Saidina Ali tidak beza pemberian, Umar bezakan

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 64)

- Advertisement -

- Advertisement -

AL-BAIHAQI mengeluarkan daripada Isa bin Abdullah Al-Hashimi daripada bapanya, daripada datuknya, katanya: Dua wanita datang kepada Ali ra, seorang wanita Arab dan seorang hambanya. Mereka berdua meminta daripada Ali ra. Ali ra memerintahkan supaya setiap seorang diberi satu bekas makanan dan 40 dirham.

Hamba wanita itu mengambil bahagiannya dan terus pergi.

Wanita Arab itu berkata: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Engkau beri aku sama seperti engkau beri kepadanya? Sedangkan aku ini Arab dan dia itu hamba?’

Ali ra menjawab:
إني نظرت في كتاب الله عز و جل فلم أر فيه فضلا لولد إسماعيل على ولد إسحاق عليهما الصلاة والسلام
‘Aku melihat dalam kitab Allah azza wa jalla. Aku tidak temui di dalamnya kelebihan anak Ismail mengatasi anak Ishak alaihimassalam.’

HayatusSahabah, Al-Kandahlawi 2/107.

Kisah ini kelihatan ringkas sahaja. Ia melibatkan pemberian daripada seorang pemerintah kepada rakyat di bawahnya. Pemberian sebegini sebenarnya berlaku sepanjang masa, zaman dan keadaan.

Kita lihat Saidina Ali memberikan alasan bahawa tidak disebut di dalam al-Quran perbezaan antara Arab dan bukan Arab. Benar. Ia adalah asas dan asal kejadian manusia yang tidak membezakan antara seorang dengan seorang yang lain, melainkan taqwa di sisi Allah.

Kamu semua dari Adam, dan Adam dari tanah.

Saya membaca dalam satu artikel dari sumber Syiah yang mengambil hujah di atas untuk mengecam Saidina Umar al-Khattab yang pernah membahagikan pemberian dengan membeza-bezakan orang samada isteri Nabi, ahli Badar dan lain-lain.

Khulafa ar-Rashidin adalah pemerintah pengganti Nabi yang cerdik, hebat dan adil. Mereka adalah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib radiahu anhum.

Apa yang dibuat oleh Umar adalah mengikut ijtihadnya. Begitu juga apa yang dibuat oleh orang lain. Saidina Ali membahagikan menurut apa yang dirasakannya adil. Begitu juga orang lain.

Justeru, saya melihat ia adalah bentuk siasah syariyyah yang dibuat oleh pemerintah di zaman masing-masing sahaja.

Dalam konteks sekarang, kerajaan pusat dan negeri juga banyak memberikan pembahagian, sama ada kepada rakyat, dalam bentuk tender projek pembangunan, geran tahunan kepada negeri dan lain-lain.

Yang penting, semua bentuk pembahagian ini mesti adil dan dilihat adil. Pembahagian berdasarkan siasah syariyyah yang diasaskan kepada iman, taqwa, takutkan Allah dan azabnya serta tiada bentuk kezaliman, penindasan dan balas dendam.

YAB MB Terengganu pernah berucap agar semua bentuk bantuan yang layak, mesti diberi dan dibantu kerana mereka semua adalah rakyat Terengganu.

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK, Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 8/2/2022

- Advertisement -