencetuskan polemik yang merosakkan sedikit sebanyak kewibawaan beliau pada mata sebahagian ulamak yang lain. Wa La Haula wa La Quwwata illa bilLaah.

Berbalik kepada Kitab al-Islamiyyah pula, ia juga mengikut aliran Asya’irah tetapi tidak mengikut susunannya yang biasa. Ia disusun untuk mudah dibaca oleh orang awam yang tidak mempunyai masa untuk mempelajari ilmu alat secara serius.

Perbahasannya juga lebih luas daripada terlalu fokus kepada perbahasan Sifat 20 mengikut susunan perbahasan ilmu Mantiq.

Jadi perbahasan mengenai ketuhanan turut membicarakan mengenai al-asmaul Husna, perbandingan sifat Tuhan dengan pegangan agama-agama lain dan perdebatan dengan golongan ateis yang kononnya selalu berpegang kepada fakta Sains dalam menafikan kewujudan Tuhan.

Jadi kitab ini membawakan dalil-dalil akidah terus nas al-Quran dan nas as-Sunnah, disokong dengan dalil aqli mengikut kaedah mantiq dan juga dalil aqli mengikut fakta sains yang ada pada zaman kitab ini ditulis, iaitu kira-kira pertengahan kurun ke-20 yang lalu.

Kitab ini ditulis untuk berdepan dengan cabaran golongan atheis, liberal dan golongan yang sangsi dengan kebenaran dan kehebatan Islam pada zaman awal kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah.

Perbicaraan mengenai an-Nubuwwaat dan as-Sam’iyyaat tidak banyak berbeza dengan kitab-kitab yang lain selain daripada membanyakkan dalil naqli.

Penutup

Saya sangat bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah memberi taufik kepada hambaNya yang banyak dosa dan kesilapannya ini untuk mengkhatamkan dua kitab aqidah yang sangat bernilai ini. Rasanya orang yang mengajar mendapat manfaat yang lebih besar daripada orang yang belajar.

Alhamdulillah. Kitab Aqidah at-Thahawiyyah yang disyarahkan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Mandili hampir khatam ketika membacanya di Surau Kampung Undang, tetapi tak dapat mengkhatamkannya kerana kesihatan saya sangat tidak mengizinkan ketika itu.

Bahagian Pertama Kitab Apa Erti Saya menganut Islam oleh Syeikh Dr. Fathi Yakan pula selesai saya baca di Masjid al-Iman Titian Baru Kedai Buluh, di mana tajuk akidah adalah tajuk pertama dalam bahagian pertama itu. Bahagian kedua kitab tersebut tak sempat dikhatamkan atas sebab yang sama.

Sekarang membaca Kitab al-Iman daripada Sahih Muslim di Masjid Jamek Pengadang Baru. Kitab Faridah sedang dibaca di Masjid Kubang Durian. Bahagian Aqidah dalam Kitab Matla’ al-Badrain yang merupakan terjemahan Matan Ummul Baraahin sedang dibaca di Surau Pelong.

Semoga Allah S.W.T memudahkan dan memberkati usaha kerdil hambanya yang serba lemah ini untuk tumpang berkhidmat kepada kitab-kitab karangan para ulamak yang penuh barakah dalam bidang ini.

Semoga ia menjadi ilmu yang terus dimanfaatkan walaupun setelah saya menghembuskan nafas terakhir.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang
15 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -