Pemain Al Hilal dapat habuan AS$266,500 tewaskan Flamengo

Putera Alwaleed bin Talal, penyokong utama Al Hilal
- Advertisement -

Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal akan memberikan bonus satu juta Riyal (AS$266,500) kepada setiap pemain Al Hilal yang menewaskan juara Amerika Selatan Flamengo 3-2 Selasa lalu, kemenangan yang melayakkan kelab itu mara ke final Piala Kelab Dunia.

- Advertisement -

Pengerusi Kingdom Holding Co, Putera Alwaleed adalah penyokong utama kelab Arab Saudi itu dan mengumumkan di media sosial bahawa beliau akan menghadiahkan jumlah yang sama kepada pemain jika berjaya memenangi perlawanan akhir, Sabtu ini.

Saluran sukan Arab Saudi, SSC melaporkan bahawa setiap pemain akan mendapat 500,000 Riyal daripada Menteri Sukan Arab Saudi kerana menewaskan Flamengo.

Al Hilal akan menentang Real Madrid dalam perlawanan akhir selepas kelab Sepanyol itu menewas Al Ahly dari Mesir dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Ini adalah kali pertama pasukan Arab Saudi mara ke final Piala Kelab Dunia yang diraikan oleh kerajaan negara itu sebagai satu lagi pencapaian kompetitif berikutan kemenangan pasukan kebangsaan terhadap Argentina dalam Piala Dunia di Qatar, November lalu.

“Kemenangan itu adalah pengesahan terhadap kejayaan besar dalam sukan Arab Saudi baru-baru ini,” kata Menteri Sukan, Putera Abdulaziz al-Faisal dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Al Hilal menang menerusi dua sepakan penalti jaringan Salem Al Dawsari dan rembatan jarak dekat Luciano Vietto pada babak kedua ketika Flamengo bermain dengan 10 pemain selepas pemain tengah Gerson dibuang padang pada masa kecederaan babak pertama.

Pengurus Flamengo, Vitor Pereira, pula menyalahkan pengadil kerana kekalahan itu.

“Kami sudah bersedia untuk menentang Al Hilal, tetapi tidak bersedia menghadapi pengadil yang tidak mencapai piawaian pertandingan,” kata Pereira pada sidang akhbar di Tangier, Selasa lalu. – REUTERS

- Advertisement -