KUALA LUMPUR: Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Said bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan agar Jabatan Insolvensi memikirkan pendekatan pelepasan secara automatik bagi individu diisytiharkan muflis dibuat dengan lebih berehsan.
Menurut Azlina, kategori yang lebih berumur, mempunyai masalah kesihatan, cabaran fizikal, makenisma perlu diambil kira supaya diberikan pelepasan secara automatik seperti berlaku di negara luar.
“Yang berlaku hari ini bank pemiutang masih boleh memberikan bantahan kepada proses untuk melepaskan mereka-mereka yang bankrap.
“Itu sebabnya Jabatan Insolvensi melihat kepada cara yang lebih automatik dan lebih kepada perubahan zaman dari segi untuk melepaskan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Takiyuddin (PAS-Kota Bharu) yang meminta Azlina menjelaskan tentang dasar dan langkah yang diambil oleh kerajaan mempermudahkan proses pelepasan seseorang bankrap, terutamanya secara automatic discharge dalam Akta Insolvensi, susulan buat masa sekarang ini, proses itu mengambil masa yang lama dan juga meletakkan syarat yang ketat.
Takiyuddin berkata, rekod penjenayah, kes-kes jenayah berskala besar seperti mencuri, pecah amanah melibatkan ratusan juta penjenayah hanya dihukum 10 tahun atau lebih, selepas menjalani penjara mereka dilepaskan.
Bagaimanapun, kata beliau, penghutang berhutang dengan institusi kewangan dengan jumlah yang tidak begitu banyak dihukum bankrap selama-lamanya.
Menurut Azalina lagi, dari segi prinsip beliau setuju untuk mengelakkan lebih ramai individu diisytiharkan muflis.
“Kadang kalau dia bankrap disebabkan oleh keadaan itu memang kita terima mereka menjadi mangsa keadaan, tidak mampu nak bayar kad kredit, hutang kenderaan, saya tidak pasti hutang untuk kahwin tetapi kadang-kadang bila banyak tak bayar, mereka di bankrapkan.
“Ini berbeza dengan yang sengaja mengambil pinjaman wang begitu banyak berjuta juga dibankrapkan, apa hal, hidup dia mungkin masih berjalan tetapi berbanding yang menjadi mangsa.
“Itu sebabnya bagi pihak jabatan insolvensi memikirkan cadangan untuk membuat pendekatan di mana pelepasan secara automatik itu dibuat dalam keadaan yang lebih berehsan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2023