Islam adil kepada semua termasuk musuh yang zalim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keadilan Islam menyeluruh kepada seluruh manusia bermasyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama dalam segala aspek seperti politik, ekonomi, kehakiman dan lain-lain.

- Advertisement -

Malah, tegas Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Islam juga berlaku adil kepada semua pihak, termasuk musuh yang zalim dan melampau, sehinggakan mereka tidak boleh dihukum dan diambil tindakan sewenang-wenangnya.

“Keadilan itu ditegakkan berasaskan kepada amanah besar untuk memilih pemimpin dan melaksanakan hukuman,” ujarnya dalam tulisan terbaharu yang bertajuk ‘Islam Untuk Semua, Berkonsepkan Wasatiyyah’.

Katanya, perkara itu disebutkan oleh firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Oleh itu, ujar beliau umat Islam diharamkan melantik pemimpin yang fasiq dan jahil.

Menurutnya, makna fasiq itu dihuraikan dengan perbuatan mengerjakan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan amalan dosa kecil dan tidak bermaruah.

“Hal ini sangat penting, kerana memilih pemimpin merupakan suatu amanah yang sangat besar,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Bahkan, jelasnya lagi Islam juga memerintahkan agar melaksanakan keadilan secara mutlak, termasuk terhadap musuh-musuh di medan perang sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Beliau menambah, sekalipun Islam mewajibkan umatnya mengadakan peperangan bagi menentang kezaliman dan pencerobohan yang menyerang, namun umat Islam tetap diharamkan bersikap melampau sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT pada ayat 190 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan perangilah di jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

Dalam pada itu, ujarnya Islam juga mengharamkan umatnya daripada membunuh orang awam, paderi dan sami di rumah-rumah ibadat yang tidak terlibat dengan peperangan.

Bahkan, kata beliau turut diharamkan menyeksa jasad musuh yang sudah mati dan diwajibkan menjaga tawanan dengan baik.

“Islam juga mengharamkan tindakan membunuh utusan atau duta negara asing, termasuk mereka yang sedang berperang,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -