Kilang haram di Gebeng proses e-waste dari mana?

- Advertisement -

SERBUAN ke atas kilang haram di Gebeng – dari mana datangnya bahan e-waste ini? 

Kilang ini bukan sahaja melanggar pelbagai jenis peraturan, malah mencabar kedaulatan undang-undang apabila terus beroperasi walaupun telah diserbu dan disita sebelum ini. 

Antara kesalahannya termasuk beroperasi tanpa permit Pihak Berkuasa Tempatan dan kelulusan peraturan alam sekitar, menyebabkan pencemaran udara dan bau, serta ancaman kesihatan awam. 

Persoalan utama, dari mana datangnya bahan buangan elektronik sebanyak ini. Jika dibawa masuk daripada negara luar, bagaimana ia dibawa masuk ke negara ini dan diproses dengan skala yang agak besar. 

Menurut Jabatan Alam Sekitar, dianggarkan hampir 600 tan bahan tersebut tersimpan di kilang ini ketika diserbu sebelum ini. 

Ia diproses bagi menghasilkan jongkong aluminium yang tidak diketahui destinasi jualannya, mungkin untuk pasaran eksport. 

Melihat kepada operasi dan prasarananya, saya percaya kilang ini sedang dipersiapkan untuk memproses dengan kapasiti yang lebih banyak. 

Kaedah operasinya pula sangat tidak selamat yang mengancam keselamatan dan kesihatan pekerja selain pencemaran alam.

Bertindak atas aduan awam, Operasi Bersepadu pada pagi tadi diatur bersama Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia. 

Turut bersama, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja serta para petugas media arus perdana. 

Manakala dua agensi lagi tidak dapat turut serta atas kekangan tugasan lain. 

Objektif utama adalah bagi menghentikan operasi kilang ini serta-merta dan menyiapkan kertas pendakwaan untuk tindakan undang-undang. 

Proses perundangan dan kelulusan sewajarnya perlu dipatuhi jika operasinya mahu dibuka semula. 

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi dan anggota yang terlibat bagi menjayakan objektif operasi yang diatur. Tidak lupa juga kepada para petugas media yang turut bersama di lapangan. 

Saya berharap akan ada tindakan-tindakan susulan daripada pihak-pihak berkaitan bagi memastikan kilang ini tidak lagi beroperasi. 

Juga memastikan kesalahan-kesalahan yang dilanggar akan diambil tindakan sebagai ingatan dan pengajaran kepada pihak-pihak lain di masa akan datang. 

Paling utama, melihat kemungkinan bahan buangan elektronik tersebut dibawa masuk daripada negara luar dan bagaimana ia dibawa masuk.

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -