Timbalan Menteri enggan jawab relevan ‘formula Rafizi’

Dato' Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh mengelak untuk menjawab soalan mengenai ‘formula Rafizi’ berkenaan kos sara hidup.

- Advertisement -

Soalan tambahan itu dikemukakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid yang meminta Fuziah menjelaskan pandangannya sama ada bersetuju dengan ‘formula Rafizi’ itu semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Sejak akhir-akhir ini, kita dapati banyak kenyataan dikeluarkan oleh Yang Berhormat Pandan (Mohd Rafizi Ramli) berkaitan dengan kos sara hidup dan formula-formula yang diuar-uarkan semasa menjadi pembangkang ataupun semasa berada di luar dewan.

“Antara formulanya ialah ‘jika kedai mahal, jangan makan di kedai tersebut, jika ayam mahal, jangan beli ayam, beli benda lain’.

“Adakah Yang Berhormat Menteri bersetuju dengan formula-formula tersebut? Mungkin selepas ini jika tambang bas mahal, ataupun bas sekolah mahal jangan pergi sekolah. Adakah bersetuju dengan formula tersebut?” soalnya.

Susulan itu, Fuziah berkata Rosol sepatutnya meminta penjelasan daripada Rafizi sendiri.

“Yang Berhormat Hulu Terengganu ini hantar soalan salah tempat, sepatutnya Yang Berhormat Hulu Terengganu tanya soalan kepada Pandan, Menteri Ekonomi, bukan kepada KPDN.

“Minta maaf, tanya direct, pergi ke kafe, boleh bincang, tidak perlu tanya dalam dewan, sebab habis masa dewan sahaja. Terima kasih,” ujarnya.

Membalas kenyataan itu, Rosol berkata, Fuziah sepatutnya memberi penjelasan memandangkan ia berada di dalam bidang kuasa KPDN.

“Tetapi ianya berkenaan kos sara hidup, takkan mengelak begitu sahaja. Jawablah, bidang kuasa menteri,” katanya.

Dalam soalan asal, Rosol meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan inisiatif yang telah dirangka di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang Kementerian untuk menangani bebanan kos sara hidup yang tinggi dengan mengambil kira impak pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -