Sumatera Barat minat contohi sistem pendidikan YIK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sekretaris Daerah Kabupaten Agam Drs Edi Busti M. Si, mewakili Gabenor Sumatera Barat Datuak Marajo H. Mahyeldi Ansharullah, mengakui berminat untuk mencontohi sistem pendidikan yang dipelopori Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Beliau mengetuai delegasi 210 ketua jabatan pendidikan dan pelajar berkunjung ke Kelantan untuk mengetahui silibus pelajaran dan tata kelola pentadbiran Kerajaan Kelantan khasnya di portfolio Pembangunan Insan dan Pendidikan.  

“Kabupaten Agam di Sumatera Barat dan Kelantan miliki banyak persamaan terutama kecenderungan dalam bidang keagamaan. 

Bahagian pendidikan Islam dan hafazan al-Quran tidak mengkesampingkan subjek bidang teknologi dan sains. Hal ini menarik minat kami untuk mempelajari kaedah penggubalan subjek akademik dan diniah secara bersepadu yang menghasilkan natijah baik yang optimum kepada para pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis makan malam anjuran Kerajaan Kelantan sempena meraikan kunjungan hormat delegasinya di Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, semalam.

Sementara itu, Exco Pendidikan negeri YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan memaklumkan Kerajaan Kelantan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dua hala melibatkan pembangunan pendidikan demi kebaikan rakyat di kedua-dua negeri.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri yakin dan percaya melalui kunjungan ini persaudaraan antara Kelantan dan Sumatera Barat bertambah erat atas dasar Islam. 

“Saya berharap kunjungan ini dapat memberi gambaran kepada semua peserta bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang meletakkan Islam dalam paksi pentadbiran, memberi penekanan kepada sistem Pendidikan Islam, memelihara keharmonian kaum dan menghormati kebebasan beragama,” katanya.

Antara destinasi yang dilawati selama dua hari di Kelantan ialah Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan melawat Maahad Muhammadi, Masjid Muhammadi, KALA Shop di Bazar Siti Aishah, Istana Jahar, Bank Kerapu, Muzium Islam dan Pondok Pasir Tumboh.

Turut diziarahi, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Wat Phothivihan (Wat Siam) serta Laman Warisan dan Laman Seni Kampung Laut. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -