Suka duka kerja menyelamat, korban melebihi 28,000

Ibrahim Zakaria (kiri) dan ibunya, Duha Nurallah di hospital Latakia, Syria. - AP
- Advertisement -

LATAKIA, SYRIA: Ibrahim Zakaria tidak tahu siang atau malam sepanjang terperangkap hampir lima hari dalam runtuhan rumahnya berikutan gempa bumi besar yang melanda Turkiye dan Syria.

- Advertisement -

Pekerja kedai telefon bimbit berusia 23 tahun dari bandar Jableh di Syria terus bertahan dengan titisan air kotor dan akhirnya hilang harapan bahawa dia akan diselamatkan.

“Saya berkata saya sudah mati dan mustahil untuk hidup semula,” kata Ibrahim yang diselamatkan pada malam Jumaat, memberitahu The Associated Press, semalam, dari katilnya di sebuah hospital di bandar pantai Latakia. Ibunya, Duha Nurallah, 60, yang terselamat juga semakin pulih.

Lima hari selepas dua gempa bumi kuat selang beberapa jam menyebabkan ribuan bangunan runtuh, setakat ini membunuh lebih 28,000 orang dan menyebabkan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal. Di Turkiye saja, 24,617 orang terbunuh dan 80,000 orang cedera.

Penyelamat terus berusaha dan menarik mangsa yang tidak mungkin terselamat dari runtuhan. Setiap mangsa yang terselamat dipeluk, diiringi laungan “Allah Maha Besar!” oleh lelaki dan wanita yang letih bekerja tanpa jemu dalam suhu membeku untuk menyelamatkan nyawa.

Lebih sedozen mangsa diselamatkan semalam, termasuk sebuah keluarga di Kahramanmaras, bandar Turkiye yang paling hampir dengan pusat gempa pada Isnin lalu. Pekerja penyelamat di situ membantu Nehir Naz Narli yang berusia 12 tahun yang terselamat sebelum pulang ke rumah ibu bapanya.

Stesen TV Turkiye, NTV melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 44 tahun di Iskenderun, wilayah Hatay, diselamatkan selepas 138 jam terperangkap.

Anggota penyelamat yang menangis menyifatkannya sebagai keajaiban dengan seorang berkata mereka tidak menjangka akan menemui sesiapa yang masih hidup, tetapi ketika menggali, mereka melihat matanya dan dia menyebut namanya.

Namun ada juga kisah duka dalam kerja menyelamat. Zeynep Kahraman yang dibawa keluar dari runtuhan selepas usaha menyelamat hebat yang mengambil masa 50 jam, meninggal dunia di hospital semalam. Pasukan ISAR Jerman yang menyelamatkannya terkejut dan sedih. – AP

- Advertisement -