Telitinya Saidina Ali membahagikan harta

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 65)

IMAM Al-Baihaqi dan Ibn Asakir mengeluarkan daripada Kulaib, katanya: Sejumlah harta tiba kepada Saidina Ali ra dari Isfahan. Ali membahagikannya kepada tujuh bahagian. Beliau mendapati ada sekeping roti, lalu dibahagikan kepada tujuh bahagian.

- Advertisement -

Beliau meletakkan bagi setiap bahagian itu satu potongan roti. Kemudian beliau memanggil ketua bagi setiap kumpulan. Ali membuat undian di antara mereka untuk melihat siapakah di antara mereka yang diberi paling awal.

(HayatusSahabah, Al-Kandahlawi 2/107)

Isfahan dibuka di zaman Saidina Umar al-Khattab ra, selepas pembukaan Nahwand. Ia dibuka oleh Abdullah bin Abdullah bin Atban.

Saidina Ali membahagikan harta yang sampai kepadanya itu kepada tujuh bahagian. Tentunya dengan sebab khusus ketika itu melibatkan kelompok, qabilah atau kumpulan yang terlibat.

Ia tidak menjadi masalah. Ia adalah proses biasa pembahagian. Yang menarik perhatian ialah sekeping roti yang dibahagi tujuh itu. Seandainya pembahagian ini berlaku di zaman kita, mungkin kita anggap sekeping roti itu memadai diberi kepada seorang atau kepada satu kumpulan sahaja dengan sebab sedikit, lekeh atau kelihatan sangat remeh. Namun, bagi Saidina Ali, ia tidak demikian. Sekeping roti itu tetap dibahagi tujuh, dengan potongan-potongan yang tentunya kecil dan sedikit sahaja. Keadilan bagi Saidina Ali sampai ke peringkat yang paling kecil bagi kita.

Selepas itu diundi pula untuk menentukan kumpulan mana yang patut diberi dahulu. Kalau kita, mungkin boleh sahaja diberi kepada mana-mana kumpulan kerana sudah dibahagikan tujuh sebelumnya. Keadilan menurut Saidina Ali sekali lagi sangat halus dan teramat teliti.

Point penting yang kita mahu lihat di sini bukan tujuh kumpulan, roti yang dibahagi tujuh atau Isfahan yang kini berada dalam pemerintahan kerajaan Iran.

Point pentingnya ialah ketelitian, kehalusan dan sangat cermatnya Saidina Ali dalam membahagikan apa-apa harta yang tiba kepadanya untuk diberi kepada rakyat yang berhak menerimanya.

Dalam konteks semasa, adakah kita pernah melihat bentuk ketelitian dan sangat cermat ini sehingga melibatkan isu yang sangat kecil dalam pentadbiran sebuah negara, negeri, institusi dan agensi?

Nik Muhammad Nasri

Benarlah Allah yang berfirman:
اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Berlaku adillah. kerana sifat adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mendalam ilmunya terhadap apa yang kamu kerjakan.” Al-Maidah: 8

Para Khulafa ar-Rashidin tetap menjadi contoh sepanjang zaman dalam menegakkan keadilan pemerintahan Islam.

NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 15/2/2023

- Advertisement -